Kebanyakan di rumah-rumah orang Islam masih terdapat di dinding-dinding rumah mereka tergantung gambar-gambar manusia samaada tuan rumah sendiri atau ahli keluarganya. Atau pun gambar-gambar binatang menghiasi dinding rumah mereka sebagai perhiasan. Tidak kurang juga kita dapati ada sebahagian mereka yang menjadikan patung-patung binatang sebagai koleksi perhiasan yang diletakkan dialmari perhiasan sebagai hobi tuan rumah.
Adakah amalan seperti ini dilarang atau dibenarkan? Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada:
Pertama : Gambar
Kedua : Patung
Ketiga : Anjing
Keempat : Orang yang junub.
GAMBAR MAKHLUK BERNYAWA
Malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah malaikat rahmat. Manakala yang dimaksudkan dengan gambar pula ialah gambar makhluk bernyawa seperti gambar manusia dan binatang.
Haram bagi orang yang meletakkan gambar yang bernyawa di rumah-rumah mereka, seperti gambar bersanding, menerima ijazah dan sebagainya sekali pun gambar keluarga, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut.
Tiada mengapa dan diharuskan meletakkan gambar yang berbentuk bunga, pohon pokok, kapal, rumah, ayat Al-Quran, kata-kata hikmah, kereta, motorsikal dan sebagainya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling mendapat seksa pada hari kiamat adalah para pembuat gambar (pelukis/pengukir).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Kitab Pakaian (al-Libas), 5959. Muslim dalam bab yang sama, 2109)
Dalam hadis Nabi SAW yang lain bermaksud: Dari ‘Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang.
Berkata ‘Aisyah: “Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku?
Rasulullah SAW kembali bertanya: “Bantal-bantal apakah itu?”
Jawab ‘Aisyah, “Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar.”
PELUKIS GAMBAR AKAN DISEKSA DI HARI KHIAMAT
Sabda Rasulullah SAW: “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: “Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!”
Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.”
(Hadis Riwayat Muslim).
Daripada Ibnu ‘Abbas, “Aku mendengar Muhammad berkata, ‘Barang siapa membuat gambar di dunia ini, dia akan dipersoalkan serta diminta supaya memberikan nyawa kepada apa yang dilukiskannya pada hari kiamat nanti, tetapi dia tidak akan mampu melakukannya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab Pakaian (7/72), no. 846)
Sumber kredit: Ustaz Abu Basyer