Kerohanian

Jangan Tunggu Syarat ‘Mimpi’ Selepas Solat Istikharah. Berlapang Dada Buat Keputusan Juga Petunjuk

Share

Seringkali bila terpaksa memilih antara dua pilihan atau membuat keputusan penting dalam hidup termasukkan perihal jodoh kita disaran melakukan solat istikharah.

Istikharah dari sudut istilah feqah membawa maksud permintaan kepada Allah SWT agar diberi pertunjuk dalam memilih sesuatu perkara yang terbaik.

Dalam hal petunjuk ini ramai yang mengganggap ‘mimpi’ adalah jawapan kepada istikharah yang dilakukan. Namun tidak semestinya begitu. Perkara ini dijelaskan oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri di dalam Maktabah Al Bakri.

Adakah disyaratkan mimpi untuk menentukan pilihan terhadap Istikharah

Menjadi kepercayaan masyarakat kita bahawa jawapan istikharah yang dilakukan oleh seseorang mestilah datang dalam bentuk mimpi ketika dia tidur. Hal ini seperti yang didakwa banyak pihak apabila melihat salah satu pilihannya di dalam mimpi, lalu mereka memilih berdasarkan mimpinya tersebut. Namun sebenarnya perkara tersebut tiada sandaran di dalam syarak dan tidak disyaratkan jawapan tersebut melalui mimpi sahaja.

Bahkan, para ulama’ menyatakan bahawa antara petunjuk yang diberikan Allah SWT kepada orang yang melaksanakan istikharah ialah dengan apa yang dilapangkan dadanya dalam membuat keputusan. Hal ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Adzkar dengan berkata:

وَإِذَا اسْتَخَارَ مَضَى بَعْدَهَا لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ ، والله أعلم

Maksudnya: Dan apabila seseorang itu selesai melaksanakan istikharah, maka hendaklah dia melakukan urusannya menurut apa yang dilapangkan dadanya untuk membuat keputusan. WaAllahu a’lam. ( Lihat al-Azkar al-Nawawiyyah, 2/241)

Begitu juga, Imam al-Nawawi menyebutnya di dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dengan berkata:

ثمَّ يَنْهَض بَعْد الاسْتِخَارَة لِمَا يَنْشَرِحُ لَهُ صَدْرُهُ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah dia bangkit daripada melakukan istikharah tersebut terhadap apa yang telah dilapangkan dadanya kepadanya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/546)

Jika tidak berlapang dada bagaimana pula?

Walau bagaimanapun, jika masih tidak dilapangkan dada atau masih berasa ragu-ragu terhadap pilihan, maka hendaklah mengulangi istikharahnya sehingga dia merasa lapang dadanya untuk memilih.

Jika sekiranya masih juga dalam keadaan yang sama, maka jika dia boleh untuk menunda membuat pilihan, maka hendaklah dia menunda, Namun, jika tidak boleh ditunda, maka hendaklah dia meneruskan urusan yang dirasakan mudah baginya.

Hal ini disebutkan oleh Ibn ‘Allan, katanya: Jika sekiranya tidak dilapangkan dadanya untuk memilih satu pilihan, maka apa yang zahir bagi kami ialah hendaklah dia mengulangi kembali istikharahnya dengan mendirikan solat dan berdoa sehingga dilapangkan hatinya untuk membuat pilihan.

Namun, jika diandaikan masih tidak dilapangkan hatinya untuk membuat pilihan walaupun selepas mengulangi solatnya, jika sekiranya dia boleh untuk menunda untuk membuat keputusan, maka hendaklah dia menundanya terlebih dahulu. Jika sekiranya tidak boleh untuk menundanya, maka hendaklah meneruskan urusan yang dipermudahkan untuknya, sesungguhnya ia merupakan tanda izin daripada Allah SWT dan kebaikan. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 2/241)
Penutup

Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, kami nyatakan bahawa tidak disyaratkan untuk bermimpi untuk mendapat jawapan terhadap istikharah yang dilakukan, bahkan tidak memerlukan apa-apa petunjuk melainkan dengan dilapangkan dadanya dan dipermudahkan urusan.

Oleh itu, apabila seseorang telah melakukan istikharah hendaklah dia melakukan hal urusannya seperti biasa berdasarkan apa yang dilapangkan hatinya dan dimudahkan urusannya, serta tidak menunggu untuk mendapat jawapan dalam bentuk mimpi atau seumpamanya. Hal ini kerana istikharah yang dilakukan adalah untuk kita memohon pengakhiran yang baik kepada Allah SWT terhadap urusan yang kita usahakan.

Istikharah hanya untuk perkara yang harus saja

Perlu diingat solat istikharah hendaklah dilakukan untuk perkara-perkara yang harus bukannya perkara yang haram. Bagaimana mungkin adanya kebaikan di dalam perkara yang diharamkan oleh Allah. Hal ini jelas dilihat melalui sebahagian doa istikharah yang diajarkan oleh Nabi SAW.

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ

Maksudnya: “Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut.”

Hukum solat isktikharah adalah sunat. Bagi sesiapa yang ada hajat atau ingin memohon petunjuk tentang satu perkara yang ingin dilakukannya maka disunatkan kepadanya solat dua rakaat dan berdoa dengan doa yang telah diajarkan oleh Nabi saw.

Sumber: Maktabah Al Bakri

Published by
Team Kashoorga