Hidup berumahtangga memang perlukan banyak tolak ansur untuk saling melengkapi. Jadi suami, kena jagalah isteri begitu sebaliknya untuk jemput rezeki.
Pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga sebaiknya sudah membincangkan awal apa misi dan visi mereka sebagai suami isteri supaya kedua-duanya tahu apa yang perlu dilakukan kelak.
Elok juga kalau boleh digali rahsia bahagia rumahtangga pasangan yang sudah melalui fasa-fasa mencabar sebagai suami isteri sebagai pedoman dan tauladan. Ya lah bukan mudah untuk menemui titik pertemuan dua hati dan jiwa berbeza.
Artikel berkaitan: Dugaan Suami Isteri Bila Duit Tak Cukup. Ingatlah Hanya Taqwa Mampu Atasinya Pesan Imam Muda Hassan
Artikel berkaitan: Saranan Imam Al-Ghazali Tentang Kekerapan Hubungan Intim Suami Isteri
Namun, perkongsian menarik Khairul Hakimin Muhammad, pengasas dan CEO KHM Foodies HQ melalui entri di facebooknya mungkin boleh dijadikan sebagai sekilas ilmu berumahtangga yang boleh dijadikan renungan.
Ia merupakan catatan beliau yang menemui seorang tokoh usahawan kaya raya yang sangat merendah diri, namun usahawan tersebut enggan gambar dan namanya sekeluarga dinyatakan. Demi menjaga privasi dan hubungan baik, maka Khairul akur. Kita ikuti catatan ‘sembang’ mereka berdua.
Akui tak banyak tolong isteri di rumah
“Saya tak banyak sangat tolong isteri saya di rumah kerana saya banyak habiskan masa kerja di luar. Beliau suri rumah dan jaga ke lima-lima anak saya.”
Beliau duk nasihatkan saya tentang bagaimana rezeki kita ini masuk melalui kita ini, ringan tangan dan ringan tenaga kepada isteri.
Beliau merupakan tokoh usahawan yang sering kita jadikan contoh sebagai peniaga yang merendah diri walau sudah kaya raya.
Saya pohon berkali-kali untuk letak nama beliau dan gambar kami bersama, namun beliau tak izinkan, anak dan isterinya juga sama tak benarkan. Saya akur sahajalah kerana mereka masih beri saya bercerita.
Rutin harian sebelum pergi kerja
Saya pelik juga apabila beliau kata beliau tak tolong sangat di rumah, jadi mengapa mahu nasihatkan saya begitu. Rupanya beliau cakap benda mudah sahaja:
“Apabila kita bangun awal, kita cucilah tandas itu sendirian. Sudah siap semua, kejutkan isteri untuk solat subuh.
Selepas solat, lihat telefon dia kalau baterinya dah nak habis, tolong caskan.
Biasanya isteri saya dah siapkan baju semua. Saya akan ambil, pakai.
Kemudian hanger saya letak di tempat yang beliau biasa menggosok baju.
Saya suka sekali waktu dia bangun ke tandas, saya pula dah siap mandi, saya akan kemaskan katil.
Pastikan yang pertama hulurkan tangan kepada isteri
Kalau saya dah nak pergi kerja, saya make sure saya yang hulur tangan kepada dia. Bukan dia yang beriya datang kepada saya, dia sedang sibuk dengan anak-anak, jadi saya perlu bantu dia untuk dapat “salam” saya. Itu semua kunci rezeki kita semua.
Akan telefon isteri sebelum balik ke rumah
Saya suka telefon dia waktu nak balik ke rumah. Saya akan tanya dia masak atau tidak, kalau dalam 6.30 petang dia belum mula masak, maka saya tahu dia tak sempat kerana uruskan anak-anak, jadi saya kata tak apa saya beli sahaja untuk semua. Dan dia sangat happy.
Jadikan rutin sehingga terbiasa
Waktu kita mula berniaga atau buat apa sahaja, jadikan semua ini rutin sampai kita tak perasan kita dah lakukan benda sama berpuluh tahun. Kita tak sedar yang Allah beri kita lebih banyak apabila kita lakukan semua ini.
Tip jemput rezeki
Isteri adalah hati sebuah rumah. Kalau kita tak jaga, dia takkan beri positiviti rumah itu, ia mesti disusun dan disempurnakan dengan banyaknya sistem sokongan kiri kanan depan belakang.
Kita yang tentukan bagaimana kita nak jemput rezeki masuk ke rumah kita. Jadi buatlah baik dengan pasangan masing-masing, jadi suami, jaga isteri. Jadi isteri, jaga suami.”
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Belajar lagi. Alhamdulillah.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ini Sebab Mengapa Kita Dilarang Lukis Gambar Rasulullah
Junjungan besar Rasulullah SAW adalah insan yang paling kita muliakan. Selain mengikut segala sunnahnya, kita juga dilarang sama sekali melukis gambar atau memberikan gambaran rupa fizikal Rasullah dalam apa juga bentuk dokumentasi samada bercetak atau visual digital.
Larangan ini adalah penghormatan kita kepada Rasulullah SAW demi menjaga kesuciannya. Sebenarnya sudah banyak kejadian di pihak kafir cuba melukis gambar Rasulullah seperti bentuk fizikal baginda. Jelas mereka tidak menghormati sensitiviti umat Islam.
Terkini adalah insiden yang melibatkan seorang guru Sejarah di pinggir kota Paris, Perancis yang menunjukkan karikatur Nabi Muhammad kepada muridnya dengan alasan sebagai membuktikan kebebasan bersuara.
Akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu akhirnya nyawanya melayang, kepalanya dipenggal oleh salah seorang anak muridnya.
Tindakan adalah susulan rasa kecewa dan marah apabila Nabi junjungan besar umat Islam diperlakukan begitu.
Artikel berkaitan: 16 Amalan Harian Simple Rasulullah, Rugi Hidup Kita Kalau Tak Buat
Artikel berkaitan: 5 Cara Menghukum Anak Yang Dilarang Rasulullah
Bagi menjelaskan mengapa kita dilarang melukis gambar atau melakonkan watak baginda dalam apa juga karya seni, ustaz Rahman Iskandar dari MUIS pernah menjelaskannya suatu ketika dahulu.
Menurutnya, ulama Ahli Sunnah sepakat MELARANG melukis, melakar atau mengukir gambar para Nabi dan Rasul.
Sebab-sebab larangan tersebut seperti berikut :
1. Menggambar wajah mereka adalah merupakan pembohongan di atas apa yang telah dilukiskan. Pembohongan terhadap mereka adalah perkara yang diharamkan.
Nabi SAW bersabda maksudnya :
“Sesiapa yang berbohong ke atas ku dengan sengaja maka hendaklah dia menempati tempatnya di dalam neraka”. [HR Bukhari dan Muslim]
Berdasarkan hadis ini, maka para ulama ahli sunnah sepakat bahawa HARAM melukis gambar Rasulullah SAW termasuk gambar para Nabi yang lain.
Tidak ada seorang pun manusia yang hidup di zaman ini yang pernah melihat wajah Rasulullah SAW dan juga nabi-nabi yang lain. Dari mana lukisan Rasulullah itu didapati, kalau bukan dari khayalan dan imaginasi?
2. Dengan melukis gambar para nabi dan Rasul juga adalah salah satu perkara yang menyakiti mereka. Ini kerana lukisan tersebut tidak dibuat secara tepat dengan yang asal. Menyakiti hati Rasulullah SAW adalah amat ditegah sama sekali. Firman Allah SWT:
Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasulnya, Allah melaknat mereka di dunia dan akhirat dan menyediakan mereka azab yang menghina mereka” [57: al-Ahzab]
Perbuatan puak-puak Syiah (mereka pernah adakan pameran) ini samalah seperti amalan masyarakat jahiliyah dahulu. Antara amalan jahiliyah ialah melukis dan membuat patung para Nabi dan orang soleh di masa lalu.
Sejarah keberhalaan membuktikan bahawa golongan awal telah menghasilkan gambar atau patung bertujuan untuk kenang-kenangan, tetapi kemudiannya sampai ke tahap mengquduskan dan menjadikannya sebagai perantaraan untuk beribadah.
Ahli tafsir menjelaskan tentang firman Allah SWT melalui lisan Nabi Nuh a.s., maksudnya :
“Dan mereka berkata; janganlah sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwa’, yaghuts, ya’uq dan nasr.” [Nuh: 23]
Bahawa nama berhala yang disebutkan dalam ayat ini asalnya adalah nama-nama orang-orang soleh, tetapi ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kaum mereka agar membuat patung-patung peringatan di majlis-majlis mereka dan menamakan mereka dengan namanya.
Maka kaum itu pun melakukannya. Asalnya ia tidak disembah, tetapi setelah generasi mereka hancur dan ilmu telah dilupakan, ketika itulah patung-patung tersebut disembah.
Konklusi bahawa membenarkan imaginasi lukisan atau gambaran Rasulullah SAW secara langsung atau tidak langsung boleh menjurus kepada memasukkan unsur-unsur khurafat, tahyul dan khayalan ke dalam akidah Islam.
Apabila ini terjadi, sedikit demi sedikit akan menghakis sifat Islam sebagai agama yang bersih daripada dongengan, lebih-lebih lagi ia akan merosakkan sistem ‘tasabbut’. Sistem ini memastikan setiap apa yang disandarkan kepada agama itu adalah betul-betul benar seperti yang disusun oleh para ulama seumpama dalam metodologi ilmu hadis dan ilmu usul fiqh.
Berasaskan dalil dan hujah yang dibentangkan maka kita dapati bahawa para ulama Islam serta beberapa institusi Islam terkemuka telah mengumumkan fatwa HARAM menghasilkan lukisan atau apa-apa gambaran berbentuk imej Rasulullah SAW.
Pengharaman ini adalah bertitik tolak daripada pendirian para ulama Islam yang mahu menjaga kepentingan Islam serta penganut agama Islam itu sendiri dan ia telah dijelaskan berpandukan hujah-hujah naqli (al-Qur’an dan al-Sunnah) dan aqli atau rasional pemikiran manusia.
Namun sekiranya masih kedapatan mereka yang masih mempertikaikan keputusan tersebut, itu bukanlah timbul kerana kepincangan hujah-hujah tetapi sekadar sifat manusia yang tidak pernah puas serta tidak tahu menghormati pandangan ulama yang telah sepakat.
Wallahua’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Fitnah Dajjal Akan Menakluk Seluruh Dunia, Hanya Dua Kota Mulia Terselamat. Beruntung Penghuninya
Dajjal merupakan fitnah yang paling dahsyat yang akan berlaku di akhir zaman. Oleh itu, Nabi SAW sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar berjaga-jaga dengan fitnah ini.
Dajjal dikatakan akan menakluki semua kota yang ada di dunia kecuali dua iaitu Makkah dan Madinah kerana dua kota ini dijaga oleh dua Malaikat yang akan menghalang Dajjal dari memasukinya.
Apa dia dajjal?
Dajjal (دجال) berasal dari kata dajala, ertinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.
-
Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.
-
Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.
-
Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.
-
Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.
Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu.
Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipu daya.
Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:
-
Seorang manusia.
-
Rambutnya kerinting dan kusut masai.
-
Sebelah daripada matanya buta.
-
Tertulis pada dahinya كفر (kufur).
Nas Hadis Berkenaan Dajjal
Daripada Anas bin Malik beliau berkata, sabda Rasulullah SAW:
الدَّجَّالُ مَمْسُوحُ الْعَيْنِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ…
Maksudnya: “Dajjal itu matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir… Riwayat Muslim (7550)
Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW menceritakan Dajjal di tengah-tengah manusia, lalu beliau bersabda:
إِنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِأَعْوَرَ ، أَلا إِنَّ الْمَسِيحَ الدَّجَّالَ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُمْنَى كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِيَةٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak buta sebelah, dan ketahuilah sesungguhnya al-Masih al-Dajjal adalah buta mata sebelah kanannya. Matanya bagaikan anggur yang terjuntai.” Riwayat al-Bukhari (3184)
Dalam satu hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada Nawwas ibn Sam’an R.A, beliau berkata: Rasulullah SAW menyebut dalam menyifatkan Dajjal dalam sabdanya:
إِنَّهُ شَابٌّ قَطَطٌ عَيْنُهُ طَافِئَةٌ كَأَنِّى أُشَبِّهُهُ بِعَبْدِ الْعُزَّى بْنِ قَطَنٍ
Maksudnya: Sesungguhnya dia (Dajjal) itu ialah seorang pemuda, yang rambutnya keriting, matanya menonjol ke depan. Aku perumpamakan dia dengan Abdul ‘Uzza Ibni Qathn. Riwayat Muslim (7560)
Daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, Rasulullah SAW bersabda:
إِنِّي قَدْ حَدَّثْتُكُمْ عَنِ الدَّجَّالِ حَتَّى خَشِيتُ أَنْ لاَ تَعْقِلُوا ، إِنَّ مَسِيحَ الدَّجَّالِ رَجُلٌ قَصِيرٌ ، أَفْحَجُ ، جَعْدٌ ، أَعْوَرُ مَطْمُوسُ الْعَيْنِ ، لَيْسَ بِنَاتِئَةٍ ، وَلاَ حَجْرَاءَ ، فَإِنْ أُلْبِسَ عَلَيْكُمْ ، فَاعْلَمُوا أَنَّ رَبَّكُمْ لَيْسَ بِأَعْوَرَ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah menceritakan mengenai Dajjal kepada kamu hingga aku khuatir kamu tidak lagi mampu memahaminya. Sesungguhnya Masih al-Dajjal itu seorang lelaki yang pendek, berkaki bengkok, berambut kerinting, buta sebelah matanya, tidak terlalu tersembul dan tidak pula terlalu tenggelam. Jika kamu merasa bingung, ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta’ala tidak buta sebelah.”
Riwayat Abu Daud (4320) dan Ahmad (2344)
Mengapakah Tidak Disebut Lafaz Dajjal di dalam al-Qur’an?
Bagi menjawab persoalan ini, kami ingin memetik jawapan daripada sebuah kitab yang membincangkan berkaitan tanda-tanda Kiamat. Para ulama’ telah menjawab persoalan ini dengan beberapa jawapan. Antaranya:
Pertama: Dajjal disebut atau terkandung di dalam beberapa ayat al-Qur’an. Contohnya:
Firman Allah SWT:
يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا
Maksudnya: “Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya”. (Surah al-An’am: 158)
Di dalam ayat ini, tidak disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda (آيات) yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabbah (الدابة). Ini disebut di dalam kitab-kitab tafsir.
Kedua: Al-Qur’an telah menyebut Nabi Isa AS dan Nabi Isa AS yang akan membunuh Dajjal. Maka dengan itu, sudah memadai menyebut Nabi Isa AS yang membawa kepada hidayah daripada menyebut Dajjal yang menyeru kepada kesesatan. Sudah menjadi adat (kebiasaan) orang arab adalah sudah memadai menyebut salah satu daripada perkara yang berlawanan.
Ketiga: Al-Qur’an tidak menyebut Dajjal bagi menghina atau memperkecilkannya. Ini kerana, Dajjal apabila turun ke dunia akan mendakwa ketuhanan (uluhiyyah) dan ketuannan (rububiyyah) sedangkan dia adalah manusia biasa. Oleh sebab itu, Allah SWT tidak menyebut namanya di dalam al-Qur’an bagi menghina dan memperlekehkannya. Persoalan yang timbul, mengapa al-Qur’an menyebut Firaun sedangkan Firaun juga mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Jawapannya adalah kerana Firaun zamannya telah berlalu dan berakhir. Di samping itu juga, agar kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut. Adapun Dajjal kisahnya belum berlaku dan akan berlaku apabila tiba waktu dan ketikanya.
Di manakah Dajjal Akan Keluar?
Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan[2] (Khurasan adalah satu tempat yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur). Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah. Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu. Selain itu juga, Imam Ibn Hajar mengatakan bahawa Dajjal ini pasti akan muncul dari arah timur. (Lihat Fath al-Bari) Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan beberapa buah hadith yang sahih, antaranya:
Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا: خُرَاسَانُ
Maksudnya: “Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan”.
Riwayat al-Tirmizi (2237). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai Hasan Gharib dan Syeikh Ahmad Syakir mengatakan sanad hadith ini adalah sahih.
Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Wabil menyebut bahawa Dajjal akan keluar dari arah timur dari Khurasan dari Perkampungan Yahudiyah di Kota Asfahan. Ini berdasarkan kepada hadis Fatimah bint Qais R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَلاَ إِنَّهُ فِى بَحْرِ الشَّامِ أَوْ بَحْرِ الْيَمَنِ لاَ بَلْ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ ما هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ ». وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى الْمَشْرِقِ.
Maksudnya: Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh tidak, bahkan dia akan datang dari arah timur. Apa itu dari arah timur? Apa itu dari arah timur.. Dan baginda berisyarat dengan tangannya menunjuk ke arah timur.” Riwayat Muslim (7573)
Bilakah Muncul Atau Keluarnya Dajjal?
Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar Kiamat. Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Allah SWT juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan firman-Nya:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT)”. (Surah al-A’raf: 186)
Tertib Kemunculan Dajjal Antara Alamat Kiamat
Syeikh al-Mubarakfuri berkata:
اعْلَمْ أَنَّ الرِّوَايَاتِ قَدِ اختلفت في ترتيب الايات العشر ولذ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي تَرْتِيبِهَا فَقَدْ قِيلَ إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ الدُّخَانُ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّجَّالِ ثُمَّ نُزُولُ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ ثُمَّ خُرُوجُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّابَّةِ ثُمَّ طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا فَإِنَّ الْكُفَّارَ يُسْلِمُونَ فِي زَمَنِ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ حَتَّى تَكُونَ الدَّعْوَةُ وَاحِدَةً
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat) telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar Kiamat). Untuk itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah dikatakan bahawasanya tanda besar Kiamat yang pertama adalah Asap, kemudian keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Isa AS, kemudian keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, kemudia keluarnya al-Dabah, kemudian terbit matahari dari Barat kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa AS sehingga dakwah ini menjadi satu”. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 346/6)
Apakah Kesudahan Daripada Fitnah Dajjal Ini?
Setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu.
Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin). Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:
إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku”.
Riwayat Ibn Majah (4077). Syeikh al-Arna’uth mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif.
Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS.
Petunjuk Nabi SAW dalam Menghadapi Fitnah Dajjal
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal”.
Riwayat Muslim (1342)
Ini kerana, Imam al-Suyuthi mengatakan pada awal surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah Dajjal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi). (Lihat Al-Dibaj ‘ala Muslim, 2/403)
Penutup
Kesimpulannya, kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:
اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”. Riwayat Muslim (588)
Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.
Nota Hujung:
[1] Beliau ialah Abd al-'Uzza bin Qathan bin Amr al- Khuza'i. Ada yang mengatakan bahawa beliau berasal daripada kalangan Bani Musthaliq dari suku Khuza'ah. Ibunya bernama Halah binti Khuwailid. Ibnu Qathan tidak memiliki pertalian sahabat dengan Rasulullah SAW kerana dia telah meninggal pada zaman jahiliah. Adapun tambahan riwayat yang mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Nabi SAW, "Apakah keserupaannya denganku itu membahayakan bagiku?" Lalu Nabi menjawab, "Tidak, engkau muslim sedang dia kafir" adalah tambahan yang da'if daripada riwayat al-Mas'udi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, yang dicampur dengan hadis lain. (Lihat Ta'liq Ahmad Syakir atas Musnad Ahmad 15/30-31; al-lsobah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/239, dan Fath al-Bari, 6/488 dan 13/101).
[2] Khorasan Raya (juga dieja Khorasaan, Khurasan dan Khurasaan) adalah istilah moden untuk wilayah timur Iran kuno atau Parsi sejak abad ke-3. Khorasan Raya meliputi wilayah yang kini merupakan sebahagian wilayah-wilayah dalam negara-negara seperti Iran, Afghanistan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.
Khorasan Raya meliputi Nishapur, Tus (kini di Iran), Herat, Balkh, Kabul dan Ghazni (kini di Afghanistan), Merv (kini di Turkmenistan), Samarqand, Bukhara dan Khiva (kini di Uzbekistan), Khujand dan Panjakent (kini di Tajikistan). (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Khorasan_Raya)
[3] Syeikh Muhammad Abduh pernah ditanya tentang Dajjal dan terbunuhnya ia oleh Nabi Isa AS, beliau menjawab "Sesungguhnya Dajjal merupakan simbol khurafat, penyimpangan dan kejahatan yang mengubah penetapan Syariah daripada bentuknya…" (Lihat Tafsir al-Manar 3/317) Pendapat sama juga dikemukakan oleh Muhammad Fuhaim Abu ‘Ubayyah. (Lihat Ta’liq al-Bidayah wa al-Nihayah,1/152) Sumber :- Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Neraka Masih Luas, Lepak Ahh Sini Dulu” Ahli Grup RIAK Jadikan Neraka Bahan Sendaan Bila Ditegur Ustazah Asma’Harun
Sekitar pagi tadi, grup RIAK APA HARI Ini yang sudah berjaya mengumpul 137k ahli selepas ianyanya tular di media sosial menerima teguran dari penceramah terkenal, Ustazah Asma Harun.
Dalam satu kenyataan pendek di fbnya, Ustazah Asma’ Harun meminta agar grup berkenaan di bubarkan.
Mohon Admin Group "Riyak Apa Hari Ni" boleh tukar tajuk atau tutup terus. PELBAGAI KEMUNGKARAN DAN DOSA SEDANG DIHALALKAN ATAS NAMA GURAUAN, perbualan bebas gurau senda lelaki perempuan, dedah aurat sebab nak tunjuk putih melepak dan emas sampai lengan, tunjuk harta dengan caption riyak tapi kata GURAU, share pakaian dalam, dll yang aib sangat. JANGAN INDAHKAN PERKATAAN KEJI "RIYAK" ATAS NAMA GURAUAN.
Bagaimana pun teguran berkenaan dipandang dari sudut berbeza. Seorang dari admin grup berkenaan menulis bahawa sesiapa yang tidak suka atau nanti kena jilat api neraka boleh left.
“Tq pd yg update psl ceramah. Tarbiah dr ustazah. Slps berbincang dgn creator.. kami akan kekalkn nama group. Cuma pd yg rasa berdosa nk ddk dlm group ni bolh la left. Kami x paksa ye. Sbb kalau lihat kat luar sana byk lg group2 yg terlbh dr dasat. Cthnya..group janda dan duda gersang. Haa…situ dgn posting dan aksi yg lg dasat dipertontonkan tanpa ditapis oleh admin. Bagaimana tu?? Jd sekali lg kami ulang..pd yg x bolh nk ddk dlm ni nnt kena jilat api neraka bolh left ya”.
Apa yang menakutkan, selepas kenyataan di atas ditukarkan, ribuan komen dari ahli grup berkenaan menghujani ruangan komen.
“Ada yang menulis, neraka masih luas, lepak sini dulu aahh”
“Neraka kirim salam kak”
“Tak ada beza kita berdua, dua-dua ahli neraka”
Serta banyak lagi komen seolah neraka itu mainan bagi ahli kumpulan ini.
Neraka dan syurga itu sememangnya wujud namun ia termasuk dalam perkara ghaib.
Al-Quran yang diturunkan sebagai panduan umat Islam sejak 1400 tahun dahulu ada menyebut nama-nama neraka dan ia mempunyai tujuh tingkat.
Tingkat pertama dan yang paling panas ialah Neraka Jahanam. Diikuti Luza, Hathamah, Sair, Saqru, Jahim dan Hawiyah. Walau neraka paling rendah iaitu Neraka Hawiyah dalam surah Al-Qariah tapi apinya sangat panas.
“Siapa yang ringan timbangan kebaikannya, dia dilemparkan ke Neraka Hawiyah. Tahukah kamu apakah Neraka Hawiyah itu? Ia adalah api yang sangat panas. “ (surah Al-Qariah: 8-11).
Hari ini, di dunia kita mungkin masih boleh menaip, melawak dan sebagainya tapi di akhirat nanti anggota mulut akan terkunci sementara anggota lain menjawab apa dosa kita disenaraikan. Moga kita semua sempat bertaubat sebelum nyawa di kerongkongan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI