Kerohanian

Isteri Mengidam Perkara Pelik-Pelik, Wajarkah Suami Tunaikan

Share

Situasi biasa bila seorang isteri hamil teringin atau mengidam makan sesuatu. Kalau makanan biasa mungkin tiada masalah tapi ada juga yang mengidam minum alkohol, makan sabun atau teringin hidu minyak petrol.

Jika mengidam perkara begini bagaimana pula, wajarkah suami tunaikan? Berikut adalah penjelasan yang dipetik daripada Mufti Wilayah Persekutuan

Penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan

Mengidam merupakan keinginan yang tinggi bagi wanita hamil terhadap makanan. Oleh itu, suami wajib menunaikan apa-apa keinginan isteri hamil (mengidam) terhadap makanan yang menjadi kebiasaannya kerana termasuk dalam konteks nafkah.

Walau bagaimanapun keinginan wanita hamil yang bertunjangkan hawa nafsu semata-mata serta perkara haram adalah dilarang. Hal ini kerana mengidam bukanlah sesuatu darurat yang boleh menghalalkan perkara yang haram. Oleh itu, suami sewajarnya menapis agar setiap kemahuan tersebut tidak menjatuhkan maruah suami serta apa-apa keinginan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Mengidam Semasa Hamil

Mengidam ialah keinginan yang tinggi terhadap sesuatu jenis makanan yang dirasai ketika mengandung.[1] Namun punca mengidam masih lagi tidak dapat ditemui.

Sementara, dakwaan air liur bayi akan meleleh kerana kemahuan ibunya ketika hamil tidak dipenuhi masih belum dapat dibuktikan secara saintifik. Sementara, sesetengah saintis menyatakan mengidam makanan pelik mahupun melakukan sesuatu yang luar biasa mungkin disebabkan perubahan hormon wanita semasa hamil. [2]

Tanggungjawab Nafkah Suami Bagi Wanita Yang Mengidam Makanan

Fuqaha mazhab Syafi‘i telah membahaskan berkaitan nafkah yang perlu diberikan oleh suami untuk perbelanjaan isteri hamil yang mengidam makanan. Perkara ini disebut dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi:

يَنْبَغِي أَنْ يَجِبَ مَا تَطْلُبُهُ الْمَرْأَةُ عِنْدَ مَا يُسَمَّى بِالْوَحَمِ مِنْ نَحْوِ مَا يُسَمَّى بِالْمُلُوحَةِ إذَا اُعْتِيدَ ذَلِكَ. وَأَنَّهُ حَيْثُ وَجَبَتْ الْفَاكِهَةُ وَالْقَهْوَةُ وَنَحْوُ مَا يُطْلَبُ عِنْدَ الْوَحَمِ، يَكُونُ عَلَى وَجْهِ التَّمْلِيكِ فَلَوْ فَوَّتَهُ اسْتَقَرَّ لَهَا وَلَهَا الْمُطَالَبَةُ بِهِ وَلَوْ اعْتَادَتْ نَحْوَ الْأَفْيُونِ بِحَيْثُ تَخْشَى بِتَرْكِهِ مَحْذُورًا مِنْ تَلَفِ نَفْسٍ وَنَحْوِهِ لَمْ يَلْزَمْ الزَّوْجَ لِأَنَّ هَذَا مِنْ بَابِ التَّدَاوِي

Maksudnya: “ sepatutnya menjadi kewajiban apa -apa yang diinginkan isteri ketika mengalami apa yang disebut mengidam iaitu kemasinan sekiranya menjadi kebiasaan. Begitu juga wajib memberi buah-buahan, kopi dan apa-apa yang diinginkan isteri semasa mengidam yang dinyatakan sebagai nafkah yang bersifat pemilikan (tamlik).

Sekiranya suami lambat menunaikan, maka si isteri berhak menuntutnya agar suami dapat melangsaikan. Jika isteri terbiasa dengan makan candu/dadah dan apabila dikhuatiri meninggalkannya menyebabkan kerosakan fungsi badan, maka suami tidak wajib memenuhi permintaan tersebut kerana ia termasuk dalam bab perbahasan perubatan bukannya nafkah.”[3]

Berdasarkan kenyataan berikut, makanan yang memang menjadi kebiasaan isteri dan apabila isteri mengidam ketika hamil, maka wajib suami tunaikannya. Sebagai contoh apabila isteri suka makan benda-benda masin, maka apabila isteri hamil dan kemudian mengidam ikan masin dan ia termasuk tanggungjawab nafkah suami.

Tambahan lagi, jika makanan yang diidamkan itu memberi khasiat dan nutrien kepada ibu dan anak yang dikandung. Walau bagaimanapun, suami tidak diwajibkan memenuhi keinginan isteri sekiranya makanan yang diidamkan di luar kemampuan suami untuk memenuhinya atau bukan makanan yang biasa dimakan oleh isteri.

Adapun, isteri yang mengidam atau berkehendak sesuatu yang di luar kebiasaan dan ditegah oleh syarak serta tidak memberi sebarang kebaikan kepada isteri mahupun kandungannya seperti mengidam minum arak, makan daging khinzir, memegang badan lelaki ajnabi dan sebagainya, maka suami bertanggungjawab menghalang dan haram memenuhi keinginan tersebut. Perkara ini jelas disebutkan dalam firman Allah SWT berikut:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ ۚ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

Surah al-Nisa’ (34)

Oleh yang demikian, dalam keadaan mengidam, isteri hamil yang mengalami perubahan hormon dan beremosi hendaklah sedaya upaya mengawal keinginan dan tidak terlalu mengikut nafsu semata-mata. Suami juga perlu mengambil langkah yang lebih proaktif bagi mengalihkan perhatian dan keinginan tersebut dengan perkara-perkara yang diharuskan oleh syarak.

Selain itu, pasangan suami isteri juga boleh merujuk ahli perubatan bagi mendapatkan khidmat nasihat serta tip bagi mengawal rasa mengidam selain membantu wanita hamil tersebut agar tidak terlalu melayan perasaan terhadap keinginan yang tidak syarii.

Penutup

i. Suami diharuskan memenuhi permintaan dan keinginan isteri lebih-lebih lagi dalam keadaan isteri yang sedang hamil, selagi mana permintaan isteri tersebut dalam lingkungan yang diharuskan oleh syarak. Hal ini kerana permintaan isteri ketika hamil juga merupakan sebahagian daripada nafkah isteri.

ii. Menjadi kewajipan seorang suami mendidik isteri sekiranya kelakuan melebihi batas syarak atau keinginannya pada sesuatu yang telah diharamkan.

iii. Wanita hamil sepatutnya memperbanyakkan amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT agar dapat mengumpulkan kekuatan untuk menghadapi saat perit getir bersalin.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

[1] http://www.myhealth.gov.my/mengidam-semasa-mengandung/

الوَحَمُ: شِدَّةُ شَهْوَةِ الحُبْلَى لِمَأْكَلٍ

[2]https://hsaas.upm.edu.my/akhbar/mengidam_petanda_ibu_kurang_zat_perubahan_deria-19402?L=en

[3] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad, Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib :Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib ( Dar al-Fikr, 1995) J4: P89

 

Published by
Team Kashoorga