Apakah hukum suami berkata menyesal bernikah tetapi suami tiada niat untuk menceraikan isteri? Adakah ia termasuk dalam lafaz talaq?
Jawapan:
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu berkenaan hukum talaq menggunakan lafaz yang jelas dan talaq menggunakan lafaz yang tidak jelas (kiasan). Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:
Pertama: Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas
Lafaz talaq yang jelas (صريح) ialah lafaz yang digunakan, yang menunjukkan maksud talaq secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain. Ia merupakan talaq yang jelas menggunakan lafaz yang tidak membawa makna lain kecuali talaq.
Lafaz yang jelas juga termasuk terjemahan lafaz talaq dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab.
Hukum Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas: Penceraian dengan lafaz yang jelas menyebabkan jatuh talaq sama ada berniat talaq ataupun tidak.
Hal ini kerana lafaz yang jelas dan maksud yang muktamad menunjukkan talaq tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya.
Ads
Kedua: Talaq Menggunakan Lafaz yang Tidak Jelas (Kiasan)
Sementara lafaz talaq yang tidak jelas atau kiasan (كناية) ialah yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas dan boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq.
Terdapat banyak lafaz talaq secara kiasan, antaranya:
– Engkau tiada apa-apa lagi denganku.
– Engkau berasingan daripadaku.
– Engkau terputus hubungan denganku.
– Kembalilah kepada keluargamu.
– Pergilah ke mana engkau mahu.
– Pergi jauh daripadaku.
– Asingkanlah diri daripadaku.
– Aku biarkan kamu dengan caramu.
– Engkau haram bagiku.
Semua lafaz ini dianggap sebagai lafaz kiasan yang menunjukkan talaq kerana ia membawa maksud talaq dan maksud yang lain.
Hukum Talaq Menggunakan Lafaz Tidak Jelas (Kiasan): Lafaz talaq kiasan walaupun selalu digunakan untuk maksud talaq, seperti: “Engkau haram atasku” tidak menyebabkan jatuh talaq melainkan apabila suami berniat menceraikannya. Jika suami berniat yang lain selain talaq atau bermaksud apa-apa pun, maka tidak jatuh. (Lihat kitab al-Fiqh al-Manhaji, 3/14-18).
Apa Hukum Suami Berkata “Menyesal Bernikah dengan Isteri”?
Ads
Berdasarkan persoalan yang timbul, kami dapati ucapan yang dilafazkan tersebut bukanlah lafaz talak. Ia tidak termasuk sama ada di dalam lafaz talaq yang jelas atau tidak jelas. Ia hanyalah sekadar satu kata-kata meluahkan perasaan kekesalan yang tidak ada kaitan dengan konsep talaq yang dibincangkan. Oleh itu, talaq tidak jatuh terhadap isteri tersebut.
Kami berpendapat, amat perlu belajar serta mendalami hukum-hakam berkaitan perkahwinan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan.
Begitu juga, kami mengambil peluang di sini untuk menasihati agar berbincanglah dengan baik setiap permasalahan yang timbul dan mohonlah kepada Allah SWT agar diberi pertolongan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.
Sekiranya memerlukan orang tengah untuk mendamaikan pertelingkahan, maka lakukanlah sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”
Ads
(Surah al-Nisa: 34-35)
Ibn Kathir berkata: “Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma: Allah SWT memerintahkan mereka untuk mengutus seorang lelaki yang soleh (dipercayai) daripada pihak keluarga lelaki dan seorang yang sama daripada pihak keluarga wanita.
Hal ini untuk meneliti siapa di antara keduanya yang melakukan perkara buruk. Jika suami yang melakukan keburukan, maka mereka dapat melindungi isteri dan membataskan kewajipannya dalam memberi nafkah. Jika isteri yang melakukan keburukan, mereka dapat mengurangkan haknya dari suami dan menahan nafkah yang diberikan kepadanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/302)
Selain itu, boleh meminta pandangan dan nasihat daripada para ulama’, ibu dan ayah, saudara mara yang amanah, rakan-rakan yang dipercayai dan adil yakni yang baik agamanya. Jika tidak, maka rujuklah kepada peguam, hakam dan sebagainya.
Sekiranya di Wilayah Persekutuan, boleh mendapatkan nasihat daripada Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) yang merupakan salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bersedia membantu pada bila-bila masa.
Ini bagi mendapatkan mendapatkan khidmat runding keluarga (kaunseling) dan sebagainya. Atau sekiranya menetap di negeri lain, boleh juga merujuk kepada badan yang menjalankan khidmat nasihat di negeri-negeri berkaitan.
Mudah-mudahan Allah memberikan ketenangan dan kebahagiaan kepada kita dalam melayari kehidupan rumahtangga dan tercapai apa yang dimaksudkan dengan Baiti Jannati. Amin.
Mimpi adalah mainan tidur. Tetapi kadangkala kita seperti mempercayai yang mimpi itu bakal berlaku.
Mimpi dibelit ular, gigi tercabut, dikejar harimau dan banyak lagi dipercayai sebagai petanda buruk. Ikuti penjelasan pejabat Mufti akan isu mimpi menakutkan yang banyak menghantui ramai ini.Pelbagai percayaan khurafat boleh timbul jika tidak dijelaskan.
Soalan: Saya mimpi dikejar ular dan dimakan buaya atau harimau. Adakah itu mimpi mainan tidur atau disebabkan syaitan?
Jawapan: Maaf,kami tidak mengetahui maksud mimpi dikejar ular ataupun dimakan buaya dan harimau. Adapun jika berkenaan mimpi bertemu harimau, kami nukilkan pandangan al-Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi:
“Barangsiapa yang melihat harimau dalam mimpinya, hendaklah dia beristighfar kepada Allah atas dosa-dosanya. Dalilnya adalah ia melambangkan raja-raja Parsi yang bertakwa. Harimau itu juga melambangkan kegagahan dan manusia ketakutan yang amat sangat kepadanya. Ia juga melambangkan seorang yang mempunyai pelbagai kebolehan dalam pelbagai bidang"
Pada pandangan kami, ia merujuk kepada kehebatan seseorang. Justeru, istighfar itu adalah sebagai satu saranan untuk menginsafi kekurangan diri dan membuang sikap berbangga dengan diri.
Jika mimpi bertemu buaya pula, Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi menyatakan: “Melihatnya (buaya) dalam mimpi adalah simbolik kepada polis. Buaya di dalam laut merujuk kepada seseorang yang tidak boleh dipercayai, samada dianya kawan atau lawan. Buaya juga adalah merujuk kepada peniaga yang zalim dan tidak boleh dipercaya. Sesiapa yang melihat buaya menariknya ke dalam air dan membunuhnya, sesungguhnya dia akan ditangkap polis yang akan mengambil hartanya dan membunuhnya. Sekiranya dia selamat daripadanya, maka dia terselamat.
Melihat buaya dalam mimpi juga merujuk kepada kebiadaban, dosa, perompak, pendapatan yang tidak menepati syarak, ketakutan dan tekanan. Ia juga bermaksud meninggalnya seseorang, digambarkan dengan keadaannya yang lemas. Melihat buaya di laut menandakan keburukan dan melihatnya di daratan menunjukkan buaya tersebut lemah dan kehinaan.
Sekiranya buaya menarik seseorang ke dalam air di dalam mimpi, ia bermakna seseorang yang berkuasa akan memaksanya melakukan sesuatu yang dia benci. Jika seseorang melihat dirinya sendiri sedang makan daging buaya, atau sekiranya seseorang melihat dirinya menarik buaya keluar daripada air, ia bermakna dia akan berjaya mengatasi musuhnya"
Secara asasnya, Ibn Hajar al-‘Asqalani membahagikan mimpi kepada dua bentuk:
1. Mimpi yang benar (al-sadiqah). Ini adalah mimpi para Nabi dan orang-orang soleh. Jarang-jarang berlaku kepada selain daripada mereka. Ia boleh berlaku secara sedar (yaqazah) bertepatan apa yang berlaku dalam mimpi.
2. Mimpi buruk dikenali dengan istilah al-adghath. Ia berlaku tiba-tiba tanpa sebarang perlakuan yang membawa kepada datangnya mimpi tersebut. Ia boleh datang dalam beberapa bentuk:
Mainan syaitan untuk menyebabkan orang yang bermimpi menjadi sedih atau risau.Melihat malaikat yang mengarahkannya melakukan perkara yang diharamkan atau mustahil dilakukan.
Sesuatu yang difikir-fikirkan oleh orang yang bermimpi semasa sedar dan ia terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Ini adalah kebiasaannya.
Antara panduan ringkas sekiranya berhadapan dengan mimpi buruk adalah:
Meludah ke kiri 3 kali
Sabda Nabi SAW: إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا، فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Ketika kalian mengalami mimpi buruk, hendaknya meludah ke kiri 3 kali, dan memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan syaitan sebanyak 3 kali serta menukar rusuknya ke arah berlawanan (menukar posisi tidur).” (Riwayat Muslim, no. 2262)
Tidak menceritakan kepada orang lain, bangun tidur dan laksanakan solat
Sabda Nabi SAW: الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ: حَدِيثُ النَّفْسِ، وَتَخْوِيفُ الشَّيْطَانِ، وَبُشْرَى مِنَ اللَّهِ، فَمَنْ رَأَى شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلاَ يَقُصَّهُ عَلَى أَحَدٍ وَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ
Mimpi itu ada tiga jenis: “Bisikan hati, ketakutan kepada syaitan dan berita gembira daripada Allah. Barangsiapa yang melihat (di dalam mimpinya) sesuatu yang tidak disukai, usah menceritakannya kepada orang lain. Dia wajar bangun dan laksanakan solat.”
Akhir kalam, kami mencadangkan supaya rujuk kepada para ulama’ yang muktabar dan kitab yang masyhur dan diyakini. Perihal ta’bir mimpi perlu ditanya kepada orang yang soleh agar mendapat tafsiran yang tepat dan tidak menyeleweng. Allah SWT juga menurunkan wahyu kepada Rasul dalam bentuk mimpi.
Sabda Nabi SAW: رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi orang Mukmin adalah sejuzuk daripada 46 juzuk kenabian.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6987)
Sesungguhnya, mimpi orang Mukmin di akhir zaman memberi kesan yang baik kepada kehidupannya mahupun masyarakat. Semoga dengan pencerahan ini dapat memberi satu penjelasan yang baik untuk kita memahami isu ini.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Hangat dan viral minggu ini kisah perkahwinan kedua Pendakwah Bebas, Dai’ Farhan dengan seorang ibu tunggal yang mempunyai lapan orang anak.
Kalau diikutkan hukum, perkahwinan kedua Da’i Farhan ini memang sah hukumnya di sisi Islam, cuma yang menjadi kemarahan warganet apabila beliau dikatakan menceraikan isteri pertama yang sedang mengandung dengan alasan nusyuz.
Kisah perkahwinan Da’i ini yang dikatakan mengahwini ibu tunggal digelar ‘wanita Kaabah’ ini memang sangat viral hinggakan ada kata-kata dari pendakwah ini dijadikan troll dalam kalangan warganet.
Biarpun menerima kecaman sangat hebat di media sosial, bagi pendakwah yang menjadi Juara Da’i Pendakwah Milenia 2014, anjuran TV3 ini, beliau menerima setiap dugaan itu dengan berlapang dada. Malah menganggap jodoh itu adalah aturan yang telah ditetapkan oleh Allah padanya.
Dalam satu temubual secara langsung di Program Bual Bicara Mingguan Wanita, Da’i Farhan sangat positif menerima segala kecaman dilemparkan padanya.
Dengan wajah yang tenang disulami senyuman serta kata-kata lembut, beliau menceritakan detik perkenalan bersama isteri tercinta.
Menurut Da’i Farhan, setiap bulan memang dia akan membawa jemaah untuk menunaikan umrah. Kehidupannya juga sangat berkait dengan tanah suci. Jadi pertemuan dengan isterinya ini juga berlaku di Tanah Suci.
“Ramai yang bertanya sebelum itu, tetapi hati belum terbuka. Maknanya di sisi Allah ini tiada jodoh. Kalau betul saya nak menggatal, boleh pilih sesiapa sahaja untuk dijadikan isteri.
“Tetapi untuk kali ni Allah kenalkan isteri saya ini di Tanah Suci, di sisi Kaabah. Perkenalan kami bermula di Mekah dan setelah sebulan saling mengenali, barulah mengambil keputusan untuk berkahwin juga di Tanah Suci Mekah.
“Bagi saya aturan Allah ini cukup indah. Keindahan itulah yang buat saya terima walaupun menerima kecaman dari pelbagai pihak. Bagi saya senang, biarlah kita harapkan pandangan serta kasih sayang Allah pada diri kita,” ujarnya yang turut memberitahu keinginannya untuk berkahwin lagi kepada keluarga, terutama isterinya.
Tambahnya untuk membuat ibadah seperti berkahwin ini nombor satu adalah kejujuran. Memang ada keluarga yang terima dan ada juga yang menentang.
Malah isterinya juga turut mengambil masa dan istiqamah sebelum ambil keputusan menerima apa yang akan dilakukannya.
“Dari Tanah Suci lagi saya suda fikir betul-betul keputusan untuk berkahwin lagi. Kita nak buat benda baik kenapa nak takut dan tak perlu sorok-sorok.
“Pada mulanya isteri menerima, tetapi bila ada pihak lain yang membat keputusan menyebabkan segala yang dirancang habis porak peranda.
“Saya juga sebelum ambil keputusan ini, merujuk pada pihak tertentu. Oleh kerana kerap ke Mekah, jadi ada beberapa orang guru yang saya dapatkan pandangan sebaiknya sebelum menikahi isteri sekarang,” jelasnya lagi yang mengakui kehidupannya kini cukup bahagia.
Bagi Da’i Farhan juga ada hikmah tertentu bila seseorang itu menikahi janda atau ibu tunggal.
Beliau juga merujuk kepada Sirah Nabi Muhammad SAW yang menikahi isteri-isteri Baginda yang juga janda kecuali Saidatina Aisyah r.a.
Menurut Farhan lagi, Nabi memilih janda kerana ingin memberikan kebahagiaan kepada wanita yang telah kehilangan suami dan anak-anak yang kehilangan ayah.
Jika sebelum ini anak-anak tidak mendapat belaian kasih sayang seorang ayah dan mereka sudahpun mendapatnya.
Menurutnya, lapan orang anak-anak tirinya begitu ‘welcome’ dirinya dalam kehidupan mereka. Ternyata mereka juga boleh menerima kehadiran ‘papa’ baru dalam kehidupan mereka.
“Buat masa sekarang, apa yang saya ingin nasihatkan agar jangan ada pihak di luar sana mengambil kesempatan. Jangan api-apikan dan menuang minyak atas kejadian yang berlaku.
“Sebenarnya segalanya nampak mudah dipermulaan tetapi mungkin ini takdir yang telah ditentukan olehNya kepada saya. Jadi saya reda. Fitnah ini ibarat angin ribut yang menerbangkan dosa-dosa saya,” ujarnya sebelum mengakhiri temu bual berkenaan.
Lapan orang anak-anaknya yang begitu ‘caring’ dan ‘welcome’ dirinya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
FIRMAN Allah SWT, “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)
Malah kita juga diajar bersederhana dalam semua hal. Malah Al-Quran dijadikan panduan umat Islam sebagai tata cara kehidupan. Ini seperti firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 13 bermaksud:
Firman Allah SWT, “Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (al-Quran) serta hikmah (pengetahuan yang mendalam) dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepadamu amatlah besar.” (Surah an-Nisa, ayat 113).
Memandangkan isu melibatkan pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew dan Nadir Al Nuri termasuk Caprise mencapai kemuncaknya hingga laporan polis dibuat, Ustaz Adnin Roslan dalam ignya berkongsi bahawa umat islam perlu bersederhana dalam segala hal.
Ini perkongsian darinya di instagramnya:-
Dalam hidup ini, kita perlu bersederhana dalam setiap hal. Jika tidak, kita akan mudah sesat. Hatta dalam beragama pun, kita dilarang ekstrim, terlalu ekstrim mengamalkan agama pun boleh sesat, melonggarkan agama pun boleh jadi sesat. Bersederhalah, taat perintah Allah, tinggalkan larangan Allah, ikut sunnah Baginda Nabi SAW.
2) Dalam hidup ni, semua oanrg pernah buat salah. Baik mana pun seorang itu, pasti ada ketidaksempurnaannya. Kerana itu budaya dakwah, saling nasihat menasihati Allah & Rasul wajibkan. Agar kita sama-sama selamat.
3) Tapi ingat, kebaikan yang kita nampak, kita sokong dan usaha untuk contohi tak kira dari siapa, dan kelemahan yang kita nampak, nasihat dan tegur dan serta jauhi. Kita benci perbuatan, bukan pelaku. Ini sangat penting.
4) Satu lagi budaya tidak sihat yang saya nampak adalah BUDAYA TAKSUB dan MENGIDOLAKAN manusia. Taksub ini akan membutakan hati manusia dari kebenaran. Dan ianya dilarang dalam agama. Perbuatan taksub inilah yang menjadi faktor berhala di zaman Nabi Nuh diukir lalu disembah. Nama berhala yang diukur oleh kaum Nabi Nuh ialah Wad, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasra.” Ibn Abbas RA mengatakan:
“Nama-nama tersebut ialah nama orang soleh daripada kaum Nabi Nuh AS…”
Nampak tak bahayanya bila kita taksub atau mengidolakan manusia? Hatta taksub orang soleh pun tak boleh, apatah lagi taksub artis, pemimpin politik dan sebagainya.
5) Bahkan Allah dan rasul tidak suruh mengidolakan baginda SAW. Tetapi kita disuruh untuk menjadikan Nabi SAW sebagai qudwah hasanah, uswah hasanah iaitu ikutan yang baik. Bukan taksub buta tapi tak ikut pun sunnah baginda. Kita disuruh jadikan nabi sebagai teladan, mengikuti sunnah dan perjuangan baginda, akhlak baginda dan seluruh kehidupan baginda, serta mencintai baginda kerana Allah. Cinta atas dasar iman dan ilmu, bukan emosi dan nafsu semata-mata. IDOLA ni ada IDOLATRY = Penyembahan berhala, IDOLATER = Penyembah berhala; musyrikin, IDOLATROUS = (Bersifat) menyembah atau memuja, IDOLIZE = (Terlampau) menyanjung, dan IDOLIZATION = Pemujaan; pendewaan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?