Salah satu menu makanan yang sangat menambat selera adalah ikan percik. Kalau boleh setiap hari mahu menyediakan hidangan ini untuk berbuka puasa.
Malah hidangan percik ini juga sangat popular untuk mereka yang tinggal di Pantai Timur dan wajib ada setiap kali berbuka.
Perkongsian dalam Facebook Afy Al Habibi memberitahu cara membuat ikan percik proses bermula dari perapan hinggalah kuahnya.
Cikgu pilih untuk berkongsi semula resepi ikan percik warisan keluarga cikgu. Cikgu rasa rugi pula kalau tak tunjuk langkah masak satu persatu. Sebab cikgu tengok bulan puasa kali ini makin ramai yang cari balik resepi cikgu sayang ni.
Cikgu buat ikan percik tu betul-betul duduk bersila berguru depan mak. Resepi yang sememangnya turun temurun dari emak. Tak ada rahsia yang disembunyikan. Cikgu belajar masa balik kampung dua tahun lepas. Haa. Dari proses perap ikan, buat kuah sehinggalah siap sepenuhnya.
Kalau nak buat ayam percik ada cara berbeza. Nanti cikgu kongsi lagi lain kali.
Yang pasti kawan yang sudah cuba resepi ini mereka suka sangat. Cikgu lebih suka percik warna merah dari putih. Bezanya satu sahaja. Boleh baca dekat gambar di bawah.
Musim bulan puasa bazar di Kelantan memang tersohorlah menu percik ni. Jadi puasa dalam tempoh pkp sekarang bolehlah kawan cikgu cuba buat sendiri.
Ikut sahaja semua langkah cikgu bagi.
Mesti menjadi dengan sedapnya. Boleh follow cikgu untuk resepi lengkap yang lain.
Terima kasih emak kongsi resepi paling enak!
Semoga bermanfaat.
Ini Cara Membuatnya:
Ikan Kembung 5 ekor ( basuh bersih dan kelar ikan)
– 2 batang serai – 5 ulas bawang putih – 1 inci halia – 1 1/2 inci kunyit hidup ( Semua bahan di hiris nipis)
Ads
Masukkan dalam tabung pengisar. Tambahkan 3/4 sudu besar garam dan 1 sudu kecil serbuk perasa Hilal atau jenama lain. Kisar hingga lumat.
Lumur rata bahan kisar pada ikan. Perap selama 20 minit.
Bahan untuk kuah percik
– 5 biji bawang merah saiz syiling 20 sen
– 2 ulas bawang putih
– 1/2 hiris nipis halia
– Secubit belacan
– 1/2 sudu besar serbuk ketumbar (disangai dan dikisar halus)
Ads
Kisar semua bahan hingga lumat.
Masukkan bahan kisar dalam periuk.
Tambahkan sekali 6 senduk santan segera.
( Beli dekat pasar. Pekat asli daripada buah kelapa)
Tambahkan 1 senduk air kosong.
Masukkan 1 1/2 sudu besar cili kisar ( kisar sendiri)
Guna cili kering saiz paling besar. Tak pedas. Warna pun merah cantik.
Ads
Nak buat warna percik putih maka tak perlulah letak cili kisar. Itu bezanya. Pada warna sahaja.
Letak periuk atas dapur. Buka api perlahan. Perahkan sehiris limau nipis.
Masukkan 2 1/2 sudu besar gula, 1/2 sudu besar garam dan secubit serbuk perasa Hilal atau jenama lain
* kuantiti rasa terpulang kepada citarasa sendiri/ masukkan sedikit demi sedikit untuk lebih selamat. Kacau kuah dengan api sederhana besar.
Tutup api setelah kuah berbuih mendidih. Siap untuk kuah percik lazat tak terkata.
Bakar ikan di atas bara api. Jangan bakar hingga kering garing supaya isinya kekal juicy.
Sendukkan kuah percik tadi dan ratakan atas badan ikan. Salutkan dua kali untuk hasil yang cantik.
Masa ni memang tak tahan bau kuah yang disalai sekaili atas bara api. Nikmat yang tak dapat diucapkan. Haa
Siap. Nampak sedap kan?
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Assalamualaikum. Saya mempunyai soalan. Apakah hukum kita mengambil wudhu’ dalam keadaan tidak berpakaian?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Manakala dari segi syara‘ pula, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu (rujuk al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ah, m/s 123).
Merujuk kepada soalan di atas, suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wudhu’ tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan. Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat. (rujuk kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, m/s 120).
Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wudhu’ atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:
Maksudnya: Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat. Pandangan ini juga disokong oleh ulama’ dari kalangan Hanafi dan Hanbali. Adapun begitu, dari kalangan Ulama’ mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)
Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).
Justeru, dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wudhu’ adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain. Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain.
Walaupun sah wudhu’nya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”
Hadis Riwayat Bukhari (no. 24)
فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wudhu’, tetapi adalah lebih baik dan utama untuk menutup aurat sepertimana yang disunatkan ketika mandi.
Saat kita memberi, kita akan menerima. Saat kita menolong tidak kira orang atau makhluk lain, sebenarnya kita sedang menolong diri kita sendiri.
Maksud akan ayat diatas ialah, pertolongan Allah akan hadir tanpa kita sedar termasuk doa-doa tanpa kita sangka.
Inilah yang dikongsikan oleh penyanyi Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 56 tahun yang berkongsi pengalamannya dijangkiti Covid-19 di mana situasinya saat ini dilihat masih belum sihat sepenuhnya. Malah ada ketikanya dirinya masih memakai bantuan pernafasan malah dirinya masih bergantung pada antibiotik bagi menyembuhkannya ketika menerima rawatan di Hospital Ampang kala ini.
Dalam perkongsian di instagramnya semalam, Aishah mengucapkan ribuan terima kasih di atas doa dari semua pihak agar dirinya kembali sembuh seperti sedia kala.
Walau tidak mengenali mereka secara langsung tapi dirinya tahu keluarga, kawan-kawan, anak-anak tahfiz, ahli-ahli kelab peminatnya serta orang ramai yang sentiasa mendoakan kesihatannya.
“Terima kasih pada kawan-kawan yang banyak membantu. Saya dapat tahu ada anak-anak tahfiz yang doakan saya. Mereka ini orang tidak saya kenali, hanya Allah saja yang dapat membalas jasa mereka. Dan saya tidak tahu doa siapa diangkat ke langit hingga saya mampu berada dalam keadaan hari ini,”katanya yang berterusan mengucapkan jutaan terima kasih atas doa dari semua.
“Ujian yang saya terima hari ini mampu menjadikan diri saya lebih baik pada masa akan datang sebelum Allah tarik nyawa. Masa yang sama, saya nak minta maaf kalau tak mampu menjawab mesej dari semua kerana antibiotik yang diberi kepada saya biasanya akan membuat saya terus tertidur. Tak tahulah apa kandungannya,”katanya sedikit bergurau.
Namun apa yang lebih menarik semasa siaran langsung di IGnya semalam @aishahjmm, penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu ini berkongsi satu mimpi aneh dialaminya ketika dalam keadaannya agak kritikal akibat Covid ini.
“Ketika dalam keadaan oksigen saya tidak berapa bagus itu, saya bermimpi dikelilingi anak-anak kucing saya dan anak kucing saya beri makan di luar yang pernah saya beri makan datang. Allah! Doakan saya jadi manusia yang lebih berbakti pada orang-orang susah, pada anak-anak kucing jalanan dan sebagainya. Covid-19 is real, moga semua jaga diri baik-baik. Allah Maha Pengasih, Allah Maha Penyembuh,”” katanya lagi.
Dalam pada itu Aishah turut berkongsi terima kasih atas jasa petugas barisan hadapan yang banyak membantu orang ramai yang diuji wabak ini. “Mereka ini Allah pilih untuk berbakti, moga Allah menjaga mereka semua. Dalam pada itu, Aishah turut meminta orang ramai menjaga diri baik-baik sebelum menutup siaran langsung itu kerana jururawat sudah datang untuk memberikan rawatan kepadanya. Sumber
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini memang kita hanya duduk di rumah saja bagi mengelak jangkitan wabak COVID-19 ini.
Namun sedarkah kita sebenarnya dalam PKP ini ada antaranya membuat dosa tanpa sedar. Benar, manusia memang ada pelbagai ragam dan karakter masing-masing.
Apabila kita duduk di rumah, segala jenis perwatakan kita dapat dilihat sama ada dari sisi yang positif mahupun negatif.
Sedar atau tidak, sisi negatif itu kadangkala begitu ‘berbahaya’ bukan sahaja kepada diri kita sendiri, malah orang yang ada di dalam kediaman yang sama dengan kita.
Boleh jadi sisi negatif itu perkara yang boleh mengundang kepada dosa walaupun nampak remeh. Natijahnya, seisi rumah boleh menerima tempiasnya.
Demikian antara lain mesej yang cuba disampaikan pendakwah, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Al-Idrus menerusi kuliah duha di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
1. Tidak menjaga batasan aurat sesama ipar-duai di dalam rumah
Bila semua orang berada di rumah, sudah tentulah adik-beradik yang memang duduk serumah ada dalam satu bumbung yang sama. Tambah-tambah lagi mereka yang sudah berkeluarga dan beranak pinak. Barangkali ada yang pulang ke kampung sebelum PKP lagi, makin ramailah ahli keluarga berkumpul di rumah ibu bapa masing-masing.
Dalam keadaan ini, jagalah batasan aurat antara abang ipar dan adik ipar, sepupu dan sebagainya. Tolonglah jaga aurat masing-masing supaya ada keberkatan ALLAH dalam rumah yang didiami itu. Bila ada orang buat maksiat dalam rumah berkenaan, rahmat ALLAH akan terhalang. Ingat tu!
2. Tamak dan pentingkan diri sendiri
Duduk ramai-ramai dalam satu rumah ada masanya makanan tidak cukup. Ada masa makanan banyak sangat. Apalah salahnya kita adik-beradik berkongsi sama-sama. Bila makanan banyak, kita kongsi rezeki bersama. Seandainya sedikit, kita makan sama-sama sedikit. Janganlah berbuat dosa di dalam rumah dengan sikap tamak dan pentingkan diri. Sebaliknya, agihkan secara bersama-sama.
Ingatlah, ada orang lebih susah lagi daripada kita seperti saudara seagama kita di Syria yang tiada rumah dan terpaksa menahan sejuk. Kita beruntung sebab kerajaan sangat prihatin dengan menyediakan bantuan. Sebagai rakyat, bantulah kerajaan untuk memudahkan proses agihan dalam membantu kita.
JANGAN terlalu leka dengan telefon sehingga melalaikan ibadah solat dan tanggungjawab kita yang lain.
3. Lalai menunaikan solat
Walaupun duduk di rumah dan tiada alasan untuk tidak mendirikan solat, namun masih ada juga yang melalaikan Rukun Islam ke-2. Ya, terlalu leka dengan telefon sampai mata pun ‘melekat’ sekali pada gajet hingga terlepas waktu solat.
Bayangkan orang di dalam rumah itu semuanya solat dan berdoa, begitu juga dengan ahli jawatankuasa masjid bertugas. Mereka siap pasang alunan bacaan ayat suci al-Quran, laungkan azan, solat dan doa di masjid. Orang kata, biar ada syiar dalam kampung kita. Namun, kita pula tidak solat. Jangan disebabkan sikap kita yang berbuat dosa ini, doa semua orang tidak dimakbulkan oleh ALLAH.
Ia sebagaimana yang berlaku kepada seorang lelaki Bani Israel yang melakukan maksiat selama 40 tahun pada zaman Nabi Musa AS. Justeru, Ustaz Syed Norhisyam mengajak kita untuk mengambil suri teladan dalam kisah berkenaan. Kisah itu dicoretkan dalam kitab At-Tawwabin yang menghimpunkan kisah-kisah orang bertaubat oleh Imam Ibnu Qudamah.
Ceritanya berbunyi begini. Ketika itu, berlaku musim kemarau yang teruk. Keadaan itu berlaku dalam tempoh yang lama. Bayangkan keadaan kering-kontang, tumbuhan mati, sungai kering dan haiwan ternakan kurus sehingga tidak dapat mengeluarkan susu.
Melihat kepada keadaan itu, Bani Israel datang bertemu Nabi Musa AS. Kata mereka: “Wahai Nabi Musa, bukankah kamu kata kamu seorang nabi. Doalah minta pada Tuhan kamu agar turunkan hujan.”
Lantas, nabi ALLAH itu berdoalah kepada Sang Pencipta. Baginda juga bermunajat dan berdoa meminta agar diturunkan hujan. ALLAH kemudian berfirman dengan memerintahkan Nabi Musa supaya mengumpulkan Bani Israel di suatu padang dan berdoa beramai-ramai minta diturunkan hujan.
Mendengarkan firman YANG MAHA ESA itu, Nabi Musa segera mengumpulkan semua kaum Bani Israel di suatu padang. Mereka pun berdoa meminta agar diturunkan hujan. Namun begitu, hujan masih tidak lagi turun sehingga membuatkan segelintir mereka bertanyakan kepada Nabi Musa tentang hal itu.
Apabila baginda AS mengajukan persoalan berkenaan, ALLAH berfirman: “Wahai Musa, dalam kalangan kamu di padang yang ramai ini, ada seorang lelaki ahli maksiat yang sudah 40 tahun dia melakukan maksiat kepada-KU. Suruh lelaki itu keluar dulu daripada khalayak ramai, baru AKU akan makbulkan doa kamu (turunkan hujan).”
Maka, Nabi Musa AS pun menyeru kepada pemuda ahli maksiat berkenaan supaya keluar. Disebabkan lelaki itulah, musibah kemarau itu berlaku dan kerana pemuda tadi juga menjadi punca doa kaum Bani Israel tidak dimakbulkan-NYA.
Selepas beberapa kali baginda menyuruh lelaki tadi keluar, akhirnya ahli maksiat itu pun ‘menyerah diri’. Sambil menundukkan mukanya, lelaki itu berdoa: “Ya ALLAH, tolonglah ampunkan dosa aku. Selama ini, aku berbuat maksiat, ENGKAU tak pernah dedahkan aku. Tolonglah jangan dedahkan aku di khalayak. Aku nak minta ampun Ya ALLAH.”
Belum habis lagi pemuda itu berdoa, dengan kehendak ALLAH, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Subhanallah!
Namun begitu, Nabi Musa begitu hairan dengan keadaan itu kerana baginda tidak nampak lelaki ahli maksiat itu keluar. Lalu, baginda berkata: “Ya ALLAH, pemuda yang buat maksiat tak keluar lagi, tetapi ENGKAU dah turunkan hujan.”
ALLAH berfirman: “Wahai Musa, kerana dia, AKU tak turunkan hujan. Kerana dia ahli maksiat, AKU tidak menerima doa kamu semua. Sekarang, kerana taubatnyalah, AKU turunkan rahmat-KU, kerana taubatnyalah, AKU perkenankan doa kamu semua. Dia telah bertaubat dan kerana itu AKU telah menurunkan hujan.”
Begitulah kebesaran ALLAH. Baginda memohon kepada ALLAH agar diperlihatkan pemuda berkenaan yang dilihat sangat hebat kerana turunnya rahmat ALLAH apabila dia bertaubat. Namun, ALLAH tidak mengizinkan-NYA.
Jelas kisah itu tersirat ibrah yang begitu besar. Dosa menjadi sebab kepada musibah. Maksiat menjadi punca doa tidak dimakbulkan. Sesungguhnya, taubat yang bersungguh-sungguh mengundang rahmat ALLAH SWT sehingga terhenti musibah kemarau tadi.
Keadaan ini hampir sama dengan apa yang kita alami kini. Seluruh dunia sedang ditimpa musibah dan ujian wabak Covid-19. Ambillah iktibar daripada kisah taubat si pemuda maksiat tadi.
Jangan disebabkan sikap kita seorang, seisi rumah kita tidak mendapat rahmat-NYA. Doa ahli-ahli keluarga kita di dalam rumah tidak ‘diangkat’ ke langit. Berubahlah untuk kebaikan bersama.
Ayuh kita bersama-sama istighfar dan tinggalkan dosa. Semoga ALLAH mengampunkan kita serta menurunkan rahmat kepada kita.
Sumber: Sinar Plus Via Facebook Syed Mohd Norhisyam al-Idrus
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?