Islam menyeru umatnya untuk bekerja dalam meneruskan kehidupan seharian. Malah digalakkan mencari rezeki yang halal kerana setiap sen yang kita peroleh akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di hari akhirat kelak.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ
Maksudnya: “Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat, hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.” Riwayat al-Tirmizi (2416).
Isu seorang pekerja tidak dibayar gaji OT selama tiga tahun pastinya menarik minat ramai kerana dirinya perlu bekerja lebih tapi upahnya tidak dibayar sebagaimana dalam perjanjian kerjanya. Penantianna akhir dan rezeki berpihak padanya apabila memperoleh RM58,000 selepas bertindak menyaman pihak majikan seperti dikongsikan di page fb Islam Agamaku.
Berikut adalah kisahnya :-
Pekerja Keselamatan Menang Gaji OT 3 tahun-
Sivarajan Arumugam
8hb Feb 2022
Murali Vengu seorang pekerja keselamatan yang telah bekerja dengan sebuah bengkel kereta kemalangan dan pusat tuntutan insurans, telah menfailkan tuntutan gaji kerja lebih masa (OT), gaji cuti rehat dan juga gaji cuti hari kelepasan am terhadap majikannya pada bulan Oktober, 2021 yang lalu.
Murali seorang sahajalah yang menjaga keseluruhan stor bengkel yang menempatkan kereta-kereta kemalangan yang sedang melalui proses bayaran insurans. Majikan bengkel tidak mengambil pekerja keselamatan tambahan. Maka beliau diminta bekerja dari 7malam sehinggalah pejabat bengkel tersebut buka pada jam 9 pagi pada hari keesokannya.
Walaupun beliau sepatutnya hanya bertugas selama 12jam, iaitu dari 7 malam sehingga 7 pagi, tetapi biasanya beliau diminta tunggu sehingga pekerja ofis masuk kerja pada jam 9 pagi. Maka beliau bekerja sehingga 14jam setiap hari.
Murali juga tidak diperuntukkan apajua cuti rehat setiap minggu, cuti tahunan dan diminta juga kerja pada hari kelepasan am. Pada hari dimana Murali terpaksa keluar untuk urusan penting, beliau terpaksa menempatkan isterinya di pondok pengawal untuk sementara waktu sehingga beliau pulang.
Walaupun bekerja 12jam hingga 14 jam setiap hari, tetapi beliau hanya menerima gaji asas sebanyak RM 1,300 dan elaun petrol sebanyak RM250 setiap bulan. Sehingga beliau berhenti kerja pada tahun 2018, beliau langsung tidak dibayar gaji kerja lebih masa OT.
Semasa rundingan di Jabatan Tenaga Kerja Subang Jaya pada hari ini, majikan cuba mengelirukan pegawai dengan mengatakan bahawa pelbagai bayaran telah dibuat kepada Murali. Tetapi pemeriksaan lanjut menunjukkan bahawa majikan mengabungkan bayaran elaun petrol dan caruman KWSP untuk memberikan gambaran bahawa suatu jumlah besar telah dibayar kepada Murali dan tuntutannya tidak betul.
Saya telah menerangkan bahawa, tuntutan Murali sebenarnya melibatkan pelbagai komponen seperti tuntutan gaji lebih masa (OT) hari kerja biasa, hari rehat, hari kelepasan am, gaji kerja hari rehat dan gaji kerja hari kelepasan am. Majikan pun mengaku bahawa bayaran gaji kerja lebih masa sememangnya tidak dibayar kepada Murali, maka mereka mencadangkan suatu penyelesaian dibincangkan tanpa melalui perbicaraan penuh.
Selepas rundingan beberapa kali diantara majikan dan pegawai, akhirnya majikan bersetuju membayar sebanyak RM 58,000 kepada Murali sebagai amaun penyelesaian. Jumlah tersebut adalah lebih kurang bersamaan dengan RM1,600/sebulan gaji lebih masa untuk 3 tahun.
Seperti Murali, ada ramai lagi pekerja keselamatan yang ditipu tanpa dibayar gaji lebih masa, walaupun ianya jelas dinyatakan sebagai amaun yang perlu dibayar oleh majikan dalam Akta Kerja. Maka, lebih ramai lagi pekerja keselamatan harus memastikan bahawa hak mereka terbela dan kiraan gaji merangkumi bayaran gaji kerja lebih masa.
Rakyat pekerja hanya dapat mengajar majikan-majikan seperti ini, jika lebih ramai lagi yang menfailkan kes dan mengheret mereka ke Mahkamah Buruh. Tindakan ini amat penting, demi memastikan industry pengawal keselamatan ini menghentikan penindasan dan perampasan hasil titik peluh pekerja tanpa membayar gaji OT.
Dalam pada itu ini adalah hak pekerja dalam islam yang perlu kita tahu
Berikut adalah hak pekerja yang mesti diberikan oleh majikan kepada pekerja seperti dikongsikan di page Mufti Kuala Lumpur. Antara lain ialah:-
Gaji yang telah dijanjikan. Ia hendaklah dibayar mengikut terma perjanjian. Bahasa yang digunakan dalam hadis adalah sebelum peluh kering seperti dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:-
أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ
Maksudnya: “Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.”
Riwayat Ibn Majah (2443), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11988)
dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (34)
Imam al-Munawi berkata: “Haram hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, ketika para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/718)
Walaupun begitu penggajian boleh juga berdasarkan kesepakatan antara pekerja dan majikan sama ada dibayar mengikut harian, mingguan atau bulanan. Ada juga dibayar dalam bentuk sekali gus dan ada juga yang mengikut jam.
Oleh itu, jika hal seperti ini sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan tersebut. Sesungguhnya Islam sangat menitik beratkan kebajikan seorang pekerja serta memberi peringatan keras terhadap majikan yang menzalimi pekerjanya. Dalam satu hadith qudsi, Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman:-
ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ… وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ
Maksudnya: “Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari Kiamat… (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan. (Riwayat al-Bukhari (2227) dan Ibn Majah (2442)
Imam al-Subki dalam satu fatwanya menyebut:
ﻭﺍﻟﺮَّﺟُﻞُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺍﺳْﺘَﺄْﺟَﺮَ ﺃَﺟِﻴﺮًﺍ ﻣُﺴْﺘَﻮْﻑٍ ﻋَﻤَﻠَﻪُ ﻭَﻟَﻢْ ﻳُﻌْﻄِﻪِ ﺃَﺟْﺮَﻩُ ﺑِﻤَﻨْﺰِﻟَﺔِ ﻣَﻦْ ﺍﺳْﺘَﻌْﺒَﺪَ ﺍﻟْﺤُﺮَّ ﻭَﻋَﻄَّﻠَﻪُ ﻋَﻦْ ﻛَﺜِﻴﺮٍ ﻣِﻦْ ﻧَﻮَﺍﻓِﻞِ ﺍﻟْﻌِﺒَﺎﺩَﺓِ ﻓَﻴُﺸَﺎﺑِﻪُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺑَﺎﻉَ ﺣُﺮًّﺍ ﻓَﺄَﻛَﻞَ ﺛَﻤَﻨَﻪُ ﻓَﻠِﺬَﻟِﻚَ ﻋَﻈُﻢَ ﺫَﻧْﺒُﻪُ
Maksudnya: “Seseorang yang mengupah orang lain bekerja, kemudian orang tersebut telah menunaikan tugasnya dengan baik, namun dia tidak memberikan upahnya, adalah sama seperti orang yang menghambakan manusia merdeka. Dia menghalang orang lain untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah sunnah. Maka ini sama sahaja dengan orang yang menjual manusia merdeka kemudian memakan hasilnya. Ini adalah dosa yang sangat besar.” (Lihat Fatawa al-Subki, 2/377).
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI