Ini Hukumnya Pegang Anjing Dalam Lakonan & Untuk Tujuan Peliharaan

Share

SOALAN:

Assalamualaikum, saya ada sedikit kemusykilan mengenai hukum pegang anjing. Boleh kah kita pegang anjing atau usap-usap kepalanya hanya untuk lakonan dalam filem, kemudian samak selepas habis pengambaran?.

Gambar sekadar hiasan.

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Kami menerima banyak persoalan berkenaan polemik isu menyentuh anjing yang berlaku di Malaysia. Bahkan sebelum ini, kami telah mengeluarkan banyak artikel berkenaan isu yang melibatkan anjing seperti program “I want to touch a dog”, Penyakit Anjing Gila: Bahaya dan Hukumannya, Kisah Pemuda bersama Anjing dan sebagainya.

Melalui isu ini dapat ditekuni bahawasanya terdapat perbezaan hukum di antara ulama’ empat mazhab mu’tabar. Namun di Malaysia konsep pemahaman agama Islam yang berorentasikan Mazhab Syafie telah zaman-berzaman dipraktikkan dan merupakan budaya masyarakat setempat yang perlu diraikan. Maka kami akan kemukakan jawapan menerusi Mazhab Syafie.

Anjing adalah termasuk sebagai najis mughallazah iaitu najis berat. Sama ada yang digunakan untuk berburu atau tidak, yang kecil atau yang besar. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A. Kata beliau :

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي دَارَ قَوْمٍ مِنَ الأَنْصَارِ وَدُونَهُمْ دَارٌ ، قَالَ : فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، سُبْحَانَ اللهِ تَأْتِي دَارَ فُلاَنٍ ، وَلاَ تَأْتِي دَارَنَا ، فقَالَ : فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَنَّ فِي دَارِكُمْ كَلْبًا ، قَالُوا : فَإِنَّ فِي دَارِهِمْ سِنُّوْرًا ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ السِّنُّوْرَ سَبُعٌ

Maksudnya :” Nabi SAW pernah masuk ke rumah seorang Ansar dan Nabi juga pernah tidak masuk ke rumah seorang Ansar yang lain. Abu Hurairah berkata : Perbuatan tersebut menyebabkan mereka terasa. Mereka berkata : Wahai Rasulullah, Maha Suci Allah, engkau masuk ke rumah fulan dan tidak masuk ke rumah kami. Nabi SAW bersabda : Ini kerana di dalam rumah kamu ada anjing. Mereka berkata : Di dalam rumah mereka terdapat sinnur (sejenis kucing yang disebut juga felidae). Maka Nabi SAW menjawab : Sesungguhnya sinnur itu adalah haiwan liar.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad, No. 8324 di dalam Musnad)

Merujuk kepada Mazhab Syafie, setiap inci bagi seekor anjing itu adalah dikira sebagai najis. Sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi;

واعلم أنه لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره من أجزائه فإذا أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من أعضائه شيئا طاهرا في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب

Maksudnya; “Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami antara jilatan anjing dengan selainnya; daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah.

(Rujuk Al Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, m/s 185)

Menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan atau hajat adalah haram di sisi Islam. Sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Bujairimi dan Sheikh Ibnu Hajar al-Haithami:

التضمخ بالنجاسة إنما يحرم

Maksudnya: Menyentuh najis secara sengaja ia adalah Haram.

(Rujuk Hasyiah Bujairami ala Syarah Manhaj al-Tullab, m/s 105 dan Hawasyi Tuhfah al-Manhaj bi Syarah al-Manhaj, m/s 174).

Kesimpulan di dalam isu ini, kami berpendapat menyentuh anjing atau mengusap kepalanya dengan tujuan lakonan dalam filem adalah tidak dibenarkan kerana dilakukan dengan sengaja tanpa sebab yang diizinkan oleh syara’. Jika menyentuhnya membawa kepada dosa dan sewajibnya menyamak tangan selepas sesi pengambaran dengan 7 kali basuhan air mutlak dan salah satu daripadanya air yang bercampur tanah.

Namun begitu, terdapat rukhsah bagi mereka yang membela atau memegang anjing yang didahulukan hajat dan keperluan selari dengan kehendak syara’. Ini berdasarkan dalil daripada hadis Nabi SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَمْسَكَ كَلْبًا، فَإِنَّهُ يَنْقُصُ كُلَّ يَوْمٍ مِنْ عَمَلِهِ قِيرَاطٌ، إِلَّا كَلْبَ حَرْثٍ أَوْ مَاشِيَةٍ

Maksudnya; “barangsiapa yang membela anjing, maka sesungguhnya mengurangi pada setiap hari dari amalannya satu qirat, kecuali anjing untuk pengawasan atau anjing menjaga binatang ternakan”.

(Hadis riwayat Bukhari, No. 2322)

Dari hadis tersebut, ia merupakan keizinan bagi mereka yang mahu membela anjing dengan disertakan hajat dan tujuan iaitu sebagai haiwan pemburu; atau pemandu jalan untuk orang buta sekiranya amat memerlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu; atau tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti Polis dan Kastam dan juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah; atau sebagai haiwan penjaga untuk menjaga haiwan ternakan.

WallahuA’lam.

Artikel Berkaitan: Rambut Terkeluar Ketika Solat, Hukumnya Kena Ulang Semula Atau Tak? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus!

SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH

Published by
Siti Zurina Mat Saman