Penularan virus Coronavirus atau COVID-19 dikatakan semakin serius dengan menyaksikan orang ramai dilarang sama sekali untuk pergi ke lima negara terbabit, China, Itali, Iran, Jepun dan juga Korea Selatan.
Malah pelancong yang pergi ke sana juga terpaksa di kuarantin selama dua minggu sebelum boleh kembali dibenarkan bekerja atau keluar ke tempat awam.
Dan terbaru Arab Saudi juga turut mengeluarkan larangan kepada jemaah yang mahu menunaikan ibadah umrah di tanah suci.
Melalui laporan artikel Berita Harian, jemaah umrah diarah keluar dari Makkah dalam tiga hari bermula hari Ini.
Perkara itu dinyatakan melalui satu arahan dalam bentuk pekeliling, diterima pengendali ibadat umrah atau muassasah yang berada di Jeddah, Arab Saudi.
Semua jemaah yang berada di luar Makkah perlu ke kota itu untuk menyempurnakan ibadah umrah dan meninggalkan Arab Saudi dalam tempoh tiga iaitu sehingga 8 Mac.
Arahan itu dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam pekeliling bernombor 14410709 dan diletakkan dengan notis ‘top urgent’.
Seorang pengendali umrah, Erdie Nasrullah yang menetap di Jeddah ketika dihubungi BH mengesahkan pekeliling itu yang diterimanya semalam.
“Setakat hari ini, kerajaan Arab Saudi masih menghentikan kegiatan umrah berikutan penularan COVID-19 dan syarikat penerbangan, antaranya Saudi Airlines sudah mengeluarkan notis penggantungan sementara sehingga April ini.
“Ramalan kami dalam kalangan orang tempatan di Arab Saudi, berkemungkinan sekatan ini akan diteruskan sehingga Ramadan dan terus kepada musim haji nanti,” katanya.
Erdie berkata, kawalan terhadap wabak COVID-19 ini dipertingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan terdapat dua kes positif wabak itu dicatatkan di Arab Saudi.
“Jemaah semakin berkurangan setakat hari ini tetapi tidaklah sampai lengang. Cuma yang tinggal adalah saki baki jemaah yang masuk ke Makkah sebelum berlakunya penggantungan sementara visa.
“Setakat ini tidak ada kemasukan jemaah dan semua pengusaha serta pengendali umrah sedang menunggu pengumuman lanjut daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sama ada penggantungan ini dihentikan atau sebaliknya,” katanya.