Tular di media sosial, seorang suami yang menggelarkan dirinya Abe Pink mengakui hidup bahagia bersama isterinya, Yana biarpun dia mengubah penampilan dirinya sebagai maknyah.
Menggunakan akaun Tik Tok @abe_pink86 lelaki berusia 35 tahun ini mendedahkan dirinya masih bahagia bersama isteri dan turut menceritakan perubahan penampilannya menerusia beberapa buah video di aplikasi berkenaan.
Jelas dari penampilannya, lelaki ini telah mengubah keseluruhan cara berpakaiannya termasuk mengenakan alat solek, berambut blonde malah dirinya dilihat seperti kawan karib kepada isterinya malah mereka juga sering tampil berdua dalam setiap video berkenaan.
Malah pasangan dari Kelantan ini turut mengakui bahawa isterinya Yana tidak pernah terfikir untuk berpisah dan mereka masih menjadi suami isteri yang sah. Malah Yana dilihat tetap setia bersama dan menerima segala kekurangan yang dimiliki oleh si suami dengan redha.Malah pasangan ini dilihat turut menyambut ulangtahun perkahwinan di Tik Tok milik mereka.
KASHOORGA mendapatkan pandangan dari Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed mengenai perkara ini.
Menurut Dr Syed Shahridzan dari segi hukum perkahwinan, perkahwinan pasangan ini masih sah kerana perkahwinan mereka itu memenuhi syarat-syarat akad nikah antaranya pasangan ini berlainan jantina. Iaitu masih seorang lelaki dan wanita.
“Biasanya pembubaran perkahwinan atau faraq akan dilakukan oleh hakim jika seorang individu itu didapati murtad, keganasan rumahtangga atau atas sebab lain yang dirasakan sesuai oleh hakim mahkamah syariah.
Dalam kes suami menjadi maknyah dan isteri terus setia, jelas beliau, dari sudut hukum agama, mana-mana lelaki yang menyerupai wanita atau berketerampilan seperti wanita hukumnya adalah haram dan perbuatan begini dilaknat oleh Allah seperti mana yang dinyatakan dalam hadis yang sahih.
“Mengubah kejadian Allah itu hukumnya berdosa besar. Lelaki harus berpenampilan seperti lelaki dan bukan menukar jadi wanita.
“Tapi isterinya juga berdosa besar jika menyetujui perbuatan suami begini (berpenampilan seperti wanita). Redha dan setia dalam perkahwinan itu perkara lain tapi dosa kerana bersetuju suami berpenampilan begitu hukumnya dosa besar. Isteri seharusnya menegur jika perbuatan suami salah dan bukan menyokongnya. Apatah lagi suaminya berpenampilan seperti maknyah. Kita tak mahu perkara begini menjadi budaya. Dikhuatiri ianya menjadi ikutan dalam masyarakat.
Bagaimana dengan hubungan batin? Berapa lama tempoh isteri boleh minta cerai?
Dari sudut fitrah perkahwinan, pastinya wujud hubungan batin antara lelaki dan perempuan. Kalau suami sudah berpenampilan sebagai wanita, masih adakah lagi keinginanan batin?
Bagaimana jika si suami mak nyah tidak lagi bernafsu kepada isterinya sehingga mengabaikan tanggungjawab batin ini? Berapa lama tempoh nafkah batin tidak diberi isteri boleh tuntut cerai?
Menjawap persoalan ini dari pihak Kashoorga, Dr Syed Shahridzan menjelaskan, selama mana seorang isteri itu redha tiada hubungan batin, setahun, dua atau berbulan, ianya tidak jadi masalah. Asalkan ISTERI REDHA.
Tapi kalau isteri tak redha, isteri boleh buat tuntutan fasakh di mahkamah. Jelas beliau lagi, ia samalah seperti suami isteri bekerja hari ini.
“Tanggungjawab itu semuanya di pihak suami. Suami harus bayar bil, beri makan minum, tempat perlindungan dan sebagainya. Tapi hari ini, ramai suami isteri bekerja untuk sama-sama menampung perbelanjaan keluarga. Paling penting isteri redha dengan sumbangannya itu. Kalau isteri redha, tiada masalah. Sama dengan hubungan batin tadi, kalau isteri tiada masalah,” katanya lagi.
Tapi tambah beliau lagi, hukum akan berubah jika isteri melakukan onani secara diam-diam, cari lelaki lain untuk penuhi batinnya kerana ketidakupayaan suami memberi nafkah batin.
“Kalau ini terjadi, maka jelas perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana objektif perkahwinan untuk menghalang perbuatan maksiat. Oleh itu isteri harus pergi ke mahkamah syariah untuk menuntut cerai kerana ketidakupayaan batin suami dari dia terus melakukan dosa besar melakukan perbuatan haram itu,” katanya memberi penjelasan.
Diharap dengan penjelasan ini, tiada lagi keraguan dari masyarakat. Malah diharap ia tidak dibudayakan kerana berdosa mengubah ciptaan Allah.