Baru-baru ini tular isu jemaah perempuan di sebuah masjid yang enggan merapatkan saf mereka dan solat secara berkelompok.
Meski meluruskan saf itu adalah sebahagian perintah Nabi Muhamad SAW namun hakikatnya kejadian saf lompong kalangan jemaah wanita selalu berlaku sebenarnya.
Ada beberapa alasan yang diberikan. Antaranya mahu duduk dengan rakan, bawa banyak barang dan tak mahu berganjak, tidak mahu berkongsi sejadah dan sebagainya.
Namun apapun alasannya menurut Prof Dr. Kamilin Jamilin perintah untuk rapatkan saf dari Nabi SAW ini tertakluk kepada semua lelaki ataupun perempuan.
“Jangan kita menyalahi perintah Nabi Muhammad SAW dalam bab ini. Nabi menyebut dalam sebuah hadis daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ
Maksudnya: “Luruskanlah saf kamu atau Allah akan memalingkan wajah-wajah di antara kamu.” [Riwayat al-Bukhari (717)]
“Sebahagian ulamak mengatakan ini mungkin balasan di akhirat nanti. Sebahagian ulamak mengatakan Allah akan jarakkan atau hati kami akan berpisah-pisah maksudnya kita tak akan mudah bersatu. Itu juga balasan daripada Allah,”katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau.
Oleh itu ujarnya apabila solat berjemaah cubalah rapatkan saf, jangan fikirkan keselesaan kita, fikirnya untuk ikut perintah Nabi SAW.
“Bila solat berjemaah kita perlu rapatkan saf bahu ke bahu, kaki ke kaki. Jika kita bawa sejadah besar, biarkan orang lain pijak sejadah kita supaya saf dapat dirapatkan. Jika tak mahu jangan bawa sejadah, atau lipat sejadah jadi kecil. Cubalah rapatkan saf, jangan fikirkan keselesaan kita, fikirnya untuk ikut perintah Nabi SAW,” pesan Dr Kamilin lagi.