Jangan Tentukan Syurga Neraka Orang Lain – Mufti

Share

Kita sering melihat di media sosial orang sangat cepat menghukum. Bahkan mereka menentukan syurga neraka orang lain hanya kerana melihat satu kesilapan dibuat.

Tahukah, yang berhak menentukan syurga neraka kita hanyalah Allah SWT dan kita sebagai manusia tiada langsung berhak menentukan.

Hal ini pernah dikupas oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai isu ini bahawa kita tiada kelayakan langsung menentukan syurga atau neraka orang lain.

Jelasnya, hanya Allah yang maha mengetahui mengenai timbangan dosa dan pahala seseorang dan tidak adil sekiranya seseorang itu diadili kerana dosa peribadinya seperti tidak menutup aurat dan sebagainya.

Nampak dirinya tidak menutup aurat hingga kita melekehkannya tapi kita tak nampak apa kebaikan dilakukannya termasuk kurang melakukan dosa dengan orang lain.

Tambahnya, ada setengahnya dipandang tinggi kerana penampilannya, tapi orang ini banyak dosa dengan orang lain dan kita tertipu dengan penampilan dari luaran sahaja.

Justeru, janganlah kita menafikan kebaikan orang lain disebabkan sesuatu kekurangan yang kita lihat. Ini tidaklah bererti menjustifikasi dosa yang dia lakukan, tapi kita dituntut untuk adil dalam menilai orang lain. Dosa dinilai dosa, baik dinilai baik. Ada dosa tidak semestinya tiada kebaikan. Ada pahala tidak semestinya tiada dosa,”jelasnya.

Tambah Mufti ini lagi, umat Islam juga perlu sedar bahawa semua orang merupakan pendosa yang tidak lari melakukan kesilapan, bezanya adalah sama ada dosa itu diketahui orang atau tidak.

“Hendaklah kita tahu di sana ada dosa peribadi hanya antara hamba dengan tuhannya tanpa membabitkan hamba-hamba Allah yang lain. Dosa jenis ini mudah diampunkan oleh Allah. Di sana pula ada dosa yang membabitkan kezaliman antara kita dengan hamba-hamba Allah yang lain. Dosa ini tidak diampuni sehingga kita memohon kemaafan atau membayar pahala kita di akhirat kelak. Jika tidak, kita mesti menanggung dosa orang yang kita zalimi,” katanya.

Published by
almaswa Haji Che Ros