Inilah Sebabnya Kenapa Kena Cakap ‘Alhamdulillah’ Setiap Kali Bersin, Bukannya Ucap ‘Excuse Me’

Share

Tidak dinafikan, ramai di kalangan kita jika bersin tidak menuturkan kalimah alhamdulillah setiap kali bersin sebaiknya menggantikan dengan perkataan ‘Excuse Me, lebih-lebih jika ada orang di sebelah sebagai tanda mohon maaf.

Dalam Islam, bersin sebenarnya merupakan satu nikmat semula jadi yang diberikan ALLAH SWT kepada setiap insan.

Bahkan, ALLAH begitu menyukai orang yang bersin kerana dengan bersin itu, ia dapat mengeluarkan penyakit daripada tubuh badannya.

Ia sebagaimana hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sesungguhnya ALLAH SWT menyukai bersin dan membenci menguap.”

(Riwayat al-Bukhari)

Menurut Imam Ibnu Hajar, maksud ALLAH SWT menyukai orang yang bersin kerana bersin dapat meringankan badan dan membuka liang-liang roma.

(Lihat Fath al-Bari li Ibnu Hajar, 10/607)

Oleh sebab bersin merupakan anugerah ALLAH, Islam sebenarnya mengajar umatnya etika dan adab ketika bersin menerusi apa yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, utusan ALLAH.

Artikel Berkaitan: Kerap Amalkan Zikir Ya Latiff, Senjata Paling Mustajab Lenturkan Hati Pasangan & Redakan Ketegangan

Berikut adalah adab ketika bersin menurut Islam yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian:

1. Seseorang yang bersin hendaklah mengucapkan kalimah tahmid iaitu Alhamdulillah atau Alhamdulillahi ala kulli hal.

2. Seseorang yang mendengar orang yang bersin dan menyebut kalimah tahmid hendaklah menjawab Yarhamukaallah.

3. Kemudian orang yang bersin itu membalas dengan Yahdikumullah wa yuslih baalkum.

4. Sekiranya orang yang bersin itu melebihi tiga kali, maka yang mendengarnya hendaklah mendoakan kesembuhan ke atasnya.

5. Seseorang yang bersin itu sebaiknya menutup mukanya dan tidak menghalakan mukanya ke arah orang ramai dan juga makanan. Ia bagi mengelakkan jangkitan kuman kepada orang lain.

Abu Hurairah RA meriwayatkan:

“Bahawasanya apabila Nabi Muhammad SAW bersin, baginda menutup wajah dengan tangan atau kainnya sambil merendahkan suaranya.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Sesungguhnya, begitu cantik aturan yang telah digariskan oleh Islam. Malah, kebanyakan saranan pakar tentang aspek kebersihan ketika bersin juga sama dengan anjuran Islam.

Jadi selepas ini, apa kata kita gantikan perkataan excuse me tadi dengan ucapan Alhamdulillah ketika bersin.

Orang yang mendengar kita bersin pula akan menyambutnya dengan kalimah tahmid juga. Alangkah seronoknya kita saling mendoakan sesama kita.

Artikel Berkaitan: Wanita Ini Kongsi 12 Amalan Menjemput Rezeki & Kelebihan Zikir ‘Laa Ila Hailla Anta Subhanaka Innikuntumminazolimin’

Published by
Siti Zurina Mat Saman