Biasa kita lihat di tempat tidur bayi, ibu bapa akan menyelitkan naskhah surah Yasin di bawah bantal. Katanya ini boleh mengelakkan gangguan makhluk halus yang boleh menyebabkan bayi menangis tak henti, meragam dan sebagainya.
Malah ramai juga yang sudah dewasa dan berusia melakukan perkara yang sama. Tapi pada masa yang sama terfikir juga bukankah surah Yasin yang menjadi sebahagian al Quran perlu dijaga dan dimuliakan. Patutkan letak di bawah bantal.
Bagi yang tidak tahu adalah haram sebenarnya jika kita meletakkan naskhah yang mengandungi ayat al Quran di bawah bantal. Penjelasan tentang perkara ini dibuat oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
Haram hukumnya tidur beralaskan mushaf al-Quran, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada al-Quran dan kitab-kitab agama, atau meletakkannya di bawah bantal. Hal ini kerana perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai merendah-rendahkan martabat al-Quran dan ilmu agama.
Para ulama telah bersepakat ke atas haramnya perbuatan meremehkan dan menghina al-Quran, serta wajibnya memuliakan dan memelihara mushaf, seperti yang disebut dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.[1]
Antara perbuatan yang boleh dikira sebagai perendahan terhadap kemuliaan al-Quran ialah menjadikannya sebagai alas kepala ketika tidur:
وَيَحْرُمُ تَوَسُّدُه: أي المصحف أي جَعْلُهُ وِسادة وَهِيَ المِخَدَّة التي تُوضَعُ تَحْتَ الرأْسِ، لأن في تَوَسُّدِهِ تَحقيرا وإهانَة
Maksudnya: Diharamkan daripada berbantalkan mashaf: iaitu menjadikan mashaf itu sebagai bantal dan diletakkan di bawah kepala, ini kerana perbuatan berbantalkan mushaf itu merupakan satu bentuk merendah-rendahkan dan penghinaan.[2]
Selain itu, diharamkan juga menjadikan kitab-kitab agama sebagai bantal atau alas kepala ketika tidur, seperti yang disebut oleh para ulama mazhab Syafie:
وَيَحْرُمُ تَوَسُّدُ مُصْحَفٍ وَغَيْرِهِ مِنْ كُتُبِ الْعِلْمِ قَالَ الْقَاضِي: إلَّا أَنْ يَخَافَ سَرِقَتَهُ
Maksudnya: Diharamkan menjadikan mushaf dan kitab-kitab agama sebagai bantal. Kata al-Qadhi Husain: Pengecualian diberikan jika dia takut kitab atau mushaf itu dicuri.[3]
Ibn Muflih al-Hanbali pula menukilkan kalam daripada Ibn ‘Abd al-Qawiy dalam Majma‘ al-Bahrain, bahawa diharamkan juga tidur berbantalkan kitab-kitab hadis dan buku yang terkandung dalamnya ayat al-Quran.[4]
Justeru, berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, adalah diharamkan untuk menjadikan mushaf al-Quran, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada al-Quran, buku-buku yang terkandung dalamnya ayat al-Quran dan juga kitab-kitab agama sebagai bantal ketika tidur atau meletakkannya di bawah bantal walaupun bagi tujuan untuk menghindari daripada gangguan jin dan sebagainya.
Disarankan juga untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran seperti Ayatul Kursi dan membaca zikir-zikir dan doa yang ma’thur daripada Rasulullah SAW bagi tujuan mengelakkan gangguan jin serta syaitan.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan.