Kita sering terpesona dengan kecantikan manusia. Baik dari segi paras rupa mahukan bentuk tubuh, kita akan pantas memuji dan kemudian mengagung-agungkan mereka hingga kadangkala orang yang dipuji lupa diri bahawa kecantikan itu datangnya dari Allah SWT.
Tidak hanya perempuan, lelaki juga adakalanya lalai dengan pujian kalau dikatakan wajahnya kacak sedangkan dalam Al-Quran, Allah kisahkan perihal Nabi Yusof yang dikatakan antara Nabi paling tampan namun sangat menjaga keimanan dan menolak godaan wanita bernama Zulaikha.
Di sebalik 1001 kecantikan yang sering ramai wanita impikan, kota Tarim yang terletak di Hadramaut, Yaman merupakan bumi baraqah dan menyimpan banyak kisah sejarah. Ia juga dikenali sebagai ‘Kota Seribu Wali’ kerana menjadi tempat berkumpulnya ramai wali Allah. Malah, masyarakat di kota ini juga dirahmati dengan kebaikan serta perilaku mulia kerana memiliki darah keturunan Nabi Muhammad SAW.
Apa istimewanya kota Tarim dan wanita solehahnya yang digelar bidadari dunia?
Dalam buku berjudul ‘Bidadari Bumi, 9 Kisah Wanita Sholehah’ karya Ustazah Halimah Al-Alaydrus, ada cerita menarik tentang keistimewaan perempuan Tarim, Hadramaut, Yaman.
Dikongsikan, sejak kecil wanita Tarim dibesarkan dalam lingkungan beragama yang dekat dengan ulama, majlis ilmu, maulid dan sebagainya. Sejak kecil mereka dididik untuk membaca Al-Quran oleh orang tua mereka. Bahkan terdidik dengan akhlak yang mulia.
Mereka begitu menjaga pergaulan termasuk aurat dari pandangan lelaki bukan muhrim. Bila mencapai usia baligh, tempat mereka adalah di dalam rumah. Mereka tidak pernah melihat lelaki asing selain dari saudara-saudara lelaki dan orang tua mereka saja.
Wanita di sini dibesarkan dengan tidak kenal apa itu muzik, tidak mengenal kebiadaban dan tidak kenal wajah orang fasiq. Perbincangan mereka adalah perbincangan tentang majlis-majlis ilmu, Al-Quran, adab, akhlak, tasawwuf dan seumpamanya. Begitulah keadaan mereka dibesarkan.
Apabila tiba saat yang sesuai untuk dinikahkan oleh wali masing-masing maka mereka dinikahkan dengan pasangan yang sesuai. Semuanya atas pilihan keluarga dan tidak akan ada bantahan. Tidak ada cinta-cinta atau dating seperti wanita lain. Kebiasaannya mereka menikah di usia yang masih muda, sekitar belasan tahun. Begitulah keadaan wanita di kota Tarim, cukup terpelihara dan terjaga.
Wanita yang cukup berdikari
Wanita Tarim juga tidak pernah menyusahkan suami mereka. Begitu juga dengan para suaminya, tidak menyusahkan isteri mereka. Apabila barang keperluan rumah seperti beras susu dan sebagainya kehabisan, mereka tidak akan memberitahu suami secara terus kerana bimbang suami tidak mempunyai wang atau sibuk dengan urusan lain. Caranya ialah mereka akan meletakkan bungkusan-bungkusan kosong pada tempat yang mudah dilihat suami sebelum dibelikan.
Begitu juga para suami, apa saja hajat dan keperluan dapur seperti sayur dan sebagainya suami yang membelikannya. Keadaan ini tidak pula menghalangi para isteri untuk keluar membeli ke pasar seperti membeli baju atau barang keperluan wanita yang lain. Namun urusan dapur seperti membeli sayur, beras dan lain-lainnya itu merupakan tugas suami atau pembantu.
Sentiasa rapikan bilik tidur dan berbau harum
Satu lagi keistimewaan wanita di kota Tarim ini, isteri biasanya akan menghias bilik tidur serapi mungkin dan menjadikan ia harum mewangi. Apabila suami pulang, keadaan bilik tidur sudah dikemas rapi, indah dan berbau harum. Pakaian suami sudah pasti wangi. Bahkan bilik mandi turut diletakkan wangian dan serapi mungkin, tanda mereka begitu menghormati suami. Bahkan dengan wangian, ia membangkitkan suasana tenang, romantik serta menambahkan kasih sayang.
Tidak pernah tinggikan suara pada suami
Si isteri juga tidak pernah meninggikan suara kepada suami mereka. Mereka tidak pernah marah dan tidak pernah cemburu. Bila mereka merasa kesal, mereka akan menangis dan mengadu pada suaminya dengan nada yang manja. Itulah marah mereka. Keadaannya sama juga dengan para suami. Mereka tidak pernah marah kepada isteri, apa lagi mencaci dan menghina.
Jika suami merasa kesal atas sesuatu perkara, mereka akan menulis sepucuk surat kepada isteri dan kemudian mereka akan pergi atau tidur. Kemudian nanti isteri akan menjawab pula surat daripada suami tadi, seterusnya suami pula akan menjawab surat daripada isteri dan sehingga akhirnya mereka berdua akan tertawa bersama.
Indahnya marah yang seperti ini, marah yang mampu menjadi hiburan, marah yang di akhiri dengan gelak tawa tanpa seorang pun daripada mereka memendam rasa. Jika melihat kehidupan masyarakat di kota seribu wali ini, kita akan temui begitu banyak keunikan dan seni budi bahasa pekerti yang biasa diamalkan oleh Baginda Nabi SAW yang agak susah kita temukan di dunia lain kerana di sini, semuanya mempraktikan ajaran Nabi dalam kehidupan seharian. Inilah keberkahan yang ada di Kota Tarim.
Di Tarim sangat sukar menemui kaum perempuan memperlihatkan wajah mereka di khalayak ramai. Sekalipun mereka bekerja di ladang atau mengembala kambing di kawasan bukit kering, mereka tetap tidak terlihat dari pandangan kaum lelaki. Ini kerana perempuan di Kota Tarim di didik memakai memakai niqab/berpurdah hitam.
Walau cuaca di Hadramaut ini agak panas namun tidak akan sesekali mereka memperlihatkan wajah di khalayak ramai. Wanita di sini hanya akan keluar jika ada keperluan penting sahaja. Apabila ke pasar atau ke kedai pasti ada mahram yang menemaninya atau mereka keluar secara bergerombolan. Maka terpeliharalah mereka dari segala macam fitnah. Itu sebabnya, perempuan Tarim dijoloki bidadari dunia. Sumber :-Kalam Sindownews.