Baru-baru ini lalu di wall saya tentang sepasang suami isteri yang menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-7 di atas pelamin yang dihias indah. Si suami berpakaian pengantin lelaki tetapi solekan wajah, dandanan rambut serta perhiasan barang kemas yang dipakai seolah-olah dirinya seorang wanita.
Bahkan yang lebih menyedihkan ialah apabila si suami ini berkata, “Hanya penampilan sahaja seperti wanita, tetapi nafsu dan nalurinya masih seorang lelaki.” Allahu Akbar.
Sungguh, saya terkesima melihat setiap babak video yang dipaparkan. Ia bukan hanya ditonton oleh dua atau tiga ratus orang, bahkan ada videonya yang mencapai sehingga 1 juta tontonan di TikTok. Bagaimana jika ada sebahagian penonton itu terdiri daripada remaja atau kanak-kanak di bawah umur? Apa agaknya mereka akan fikir?
TASYABBUH (تَشَبُّه ) DILARANG DALAM ISLAM
Tuan Puan,
Antara content yang mendapat tontonan yang tinggi di media sosial ialah content jurusolek lelaki yang membuat tutorial solekan untuk mukanya sendiri. Ia seolah telah diterima oleh masyarakat sehingga begitu ramai yang menontonnya walhal perbuatan ini dikenali sebagai “TASYABBUH” dan ia bukanlah hal yang ringan kerana ianya DILARANG DI DALAM ISLAM.
Jika kita fahami daripada segi bahasa, tasyabbuh membawa maksud menyerupai sesuatu. Dalam perbahasan fiqh pula, ia merujuk kepada seorang lelaki menyerupai perempuan atau perempuan menyerupai lelaki dalam perkara-perkara seperti pakaian, perhiasan, percakapan dan suara, gaya berjalan dan fizikal tubuh.
Dari Ibn ‘Abbas R.Anhuma dalam sabda Baginda SAW:
لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاء]
Maksudnya: Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. (HR Bukhari)
Jangan kerana kecenderungan dan minat, kita menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT. Saya terfikir betapa anehnya manusia, di saat Allah Maha Baik kurniakan rezeki harta, makan minum, ibu bapa, pasangan atau anak-anak kepada kita, namun kita masih tergamak melakukan perkara yang Allah SWT larang.
Bayangkan, seandainya para remaja Islam kita yang menonton video sebegini. Hal yang melibatkan dosa besar dianggap sebagai biasa sahaja. Malahan lama-kelamaan menjadi satu normalisasi yang boleh diterima pula. Nauzubillahi min zalik.
WAJIB ADA RASA RISAU TERHADAP MASA DEPAN ANAK-ANAK MUDA ISLAM
Apa yang berlaku ini sebuah jarum halus dalam masyarakat. Jika perbuatan seperti ini dibiarkan sahaja tanpa apa-apa teguran di media sosial, kita amat bimbang jika suatu hari nanti budaya “TASYABBUH” semakin berleluasa tanpa dapat dibendung.
Kita tidak mahu nanti saat bersiar-siar di jalanan, terjumpa pula dengan seorang lelaki namun solekan tebal mengalahkan anak gadis, atau wanita yang wajahnya ayu tetapi berpakaian seperti lelaki.
Mungkin kalian teruja apabila tontonan di media sosial meningkat naik, bangga apabila ramai yang memuji. Namun ingatlah bahawasanya perbuatan ini sangat jauh daripada redha Allah SWT.
Jika alasan yang digunakan ialah demi tujuan pemasaran dan ingin menaikkan ‘followers’, sungguh ia tidak boleh diterima. Adakah berbaloi kerana ingin mengaut keuntungan dunia yang sementara, larangan Allah sanggup diabaikan begitu sahaja?
Allahu Akbar
Dalam Islam, kita diajarkan bahawa:
“الغَايَةُ لَا تُبَرِّرُ الوَسِيلَة”
Maksudnya: “Matlamat tidak menghalalkan cara.”
Jelas, setiap perbuatan yang dilakukan mestilah mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak. Walaupun kita merasakan dengan cara sebegitulah ‘followers’ mula meningkat, channel Youtube kita juga semakin dikenali. Namun, apa yang lebih penting adalah memikirkan dahulu sama ada pekerjaan yang dilakukan itu mendapat redha Allah atau hanya akan mengundang murka-Nya.
Saya yakin bahawa ramai yang mungkin sudah menyampaikan nasihat buat kalian namun anggaplah penulisan ini sebagai sebuah lagi peringatan kasih sayang daripada saudara se-Islam yang amat mengasihi kalian. Tiada rasa benci, jauh sekali rasa ingin mengaibkan.
Namun, saya juga sayangkan masyarakat dan generasi anak-anak kita. Bagaimana seandainya keadaan ini menjadi sebuah normalisasi pula kerana ramainya orang yang sebut “tak apa” pada perbuatan menyerupai jantina lain.
Sahabat, syukurilah setiap bentuk kejadian yang Allah SWT telah kurniakan kepada diri kita.
Firman Allah SWT:
لَقَدْ خَلَقْنَا الْاِنْسَانَ فِيْٓ اَحْسَنِ تَقْوِيْمٍ
Maksudnya: “Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin 95: 4)
Allah SWT menyimpan banyak hikmah dalam setiap ciptaan-Nya yang pasti membawa rahmat buat manusia. Hukum dalam Islam bukan berasas kepada logik akal semata-mata atau merasakan sebagai hak asasi manusia tetapi semuanya berpandukan wahyu Ilahi dan petunjuk daripada Nabi Muhammad SAW melalui hadis baginda. Ini yang mesti kita benar-benar fahami.
Saya yakin kamu sedang usaha untuk kembali ke fitrah asal seperti yang saya tonton dalam salah satu video kamu, dan saya berbangga dengan ikhtiar kamu itu. Semoga Allah SWT ringankan langkah dalam perjalanan hijrah kamu, dik.
Saya mendoakan juga supaya Allah SWT sentiasa membimbing kita semua dengan hidayah-Nya untuk kembali kepada cara hidup Islam sebenar. Jika ada dalam kalangan sahabat sekalian yang pernah tergelincir dalam kehidupan lalu ingin berubah, saya doakan semoga Allah beri kekuatan dan pandu jalan. Jangan sesekali berputus asa dan bersangka baiklah kepada-Nya. Allahumma ameen .
DOA AGAR ALLAH MEMBIMBING HATI KITA UNTUK TAAT KEPADA-NYA
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
Ertinya: “Ya Allah yang mengarahkan hati, arahkanlah hati-hati kami untuk taat kepadamu.” (HR. Muslim)
Semoga bermanfaat buat semua.
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.
ASMA’ BINTI HARUN & TIM PENYELIDIKAN
Rujukan:
1. Bayan Linnas Siri 5 : Isu Transgender, Tasyabbuh atau Penyerupaan: Hukumnya.
2. Al-Kafi #970: Hukum Pembedahan Hidung Kerana Terlalu Besar.
#UAHSahabatDuniaAkhirat