Ini Hukumnya Jual Durian Sekali Dengan Kulit. Untuk Yang Was-Was Wajib Ambil Tahu!

Share

SOALAN:

Jualan durian pada hari ini diperhargakan secara timbang kilo. Kadangkala, isinya tidak berbaloi dengan berat kulit. Berbeza dengan buahan lain, isi durian tidak berpadanan dengan kulitnya.

Adakah kaedah jualan durian (timbang kilo) termasuk jual beli yang dilarang kerana melibatkan unsur-unsur gharar (penipuan)?

Gambar sekadar hiasan.

 

JAWAPAN:

الحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَلَى نَبِيَّنا مُحَمَّدٍ؛ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِين

*Gharar* sebagaimana yang dicatat di dalam kitab *Mukjam Isra* ( ISRA COMPENDIUM ) ialah sesuatu yang tidak diketahui keadaannya yang sebenar. *Contoh* gharar dalam belian ialah membeli ubi kayu yang masih berada di dalam tanah, yang hanya dapat dilihat sebahagiannya sahaja. Pembeli tidak mengetahui adakah ubi kayu tersebut elok semuanya atau sebahagian sahaja.

*Gharar* terbahagi kepada *tiga keadaan*;

1. *Gharar yang banyak* . Ijmak fuqaha memutuskan *tidak sah* jualbeli yang unsur ghararnya banyak.

2. *Gharar yang sedikit*. Ijmak fuqaha memutuskan *sah jualbeli* melibatkan gharar yang sedikit serta tidak dapat dielakkan.

3. *Gharar yang pertengahan*. Fuqaha berbeza pendapat adakah gharar pertengahan menyebabkan jual beli sah atau sebaliknya.

Berkaitan menjual *durian di dalam kulitnya*, *Syeikh Ahmad Khotib* pernah ditanya berkenaan hukum menjual buah durian yang masih berada di atas pokok yang sudah penuh isinya, sebahagiannya sudah masak dan sebahagiannya masih putik. Beliau memberi jawapan berikut:

*Sah* menjualnya kerana yang dimaksud daripadanya tertutup dengan lebatnya yang bermula kekal isinya padanya setengah daripada muslihatnya ( maslahat durian ) . Tetapi jika dilihat segalanya ( maka sahlah-penulis ). Dan *jika ada yang tersembunyi* daripadanya maka *tiadalah sah* menjualnya. Wallahua’lam.

Lihat *Kitab Masail dan Qawaid* himpunan *Ishak Adam* Tualang Kedah di Mekah al Mukarramah ( 1967).

Jawapan ini memberi faham bahawa sejak dahulu buah durian dijual dalam kulitnya yang jika tanpa kulit isinya menjadi cepat rosak atau mutunya menjadi berkurangan.

Jelas di sini menjual durian di dalam kulitnya adalah sah dan gharar yang terdapat padanya adalah gharar yang sedikit.

Gambar sekadar hiasan.

Walau bagaimanapun, perlu diambil perhatian oleh pembeli, pembeli mestilah mempunyai maklumat tentang durian yang berada di dalam kulit yang membolehkannya membuat anggaran kasar tentang mutu dan bilangan isinya serta jenisnya.

Jika pembeli tidak mempunyai pengetahuan tentang isi durian yang berada di dalam kulit, maka pembeliannya tidak sah kerana antara syarat sah jual beli ialah penjual dan pembeli mengetahui tentang barang jualan.

Begitu juga penjual mesti jujur memberi penjelasan kepada pembeli tentang durian yang dijualnya supaya jualannya sah.

*Berkenaan jualan secara timbangan* pula, ianya *tidak termasuk* gharar yang dilarang *jika penjual dan pembeli mampu* membuat anggaran kasar tentang isi durian tersebut.

Sebaliknya *jika pembeli atau penjual tidak mempunyai pengetahuan, dan tidak mampu membuat anggaran kasar* maka jualbeli durian secara timbangan adalah tidak sah kerana tidak memenuhi syarat sah jualbeli iaitu terdapat padanya *gharar yang banyak.*

Bagi pembeli yang merasa ragu tentang sah jualbeli durian secara timbangan, hendaklah menjauhi diri daripada terlibat dengan pembelian durian secara timbangan.

وصَلَّى اللهُ على مُحَمَّدٍ وعلى آلهِ وصَحْبهِ الأَكْرَمِينَ والحمدُ لله رَبِّ العَالِمينَ

INTAHA

وَاللَّهُ أَعْلَم

Pusat Talaqqi Batu Rakit
fb.com/PTBR.Official

 

Published by
Siti Zurina Mat Saman