Isu perkahwinan melibatkan Illi Najwa Saddique dan ketua pasukan hoki India, Manpreet Singh Pawar terus mendapat perhatian. Jika sebelum ini Sultan Johor, Sultan Ibrahim meminta majlis agama menyiasat secara menyeluruh selain meminta umat Islam tidak membuat spekulasi memandangkan Illi Najwa masih berada di India.
Terkini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan isu-isu sensitif berkaitan agama kerana ia tindakan tidak matang dan langsung tidak menguntungkan agama.
Masa yang sama, Menteri ini turut menasihat umat Islam agar mengelak perkara syubahah seperti sangkaan yang tidak baik kepada orang ramai, maka sewajarnya dielakkan.
"Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku, termasuk status agamanya dan pasangannya.
"Di Malaysia, seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap dua kalimah syahadah dan mendaftarkan pengislaman itu hadapan Pendaftar Mualaf atau mana-mana pegawai yang menguruskan pengislaman saudara baharu.
"Saya dimaklumkan, hal ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama Johor," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan individu berbangsa Melayu adalah beragama Islam.
"Oleh itu, tidak semudah-mudahnya menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya.
"Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan itu perlu dikemukakan kepada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara itu dan didaftarkan selepas pulang ke Malaysia.
"Adapun perkahwinan silang agama tidak dibenarkan dalam perundangan Malaysia," katanya.