Ramai tahu solat itu wajib. Malah meninggalkannya dengan sengaja hukumnya berdosa besar. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli ketika menjadi Mufti Wilayah sebelum ini pernah menulis di akaun Instagramnya, ada pasangan suami isteri yang bercerai kerana ada pasangan enggan solat lima waktu.

Kata beliau lagi, kegagalan menjaga rukun Islam kedua itu menyebabkan wujudnya habluminassyaitan iaitu hubungan yang terbina antara manusia dengan syaitan.
“Kalau solat ini merupakan hablumminannas (hubungan sesama manusia), bila mana wujudnya habluminnallah (hubungan manusia dengan Allah), hablumminannas akan terwujud.

“Bila wujudnya hablumimallah, maknanya tak wujud lagi hablumminasyaitan kerana sifat syaitan akan pisahkan suami isteri, tetapi apabila ini berlaku, dia akan jadi kukuh dan ampuh,” katanya.

Hari ini dapat dilihat segelintir pasangan yang tidak menitik beratkan soal solat dalam kehidupan rumahtangga mereka. Baik ibu, ayah mahu pun anak-anak juga seakan tidak mempedulikan ibadah ini, seolah-olah makan itu perkara wajib dan solat lima waktu itu perkara sunat (moga keluarga kita dijauhkan).
Bagi yang kurang sedar betapa pentingnya ibadah solat ini, kalau kita mampu sedekah RM1 juta sekali pun tapi semua ibadah kita itu tidak diterima Allah jika tidak bersolat.
Memetik dari perkongsian dari page Mufti Pulau Pinang, ibadah solat ini amat penting, perlu dijaga dan jangan sekali memberi alasan kenapa kita tidak mampu bersolat.

Jelas Mufti Pulau Pinang ini, solat merupakan ibadah yang utama dalam syariat dan ia berada pada kedudukan yang tinggi dan agung. Disebabkan kedudukan solat yang sangat agung ini, Allah SWT menyeru agar setiap insan yang beriman mendirikannya, sebagaimana firman-Nya:

وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan solat serta berikanlah zakat; dan taatlah kamu kepada utusan Allah; supaya kamu beroleh rahmat. (Surah al-Nur ayat 56)
Perintah agar mendirikan serta menjaga solat banyak dinyatakan di dalam al-Quran, antaranya firman Allah SWT:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ فَإِذَا اطْمَأْنَنْتُمْ فَأَقِيمُوا الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri dan duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (Surah Al-Nisa’ ayat 103)

Hikmah di sebalik perintah mendirikan solat itu adalah untuk menghindarkan diri seseorang individu daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Ini telah dijelaskan dalam firman Allah SWT:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلاةَ إِنَّ الصَّلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Maksudnya: Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Ankabut ayat 45)

Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ، فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ، قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الفَرِيضَةِ، ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ. (رواه الترمذي)

IKLAN

Maksudnya: Dari Abu Hurairah dia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya amal yang seorang hamba yang pertama kali dihisab di hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya bagus, maka dia berjaya. Dan jika solatnya rosak, maka dia akan menyesal dan rugi. Maka jika ada yang kurang dari solat fardunya, Allah SWT berfirman, “Lihatlah kalian, apakah hamba-Ku mempunyai (amal) solat sunnah, maka itulah yang dapat menyempurnakan kekurangan fardunya, kemudian semua amalnya (juga) seperti itu.” (Hadis riwayat Tirmizi, no. 413 dan al-Nasa’i, no. 466. al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadis ini sahih.)

Allah mencampakkan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja ke dalam neraka Saqar;

مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ ٤٢ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ ٤٣

Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat; (Surah al-Muddathir ayat 42-43)

Dan Allah SWT juga berfirman:

إِنَّ الْمُجْرِمِينَ فِي ضَلالٍ وَسُعُرٍ ٤٧ يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ ذُوقُوا مَسَّ سَقَرَ ٤٨

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api neraka. Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): rasalah kamu bakaran api neraka.(Surah al-Qamar ayat 47-48)

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَاسْتَقِيمُوا إِلَيْهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ وَوَيْلٌ لِلْمُشْرِكِينَ ٦ الَّذِينَ لا يُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ بِالآخِرَةِ هُمْ كَافِرُونَ ٧

Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaan-Nya), serta pohonlah kepadanya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). dan (ingatlah), Kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain); "Iaitu orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan harta bendanya) dan mereka pula kufur ingkar akan adanya hari akhirat". (Surah al-Fussilat ayat 6-7)

Pendapat ulama mengenai isu sengaja tinggalkan solat atau kerana rasa malas?

Memandangkan kedudukan ibadat solat yang begitu penting, maka solat fardu sama sekali tidak boleh diabaikan atau ditinggalkan dengan sewenang-wenangnya. Ulama sepakat berpendapat, mereka yang mengingkari kewajipan solat dihukumkan sebagai kafir. Bagaimanapun jika meninggalkannya disebabkan sifat malas tetapi masih mengakui kewajipannya, menurut Imam Malik dan Imam al-Syafie orang tersebut hanya dianggap fasiq. (Lihat: Nayl al-Awtar, juz. 1, Matba’ah Mustafa al-Bab al-Halibi, hlm. 240-241)

IKLAN

Golongan tersebut hanya dipandang fasiq (melakukan dosa besar) dan disuruh bertaubat. Jika dia tidak mahu bertaubat, nescaya dibunuh (hukum hudud) selaku suatu hukuman yang mesti dijalankan.

Oleh yang demikian ibadat solat perlu dipelihara dan dilaksanakan oleh setiap muslim. Pengabaiannya akan menjejaskan kedudukannya sebagai seorang muslim. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي سُفْيَانَ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرًا يَقُولُا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاة

Maksudnya: Dari Abu Sufyan dia berkata, saya mendengar Jabir berkata, “Saya mendengar Nabi SAW bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang lelaki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”
(Hadis riwayat Muslim No: 116)

Perbahasan Ulama

Hukuman bagi orang yang meninggalkan solat akan bergantung kepada keadaan sama ada ia ditinggalkan dengan sengaja atau tidak sengaja. Meninggalkan solat dengan sengaja ada dua cara:

Keadaan pertama: Meninggalkan solat kerana ingkar tentang kewajipannya (tidak mengaku akan wajibnya hukum solat itu).
Dalam keadaan ini hukum orang yang ingkar itu ialah kafir murtad dengan ijmak ulama, kerana hukum wajib solat itu telah nyata dan dimaklumi dalam agama Islam. Sikap mengingkarinya menunjukkan orang itu telah mendustakan Allah dan Rasulullah SAW dan dia adalah sama dengan orang-orang kafir yang disifatkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لا يَعْقِلُونَ

Maksudnya: Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan solat, mereka menjadikan solat itu sebagai ejek-ejekan dan permainan, yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal. (Surah al-Ma’idah ayat 58)

Berkata al-Syirazi bahawa mana-mana orang yang wajib ke atasnya mengerjakan solat dan dia enggan mengerjakannya serta mengingkari (tidak mengakui) bahawa solat itu wajib sedangkan dia tahu bahawa solat itu wajib, maka jadilah dia kafir murtad, kerana dia mendustakan Allah SWT, dan jika dia tidak mengerjakan solat sedangkan dia tahu dan beriktikad bahawa solat itu wajib, maka wajib dia dibunuh. (Lihat: Kitab Muhazzab, Hlm. 476)

IKLAN

Imam al-Nawawi menyebut: “Jika mana-mana orang meninggalkan solat dalam keadaan mengingkari akan wajibnya solat itu atau mengingkari hukum wajib solat itu, maka dihukumkan ke atasnya kafir murtad dengan ijmak ulama dan wajib dijalankan ke atasnya hukuman bagi orang murtad iaitu dihukum bunuh dengan perintah raja, kecuali jika dia Islam semula. Jika dia tidak tahu akan wajibnya solat itu dengan sebab baharu masuk Islam atau tinggal di suatu tempat yang jauh daripada orang Islam yang boleh menyebabkan tidak sampainya hukum wajib solat itu, maka tidaklah dia menjadi kafir kerana keingkarannya itu, bahkan kita perlu mengajarnya. Jika setelah diajarkan hukum tersebut dan dia tetap mengingkarinya, maka dia menjadi murtad.” (Lihat: Riyad al-Solihin)

Jangan Sengaja Tinggalkan Solat Tapi Dosa  Inilah Paling Banyak Berlaku Dalam Rumah Kita

Enggan solat kerana malas

Keadaan kedua: Meninggalkan solat kerana malas, sibuk dengan urusan-urusan dunia dan mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Dalam perkara demikian para ulama berselisih pendapat, sama ada dia dihukumkan kafir atau fasiq dan sama ada dia berhak dibunuh atau cukup dengan hukuman takzir (disebat dan dipenjarakan)?

Imam al-Nawawi telah menjelaskan bahawa jika dia tinggalkan solat dengan tiada uzur, malas dan mempermudah-mudahkan, maka hukumnya berdosa dan dia wajib dibunuh tetapi tidak dihukumkan kafir pada qaul al-aṣhah.

Berkata ulama al-Syafie bahawa perkara meninggalkan solat yang dijelaskan di atas iaitu hukuman bunuh, tidak akan dijalankan kecuali jika dia enggan bertaubat setelah diperintahkan untuk bertaubat. (Lihat: al-Umm, Jld.1, Hlm.281)

Pendapat al-Buwaithi, dihukumkan bunuh ke atas orang yang meninggalkan solat itu dengan cara memancung tengkuknya dengan pedang sebagaimana dijalankan ke atas orang murtad. Sementara pendapat Ibnu Suraij, dicucuk punggungnya dengan besi atau dipukul dengan kayu sambil berkata kepadanya: “solatlah kamu, jika tidak, kami akan membunuh kamu” dengan berulang-ulang sehingga dia mengerjakan solat atau mati.

Mengenai hukum orang yang meninggalkan solat dengan sebab malas padahal dia beriktikad bahawa solat itu wajib, pendapat yang masyhur dalam mazhab al-Syafie ialah dia dihukum bunuh secara had dan tidak dihukumkan kafir.

Pendapat ini juga dipegang oleh Malik dan kebanyakan daripada ulama salaf dan khalaf, dan sebahagian mereka berkata, dia dihukumkan kafir dan berjalan ke atasnya hukuman bagi orang murtad.

Berkata al-Hafiz al-Mundziri: “Segolongan para sahabat Nabi SAW dan orang-orang (generasi) selepas mereka berpendapat adalah kufur orang-orang yang meninggalkan solat dengan sengaja sehingga habis waktunya. Di antara mereka yang berpendapat demikian di kalangan sahabat ialah ‘Umar bin Al‑Khathab, Abdullah bin Mas‘ud, Abdullah bin ‘Abbas, Muadz bin Jabal, Jabir bin Abdullah dan Abu Darda’. Di kalangan bukan sahabat pula ialah Ahmad bin Ḥanbal, Ishak bin Rahawaih, Abdullah bin Al-Mubarak, Al-Nakha‘i, Hakam bin ‘Utaibah, Ayyub al‑Sakhtayaniy, Abu Daud, Abu Bakar bin Abu Syaibah dan Zuhair bin Harb.”

Begitulah pendapat para sahabat dan generasi selepas mereka (tabi‘in), mengenai kufurnya orang yang meninggalkan satu solat dengan sengaja hingga luput waktu mengerjakannya.

Kesimpulannya para ulama berselisih pendapat pada menghukum seseorang yang meninggalkan solat. Perkara ini berlaku adalah disebabkan keutamaan ibadah solat itu sendiri di sisi Allah SWT berdasarkan nas-nas yang sahih yang terdapat dalam al-Quran dan hadis.

Justeru para ulama telah membahagikannya kepada dua keadaan sebagai mana yang dihuraikan di atas. Oleh itu hukum meninggalkan solat tertakluk kepada bagaimana tanggapan seseorang individu terhadap solat itu. Boleh jadi tanggapannya itu menjadikan dia sebagai kafir yang musyrik (murtad) atau boleh jadi juga sebagai kafir fasiq (berdosa besar), malah kedua-duanya perlu dihukum oleh pemerintah sebagai peringatan dan pengajaran kepada mereka yang meninggalkan perlaksanaannya.
Wallahu’aklam.

Sumber : Jabatan Mufti Pulau Pinang

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI