Kerohanian

Isteri Tak Tutup Aurat, Adakah Suami Tanggung Dosa

Share

Isteri baik tapi sayangnya tak menutup aurat, masih mengenakan pakaian menampakkan bentuk badan ataupun enggan bertudung mengikut syariat. Walau sudah dinasihat suami tapi isteri masih jua dengan imej yang sama.

Dilema ini mungkin dihadapi oleh ramai para suami di luar sana.  Dalam hal ini adakah suami menanggung dosa isteri yang tidak menutup aurat?

Menjawab permasalahan ramai suami ini, menurut pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun seorang suami yang sudah menasihati isteri sehabis baik untuk menutup aurat TIDAK menanggung dosa isterinya.

Hal ini kerana, beliau sudah menunaikan tanggungjawabnya sebaik mungkin dalam menegur isteri.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٞ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ وَإِن تَدۡعُ مُثۡقَلَةٌ إِلَىٰ حِمۡلِهَا لَا يُحۡمَلۡ مِنۡهُ شَيۡءٞ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰٓۗ
Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.” (Surah Fatir ayat 18)

Dalam pada itu katanya, perihal enggan menutup aurat ini hendaklah ditangani dengan tegas dan mengikut kuasa yang ada pada seorang suami.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka dengan lisannya, jika dia tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim, hadis sahih)

Suami punyai kuasa mencegah isteri

Merujuk kepada hadis di atas, maka suami adalah golongan yang mempunyai kuasa untuk bertindak mencegah isterinya. Untuk hal ini, boleh kita lihat firman Allah di bawah.
Firman Allah SWT:
وَٱلَّٰتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهۡجُرُوهُنَّ فِي ٱلۡمَضَاجِعِ وَٱضۡرِبُوهُنَّۖ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” [An-Nisa’:34]

Tip nasihat isteri tutup aurat

Ustazah Asma’ juga turut memberikan beberapa tip untuk para suami menasihati isteri untuk menutup aurat:

1. Menasihati atau memujuk isteri dalam situasi yang tenang, emosinya stabil. Pilih waktu yang sesuai.
2. Membelikan isteri pakaian yang menepati syariah.
3. Memuji isteri yang sedang mencuba menutup aurat dengan pujian yang menyenangkan hatinya.
4. Berterusan memberi sokongan dan kata-kata semangat pada isteri yang mahu berhijrah dalam penutupan aurat.
5. Membelikan buku-buku mengenai wanita solehah.
6. Sekiranya isteri masih tidak mahu berubah dengan nasihat dan usaha-usaha di atas, maka bolehlah melakukan kaedah yang kedua iaitu memisahkan tempat tidur. Jika tidak juga berhasil, maka dibolehkan memukul isteri (dengan pukulan ringan bagi tujuan mengajarnya).

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Sertai Malaysia #QuranHour 2024, 30 Ogos Ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya

Published by
Team Kashoorga