Di media sosial, setiap kali ada kes viral melibatkan golongan dikenali seperti tuntutan cerai melibatkan usahawan Nur Amirah dan pasangannya, El Azman yang juga pemilik Elrah Exclusive, ramai berlumba-lumba memberikan nasihat.
Agak menyedihkan, kata “nasihat” itu adakalanya tidak tepat menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam dan juga hukum agama. Seolah-olah wujud Ustaz dan Ustazah jadian seperti tahu segalanya. Tapi sayangnya memberi nasihat yang salah hingga mengelirukan orang ramai dan juga mereka yang sedang diuji masalah.
Berhubung tuntutan cerai melibatkan Nur Amirah terhadap suaminya, El Azman dalam keadaan sedang berbadan dua ketika ini, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, Suzana Ghazali yang sudah berpengalaman luas dalam bidang Akta Undang-Undang Keluarga Islam memberikan sedikit nasihat kepada mereka yang telah berkongsi FAKTA SALAH berhubung kes melibatkan usahawan Elrah Exclusive ini.
Berikut adalah FAKTA KENA TAHU para isteri yang pernah melalui ujian sebegini seperti dikongsi di fbnya, Suzana Ghazali..
Sampai kat rumah selepas ambil Khadijah daripada tuisyen petang semalam, saya rehatkan diri sekejap sambil menjengah FB.
Pandangan saya tertumpu kat satu ulasan mengenai isu Elrah Exclusive yang dah viral. Ramai dah kongsi.
Permulaan pendapat yang menarik minat saya bila si penulis mencadangkan si isteri yang dinafi hak daripada syarikat tersebut untuk terus kekal dalam perkahwinan.
Tapi saya jadi terkejut bila dua alasan yang menjadi sebab si penulis cadangkan untuk si isteri kekal adalah salah dan tak betul.
Alasan 1:- Kalau bercerai masa mengandung, talak tak jatuh. Talak jatuh lepas anak lahir.
SALAH ya. Talak tetap jatuh jika suami lafaz dalam keadaan isteri mengandung cuma tempoh eddah akan berakhir selepas kelahiran bayi. Asbab itulah ada ulama yang mengharamkan suami melafazkan talak tika isteri mengandung sebab boleh berlaku penganiayaan kepada si isteri yang biasanya alami alahan dan perlukan suami di sisi.
Alasan 2:- Kalau isteri yang mohon cerai maka isteri takkan dapat hak mut’ah.
SALAH ya. Mut’ah adalah ketetapan syariat, merupakan pemberian oleh bekas suami kepada bekas isteri sebagai ganti kemungkinan si isteri terdedah kepada kesempitan hidup dan lain-lain kemudharatan.
Di kalangan masyarakat, mut’ah disebut saguhati perceraian. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kepada wanita-wanita yang diceraikan hendaklah diberikan (oleh suaminya) mut’ah menurut yang makruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa”. – Surah al-Baqarah ayat 241.
Maksudnya mut’ah adalah HAK WAJIB BEKAS ISTERI WALAUPUN ISTERI YANG MOHON CERAI ATAS SEBAB KESILAPAN ATAU KEKURANGAN YANG ADA PADA SUAMI.
Saya tak pasti latar belakang si penulis cuma saya mohon, kepada sesiapa saja yang berhasrat nak komen atau berikan pandangan berkaitan isu rumah tangga dan perkahwinan, mohon sampaikan yang benar. Wallahu a’lam…