Ini 8 Amalan Boleh Dilakukan Oleh Wanita Dalam Haid Ketika Ramadan, Untuk Kumpul Pahala

Share

Ketika dalam haid, ramai wanita mengeluh kerana tidak dapat melakukan amal ibadah apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. 

Ramadan merupakan peluang untuk mengumpul pahala sebanyak mungkin. Jangan kecewa jika anda berada dalam haid kerana beranggapan bahawa anda tidak berpeluang untuk mendapat pahala.

Sebenarnya anda masih boleh mengumpul pahala dengan melakukan beberapa perkara berikut:

MENYIAPKAN HIDANGAN SAHUR 

Makan sahur sangat dianjurkan dalam Islam. Ia bagi memberikan tenaga sepanjang menjalani ibadah berpuasa di siang hari. Menyediakan makanan sahur ketika ahli keluarga anda bersahur juga memberikan ganjaran pahala buat anda. Walaupun anda tidak berpuasa kerana haid, anda tetap mendapat pahala kerana menyediakan juadah sahur.

MENYEDIAKAN HIDANGAN BERBUKA PUASA

Rasulullah SAW Bersabda:

“Barang siapa yang memberi ifthar (hidangan untuk berbuka) orang-orang yang shaum/berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang shaum/berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun.” (H.R. Bukhari Muslim).

Selain menyediakan hidangan untuk  bersahur, menyediakan hidangan berbuka puasa juga menyediakan pahala buat diri anda. Maka sebab itulah telah dijelaskan dalam hadis, bahawa mereka yang menyiapkan hidangan berbuka bagi orang yang berpuasa maka pahalanya akan setara dengan mereka yang berpuasa.

MEMELIHARA LIDAH

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa Tidak meninggalkan perkataan dusta dan ghibah maka tiada artinya di sisi Allah baginya shaum/puasa dari makan dan minum.” (HR Bukhari).

Elakkan daripada bercerita tentang orang lain. Bukan sahaja di bulan Ramadan tetapi pada waktu-waktu biasa. Sesungguhnya diam itu lebih baik daripada berkata-kata perkara yang buruk.

MEMPERBANYAKKAN DOA

Allah SWT Berfirman:

“Dan Rabbmu Berfirman: Berdoalah Kepada-Ku Niscaya akan Aku perkenankan bagimu.” (QS. Al-Mu’min: 60)

Memang ketika haid wanita tidak dapat menunaikan solat namun anda boleh berdoa. Berdoa menjadi salah satu alternatif amalan bagi wanita yang sedang haid untuk mengumpul pahala. . Tentunya fokuskan doa anda untuk kebaikan.

BANYAKKAN BERZIKIR

Dari Abu Hurairah r.a. Bahwa Rasulullah SAW Bersabda:

“Tidak ada kaum/seseorang yang Berdzikir kepada Allah kecuali mereka di kelilingi oleh malaikat-malaikat, di liputi oleh Rahmat, turun kepada mereka ketentraman, dan Allah menyebut mereka sebagai orang-orang yang di sisi-Nya.” (HR. Muslim)

Berzikir adalah salah satu bentuk amalan yang boleh diamalkan ketika wanita dalam haid. Ketika berzikir, pusatkan perhatian anda untuk mengingati Allah.

MELAKUKAN AKTIVITI KEMASYARAKATAN

Kegiatan sosial seperti membersihkan perkarangan masjid/surau juga antara perkara yang dapat membantu anda menambah pahala. Aktiviti seperti ini merupakan cara untuk meraih pahala yang lebih besar. Sibukkan diri anda dengan aktiviti kemasyarakatan agar pengisian hari anda jadi lebih bermakna.

BERSELAWAT KE ATAS NABI

ALLAH Ta`ala menyuruh sekalian mukminin agar berselawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam melalui firmanNYA:

Maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-malaikatNYA bersolawat ke atas Nabi.  Wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu sekalian ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzab, 33 : 56)

Berselawat ke atas Nabi boleh dilakukan meskipun dalam keadaan haid. Berselawatlah ke atas Nabi junjungan kita, Nabi Muhammadh SAW kerana ia merupakan salah satu bentuk amalan wanita ketika dalam haid di bulan Ramadan.

MENAMBAH ILMU 

Rasulullah SAW Bersabda:

“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut Ilmu, Niscaya Allah SWT menunjukkan jalan menuju Surga Baginya.” (H.R. Muslim)

Berada dalam keadaan haid tidak menjadi penghalang untuk anda untuk belajar. Anda boleh mengikuti kelas agama (yang bukan diadakan di dalam masjid) untuk mendalami tentang hukum hakam agama. Ini merupakan pilihan yang tepat sebagai bentuk amalan di bulan Ramadan.

Published by
Siti Zurina Mat Saman