Apabila ada individu yang berniat untuk bernikah, maka individu di sekelilingnya perlu memberi jalan bagi memudahkan proses pernikahan. Misalnya memberikan jumlah hantaran yang masuk akal mengikut kepada kemampuan bakal pengantin lelaki. Selain itu memberi restu kepada pasangan ini supaya urusan untuk membolehkan mereka cepat bernikah menjadi lebih mudah.
Jom kita realistik. Di Malaysia, untuk bernikah ada peraturan yang perlu dipenuhi. Agak ambil masa ialah untuk melengkapkan dokumentasi Surat Kebenaran Nikah dari Jabatan Agama termasuklah pemeriksaan kesihatan iaitu ujian HIV. Jabatan Agama pun sudah memudahkan urusan pernikahan dengan nilai mas kahwin yang sangat murah.
Kemudian, kita pula hidup ada adat. Adat atau adat resam ialah cara hidup masayarakat sejak turun temurun. Mana yang elok, kita ikut. Mana yang menyusahkan, tiada salahnya untuk kita tinggalkan.
Jangan diberatkan kepala bakal pengantin dengan adat-adat yang memeningkan. Misalnya kena ada majlis merisik, majlis bertunang. Cukuplah jika sekadar pertemuan ibu bapa kedua-dua belah pihak. Bagi membincangkan soal pernikahan anak masing-masing.
Begitu juga dengan wang hantaran. Ikutlah kemampuan si lelaki. Majlis yang bagaimana hendak dijalankan. Pun begitu. Diingatkan kepada semua Islam menganjurkan proses yang mudah untuk berkahwin sebaliknya jangan ambil mudah.
Jangan ambil mudah soal kahwin. Ini kerana perkahwinan menuntut tanggungjawab dan paling utama ialah tanggungjawab lelaki sebagai suami sekali gus sebagai ketua keluarga. Lelaki perlu tahu tanggungjawab dan perlu ada usaha. Janganlah ambil mudah sampaikan usaha untuk bernikah itu dibuat sambil lewa.
Ini antara yang perlu diambil kira:
1) Berilah bakal isteri kamu sekurang-kurangnya sebentuk cincin sebagai hadiah kala pernikahan. Tidak kiralah cincin apa sekali pun. Jika mampu cincin emas berlian. Jika tidak mampu, cincin belah rotan. Jika tidak mampu juga, cincin perak. Sekurang-kurangnya isteri gembira dengan pemberian.
2) Berusahalah untuk mengadakan majlis walau sekecil mana pun. Ikut kemampuan kamu. Namun jangan ambil mudah sehinggakan kamu tidak mahu buat majlis pun. Alasan kamu, Islam tidak mahu menyusahkan. Jangan begitu ya. Kena usaha sikit untuk buat majlis. Kecil pun tak apa.
3) Hantaran. Ya, memanglah hantaran ini hanya adat kerana yang penting ialah akad nikah dan mas kahwin. Namun buatlah hantaran dengan niat untuk memberi hadiah kepada pihak yang satu lagi. Tak perlulah berdulang-dulang jika tidak mampu. Buat setakat mana yang anda mampu. Selagi adat itu tidak menyusahkan, apa salahnya ikut, kan?
4) Baju pengantin dan pakej fotografer. Jangan susahkan pengantin jika pengantin tidak mampu. Namun jika ada sedikit usaha daripada bakal pengantin, pasti boleh sarungkan pakaian yang agak baik dan hasilnya anda nampak cantik pada hari pernikahan. Betul tak? Nama pun jadi pengantin. Takkanlah anda tidak mahu tampil cantik. Tak perlu sewa yang mahal-mahal pun. Usah membazir. Ada pengantin yang boleh jimat kerana jahit sendiri. Macam-macam cara untuk menjimatkan wang.
5) Goodie bag untuk tetamu. Jika anda menganggap hal ini membazir, tak perlu adakan pun tak apa. Jika anda ada bajet, untuk menggembirakan tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan anda, apa salahnya sediakan goodie bag. Ada macam-macam produk dijual mengikut bajet anda.
Ingin diingatkan sekali lagi, Islam tidak pernah sesekali menyusahkan bakal pengantin. Pun begitu, Islam tidak menghalang kita berbuat sesuatu untuk menggembirakan hati orang. Usaha yang dibuat untuk menggembirakan hati orang lain juga boleh mendatangkan pahala.
Apa salahnya jika pengantin lelaki dan perempuan sama-sama usaha untuk membuat majlis perkahwinan yang sedap mata memandang asalkan tidak sampai menyusahkan. Buat yang ringkas namun meriah. Bukankah ini satu kenangan untuk anda berdua.
Selagi tidak membazir maka majlis itu masih lagi dirahmati ALLAH. Niatkan untuk menghargai pasangan dan menggembirakan hati orang lain.
Ingat ya, Islam memudahkan urusan pernikahan. Namun kita jangan sesekali AMBIL MUDAH. Jika tidak mahu berkorban pada awal perkahwinan, boleh ke kita harapkan seseorang itu untuk berkorban selepas berkahwin?
VIDEO KASHOORGA: