Isu Kartel Daging! SPRM Tahan 2 Pegawai MAQIS Johor

Share

Jika orang ramai merasakan isu kartel daging semakin senyap tetapi nampaknya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mendiamkan diri berkaitan isu yang hangat ini kerana setakat hari ini yang telah didakwa di mahkamah adalah berkaitan logo halal di kenderaan, bukan dalang utama skandal kartel daging ini.

Dalam kejadian hari ini oleh Bernama, SPRM telah menahan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor hari ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah berhubung aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Menurut sumber, kedua-dua suspek masing-masing berusia 27 dan 31 tahun ditahan di Pejabat SPRM Johor, kira-kira 11 malam tadi.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
Beliau memaklumkan kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini untuk permohonan reman.

Isu makanan halal sewajarnya tidak dipandang remeh oleh masyarakat. Ini kerana antara sebab doa kita kepada Allah ditolak adalah kerana kita mengambil makanan yang tidak halal atau syubahah. Ini bersesuaian dengan satu dalil mengenainya.

Daripada Ibn 'Abbas melalui al-Awsat dengan lafaznya, beliau berkata: "Ayat al-Quran ini (surah al-Baqarah, ayat 168) dibaca oleh Nabi Muhammad SAW: Wahai manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik. Lalu Sa'ad bin Abi Waqqas bangun dan berkata: Wahai Rasul Allah, tolonglah berdoa kepada Allah SWT dan pintalah supaya doa aku ini diterima. Maka, Baginda menjawab: Wahai Sa'ad, bersihkanlah makananmu dan percayalah doamu akan diterima oleh Allah SWT. Sesungguhnya jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang hamba yang makanannya daripada sesuap benda yang haram ke dalam perutnya. Sesungguhnya Allah tidak akan memakbulkan doanya selama empat puluh hari dan setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram dan riba, maka api nerakalah yang layak baginya." (Riwayat al-Tabrani)

Semoga Allah jauhkan diri kita dari memakan yang syubahah dan harus diingat, haram mengambil rasuah kerana rasuah bukan saja merosakkan negara tapi juga diri sendiri.

Published by
almaswa Haji Che Ros