Kerohanian

Jangan Normalisasikan Maksiat!

Share

Jangan normalisasikan maksiat demikian teguran Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Melihat kepada situasi zaman sekarang yang mana perbuatan maksiat dilakukan secara terbuka bukan saja anak-anak muda tapi juga yang sudah dewasa maka teguran ini sangatlah wajar. Apatah lagi di negara yang mana Islam menjadi agama rasmi.

Sesuatu yang sangat menyedihkan bila mana perbuatan negatif ini juga ditonjolkan secara meluas terutama kalangan selebrti termasuklah di media sosial yang secara tak langsung memberi pengaruh pada anak-anak remaja. Satu bencana bagi umat Islam jika anak-anak muda menganggap perbuatan maksiat ini adalah perkara biasa bukan dosa!

Amaran keras Rasulullah kepada pasangan bercinta

“Bagi yang belum berkahwin, janganlah pula kita menormalisasikan perkara yang dilarang oleh Allah. Bertepuk tampar sesama pasangan yang belum mempunyai sebarang hubungan yang sah adalah dicegah dalam Islam.

“Rasulullah memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan. Sabda Rasulullah:

لَأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأَةً لَا تَحِلُّ لَهُ

“Andai sekiranya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum besi itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.” (HR al-Tabrani)

“Apatah lagi sekiranya yang melakukan itu merupakan seorang yang dikenali ramai, namun dia menunjukkan contoh yang bercanggah dengan perintah Allah. Sekiranya perbuatan melakukan maksiat ini diikuti oleh anak muda yang lain, maka dia akan menanggung dosa orang yang mengikuti perbuatannya itu,”katanya.

Sambung Dr Sanusi perkara ini ada dinyatakan dalam sabda Rasulullah:

وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا ، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

“Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun dari dosa tersebut.” (HR Muslim)

Bagi orang awam pula jelas beliau lagi, janganlah menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah.

Sabda Rasulullah:

ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ

“Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)

Sumber: Dr Ahmad Sanusi Azmi

Artikel berkait: 15 Maksiat Yang Menurunkan Bala, Paling Menakutkan Sebahagian Besarnya Dilakukan Setiap Hari Ketika Ini

Published by
Team Kashoorga