Kerohanian

Isteri Buat Rawatan Ketatkan Faraj Demi Kepuasan Suami, Ini Hukumnya

Share

Kebanyakan suami sangat mengambil berat tentang nafkah batin. Keadaan ini menyebabkan ada sesetengah isteri yang begitu prihatin tentang kepuasan suami ketika melakukan hubungan intim apatah lagi jika mereka sudah beberapa kali bersalin.

Malah ada isteri yang sampai ke peringkat mahu melakukan rawatan “laser vaginal tightening” untuk mengetatkan faraj demi kepuasan suami. Dalam hal ini adakah ia dibenarkan oleh syarak?

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, rawatan Rawatan “laser vaginal tightening” (mengetatkan otot-otot faraj yang longgar) melibatkan proses mengubahsuai ciptaan-Nya.

Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang ditetapkan pada makhluk-Nya; sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya. Ini berdasarkan dalil- dalil berikut:

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya : Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu,Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu. Surah al-Rum (30)

Hukum berdasarkan tujuan

Oleh itu, solusi hukum berdasarkan tujuan serta keadaan -keadaan berikut :

Harus – bagi tujuan merawat penyakit (daruriyyat) atau kecacatan akibat kesan kemalangan agar dapat mengembalikan semula bentuk asal serta memulihkan fungsinya.

Haram – bagi tujuan kosmetik (tahsiniyyat) semata-mata mahupun meningkatkan kepuasan seks pasangan.

Larangan tersebut atas faktor -faktor berikut :

  • Kelonggaran faraj merupakan proses semula jadi yang berlaku akibat penuaan, atau kekerapan bersalin, maka ia termasuk dalam mengubah ciptaan-Nya.
  • Ancaman fitnah kerana melibatkan pendedahan aurat yang bukan bertujuan keperluan perubatan.

Justeru, perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penentuan hukum adalah niat melakukan “laser vaginal tightening” sama ada ia bertujuan kosmetik semata-mata atau atas dasar maslahat daruriyyat atau hajiyyat.

Hal ini kerana, rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan-Nya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak (daruriyyat) dan bukan semata-mata untuk kecantikan serta kepuasan nafsu.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Team Kashoorga