Tiada apa yang lebih menyedihkan saat diuji dengan kematian orang tersayang. Janji Allah itu pasti, walau sekuat mana pun kita cuba untuk menidakkannya.
Ternyata janji seorang ayah untuk membelikan anak syurganya yang mengidap autisme senaskah Al-Quran digital tidak kesampaian apabila maut dirempuh treler selepas 40 minit memaklumkan kepada isterinya lokasi terakhir lorinya tersadai akibat kehabisan minyak.
Dikongsi dari page fb Mr Wan Chai Offizcial, pengurusan jenazah islam yang dilakukan secara percuma, berkongsi kisah sedih ini apabila mereka menyempurnakan pengurusan jenazah buat insan terpilih ini, Saifuddin Bin Abdullah yang juga seorang saudara baru.
Baru berkesempatan berkongsi kisah tentang pengurusan mangsa nahas di rempuh lori treler. Mohon maaf kerana terlalu sibuk dengan program memberi bantuan ayam mentah buat mangsa banjir tadi.
Allahyarham Saifuddin bin Abdullah, mangsa korban dirempuh lori treler selamat diKebumikan 05.40 petang tadi. Jenazah lelaki mualaf berusia 50 tahun itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Johan Setia, Klang.
Allahyarham adalah pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Plus Utara Selatan kilometer 241.6. Arwah dalam perjalanan pulang ke Klang sewaktu nahas yang mengorbankan nyawanya berlaku.
Lori yang dipandu oleh arwah dikatakan kehabisan minyak dan berhenti di lorong kecemasan lebuhraya tersebut. 40 minit sebelum kejadian malang itu berlaku, arwah sempat menghantar gambar terakhir kepada isterinya.
Arwah memaklumkan lorinya kehabisan minyak dan tersadai di tepi lebuhraya menunggu bantuan. Arwah kemudian menghubungi seorang adiknya bagi mendapatkan bantuan menghantar minyak diesel.
Adik arwah yang tiba tidak lama kemudiannya membantu menuang minyak ke dalam tangki minyak lori. Bagaimana pun sebuah lori dari arah belakang telah merempuh arwah dan adiknya. Keduanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Suasana sedih menyelubungi bilik pengurusan milik Hospital Rembau sewaktu jenazah diuruskan oleh rakan-rakan UKVJ HQ Dan UKVJ Melaka.
Si isteri memberitahu arwah berhajat untuk membeli senaskah Al-Quran Digital untuk anak syurganya yang juga seorang anak autisme. Namun hajat arwah itu tidak kesampaian kerana terlebih dahulu dipanggil pulang mengadap Maha Pencipta.
Sebelum kejadian kemalangan berlaku, arwah turut sempat berpesan meminta isterinya memasak untuk anak istimewanya itu.
Pengurusan buat arwah telah kami sempurnakan dengan sebaik yang mungkin. Pengurusan buat adiknya pula tidak dapat kami uruskan.
Ini kerana adik arwah yang turut sama terkorban adalah seorang penganut agama Hindu. Difahamkan lori treler yang merempuh arwah dan adiknya telah melarikan diri sejurus selepas kejadian kemalangan itu berlaku.
Mohon doakan agar pemandu lori tersebut dapat ditangkap dengan segera. Semoga kematian arwah dan adiknya mendapat keadilan.
Kecuaian pemandu lori tersebut menyebabkan seorang isteri hilang tempat untuk bergantung hidup. Lebih menyedihkan seorang anak istimewa hilang kasih seorang bapa.