SOALAN :
Andainya pasangan yang bertunang telah memutuskan pertunangan adakah boleh masing-masing kedua belah pihak meminta kembali hadiah pertunangan yang telah diberikan tempuh hari seperti gelang dan cincin dan kasut dan bag tangan dan kek atau seumpamanya?
JAWAPAN :
Jika berlaku putus tunang dan masa bertunang masing-masing saling memberikan hadiah nescaya tidak boleh lagi diminta kembali hadiah yang telah diberi itu dan hukum meminta kembali hadiah yang telah diberikan kepada orang itu adalah haram.
Ada pun harta yang diberi pinjam ketika dalam pertunangan maka yaitu wajib dikembalikan.
Ada pun pihak yang menerima hadiah tidak wajib mengembalikan hadiah tersebut kerana telah menjadi milik nya.
Berkata Dr Wahbah Zuhaili :
ورأى الشافعية والحنابلة: أنه ليس للخاطب الرجوع بما أهداه؛ سواء أكانت موجودة أم هالكة لأن للهدية حكم الهبة ولا يجوز عندهم للواهب أن يرجع في هبته بعد قبضها إلا الوالد فيما أعطى ولده
Ertinya : “Dan pendapat mazhab Syafie dan Hanbali sungguhnya tidak boleh bagi pihak yang melamar meminta kembali akan hadiah yang telah dia berikannya samada hadiah itu masih wujud atau telah rosak kerana sungguhnya hadiah itu sama hukumnya dengan hibah. Dan tiada harus disisi mereka orang yang telah memberi sesuatu meminta semula pemberiannya selepas dari diterima oleh pihak yang diberikan melainkan pada masalah bapa memberikan kepada anak.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
KESIMPULAN
Jika masa bertunang saling memberikan hadiah maka apabila putus tunang tidak harus meminta kembali hadiah yang telah diberi.
Pihak yang menerima hadiah itu tidak wajib mengembalikan hadiah yang telah diterimanya kerana telah menjadi miliknya.
Ada pun jika segala harta pemberian masa bertunang itu atas nama pinjam sahaja maka wajib dikembalikan semula kepada yang memberi pinjam.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus