Jangan Taksub Simpan Makanan Untuk Hadapi Akhir Zaman, Ustaz Kongsi Apa Perlu Umat Islam Lakukan

Share

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T telah menceritakan hakikat kehidupan manusia yang tidak dapat lari dari ujian. Ia datang dari segenap aspek dan penjuru. Sebahagian orang diuji dengan kehilangan harta benda. Sebahagian lain pula diuji dengan kehilangan insan-insan yang tersayang, kelaparan dan dahaga yang bersangatan dan sebagainya.

Firman Allah S.W.T:-

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَيۡءٖ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٥٥

Maksudnya: Dan nescaya Kami akan menguji kalian dengan sedikit daripada perasaan takut, rasa lapar, kekurangan harta benda, kehilangan nyawa (kematian) serta tumbuh-tumbuhan dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Surah al-Baqarah (155)

Di saat usia bumi semakin tua, sudah semakin banyak tanda-tanda jelas kiamat kecil kelihatan. Antaranya banyak bangunan tinggi didirikan, terjadinya banyak pembunuhan, waktu yang berlalu semakin singkat, sering terjadi bencana alam seperti gempa bumi, tanah gelongsor selain  munculnya gaya hidup mewah di kalangan umat islam.

Antara lain kiamat kecil lain ialah  orang baik semakin kurang (meninggal) dan orang jahat bertambah ramai, manusia mewarnakan rambut di kepala dengan hitam untuk kelihatan muda, lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki, bulan sabit kelihatan besar dan terakhir negara Arab menjadi padang rumput menghijau selain sungai.

Dikatakan juga, apabila mengampiri dunia akhir zaman, beberapa tahun sebelum keluarnya Dajjal, manusia akan diuji dengan kebuluran.

dalam satu hadith dari Ibn Najah, tiga tahun sebelum munculnya Dajjal, umat manusia akan melalui kehidupan paling sukar dengan kemarau panjang sehingga menjadikan bumi kering kontang.

“Sesungguhnya sebelum keluar Dajjal akan berlaku tiga tahun yang sangat dahsyat. Manusia akan dilanda kelaparan yang teruk. Allah akan memerintahkan langit menghentikan satu per tiga hujan dan memerintahkan bumi menahan satu per tiga tumbuhan.

“Pada tahun kedua, Allah akan memerintahkan langit menghentikan dua per tiga hujan, dan memerintahkan bumi menahan dua per tiga tumbuhan.

“Pada tahun ketiga, Allah akan memerintahkan langit menghentikan keseluruhan hujan dan bumi menahan keseluruhan tumbuhan.

“Kesemua tanah akan kering kontang dan tandus. Sahabat bertanya apakah makanan manusia pada waktu itu? Baginda menjawab, tahlil takbir dan tahmid. Perkara tersebut akan dapat menggantikan makanan.” – [HR Ibn Majah].

Jika kita melihat di media sosial, sudah ada sekumpulan individu yang membuat penyimpanan makanan  (prep) dan ia dikongsikan kepada orang ramai konon untuk menghadapi dunia akhir zaman dan juga persediaan menghadapi musim kemarau seperti disebut dalam hadith.

Tapi adakah perlunya kita lakukan begitu (menyimpan stok makanan yang banyak?) atau apa yang perlu kita sebagai umat islam lakukan bagi menghadapi dunia akhir zaman ini?

Dikongsi dari Tik Tok @ibnuramli, Ustaz ini membuat kupasan mengenai persediaan makanan yang mungkin diambil serius oleh sesetengah individu sedangkan ada persoalan lebih besar perlu dihadapi oleh umat akhir zaman.

Dalam ceramahnya, diperjelaskan hari ini bermacam-macam cerita keluar.

“Ada orang kumpul beras, siap seal dah beras. Takut akhir zaman. Konon dah dekat dengan akhir zaman. Tapi tahukah akhir zaman ni bukan berlaku hari ni saja tapi sejak dari zaman Nabi lagi. Dekatnya kiamat tu hanya sejengkal jari saja. Zaman kita mungkin rapat lagi.

“Lepas tu ada kelompok orang yang berkempen suruh simpan beras siap-siap. Simpan air dalam  tangki banyak-banyak, nanti takut air tak ada. Siap buat buku log lagi. Benda apa yang perlu disimpan untuk hadapi akhir zaman.

“Saya bukan nak tergelak tapi dah tergelak dah. Yang itu (simpan barang-barang ini) tidak disuruh oleh Nabi SAW pun. Kalau ada pun, Nabi suruh simpan air banyak-banyak.

“Dalam satu kejadian, ketika  Nabi Isa dengan tentera-tenteranya dikepung oleh Yakjuj dan Makjuj di Palestin. Apa yang ada pada waktu tersebut? Kepala lembu lebih mahal daripada emas pada waktu itu (maknanya apa, tak ada makanan).

“Kalau hal makanan jadi keutamaan, lebih baik makanan disimpan awal-awal oleh  mereka. Tapi bila hal ini berlaku, apa yang ada pada waktu itu (paling penting) ialah zikrullah. Itulah makanan umat Islam. Yang disebut oleh tenteranya Saidina Isa A.S dalam menghadapi keadaan ketika itu ialah Allah, Allah, Allah, Allah iaitu zikir.

“Jadi apa yang kita cari sekarang ini ialah ilmu, wirid dan zikir yang sepatutnya kita amalkan. Bukan apa yang kita buat sekarang.

“Kita tak nafikan boleh nak simpan makanan tapi itu bukan tujuan utamanya. Dan menyebarkan ketakutan demi ketakutan kepada umat Nabi Muhammad SAW tentang hal ini tanpa berikan kepada mereka harapan untuk  menjadi orang yang boleh berhadapan dengan cabaran dan seumpamanya.

“Dajjal nanti datang, dia akan datang dengan kesenangan. Dia akan turunkan kesenangan. Beras yang kita simpan dia akan beri lagi dan lagi.

“Sebab tu apa yang penting amal. Amal yang penting. Yang disuruh kita cari guru untuk belajar, duduk menuntut ilmu. Dalam Quran dah sebut hal ini.

“Tapi orang kita terbalik. Waktu zaman susah tu nanti  tak ada murabbi, tak ada pembimbing. Dia nak duduk seorang-seorang dalam hutan. Siapa nak bimbing kita kalau kita bukan alim. Dan tak ada proses pengajian, siapa nak bimbing? Lebih berat syaitan datang menggoda, nauzubillah.

“Sebab tu jangan obses dengan benda-benda tu. Sepatutnya yang kita lakukan sekarang ialah amal. Duduk dalam majlis ilmu. Itu sepatutnya.

Published by
almaswa Haji Che Ros