Kita sering melihat suami isteri “melondehkan” sisi kain dalam ketika bergurau dengan kawan-kawan atau saat sudah tidak sefahaman lagi.
Bahkan ada suami dan isteri yang langsung tidak segan silu menceritakan kehebatan pasangan mereka di ranjang kerana berasa bangga memiliki pasangan yang hebat dalam urusan nafkah batin.
Namun sikap ini seharusnya dibuang berdasarkan satu hadith.
Imam Muslim dari Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu mengatakan bahawa berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya di antara manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala pada hari Kiamat adalah laki-laki yang menyetubuhi isterinya dan isterinya memberikan kepuasan kepadanya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya.”
Imam An-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya, “Shahih Muslim” memaklumkan “dalam hadith ini terdapat pengharaman bagi seorang suami untuk bercerita mengenai hubungan intim yang dilakukan bersama isteri dan menceritakannya secara terperinci termasuk ekspresi wajah isteri ketika hubungan baik berupa ucapan, aktiviti mahu pun seumpamanya.
Dalam satu hadith Asma’ binti Yazid, ia berkata: “Aku pernah berada di tempat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, sedangkan para lelaki dan para wanita sedang duduk. Lalu Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Mungkin ada lelaki yang menceritakan apa yang telah dilakukan bersama isterinya, dan mungkin seorang wanita mengkhabarkan apa yang telah dilakukan bersama suaminya.”
Serentak mereka terdiam. Lalu aku berkata: “Demi Allah benar, ya Rasulullah. Sesungguhnya mereka para wanita melakukannya. Dan mereka para lelaki pun sungguh melakukan hal itu juga.”
Baginda terus bersabda, “Jangan kalian lakukan hal itu. Sesungguhnya hal itu seperti syaitan lelaki yang berjumpa dengan syaitan betina di jalan lalu menggaulinya, dalam keadaan manusia melihatnya.”
Maka wahai saudaraku, takutlah engkau kepada Rabb-mu, kenakanlah pakaian taqwa dan berhiaslah dengan malu kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
“Rasa malu itu adalah sebahagian dari iman.”
Sebab itulah, pasangan suami isteri dilarang sama sekali untuk menceritakan proses dan hubungan suami isteri kepada orang lain bahkan kepada anggota keluarga sendiri. Hubungan seks antara suami isteri adalah perkara paling rahsia dan sangat peribadi.
Tidak boleh ada ruang untuk orang lain mengetahui cerita kelambu kita. Bahkan ketika suami hendak menunaikan ibadah terhadap suaminya dan kebetulan di bilik ada seekor kucing, maka binatang itu harus dikeluarkan terlebih dahulu. Sumber : Islampos