Selepas wajib berpuasa di bulan Ramadan, ramai yang berpuasa enam di bulan Syawal. Besar ganjarannya jika amalan puasa sunat ini diteruskan selepas itu.
Meski puasa sunat ialah puasa yang tidak diwajibkan, akan tetapi disunatkan berdasarkan sunnah Nabi SAW dan amalan Nabi SAW. Antaranya seperti puasa Isnin Khamis dan waktu-waktu yang lain.
Sebarang bentuk, puasa sunat tidak dianggap sunat melainkan terdapatnya nas sama ada daripada al-Quran atau hadis yang menggalakkan puasa sunat tersebut.
Berikut dikemukakan di sini dari kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/114-117) berkenaan dengan puasa sunat yang terdapat dalam Islam. Antara jenis puasa sunat ialah:
Sunat berpuasa pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Qatadah RA katanya: “Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Baginda bersabda:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” Riwayat Muslim (1162)
Hari Arafah adalah hari yang afdhal antara hari yang lainnya. Ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Tiada hari lain yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka selain hari Arafah.” Riwayat Muslim (1338)
Adapun orang yang sedang mengerjakan ibadat haji, tidak sunat berpuasa pada hari tersebut, bahkan dia sunat berbuka mengikut perbuatan Nabi SAW, di samping menguatkan tenaga untuk berdoa pada hari tersebut.
Asyura’ adalah hari yang kesepuluh bulan Muharam, manakala Tasu’aa’ pula adalah hari yang kesembilan pada bulan tersebut. Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas RA, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (1900) dan Muslim (1130)
Hadith yang lain pula, daripada Abu Qatadah RA, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Asyura’. Baginda bersabda:
يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ
Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.” Riwayat Muslim (1162)
Hikmah berpuasa hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’ adalah untuk berhati-hati daripada kemungkinan berlaku kesilapan awal bulan. Begitu juga halnya supaya tidak menyamai perbuatan orang Yahudi. Mereka juga berpuasa pada hari kesepuluh bulan Muharam. Justeru, sesiapa yang tidak berpuasa pada hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’, dia sunat berpuasa pada hari yang kesebelas bulan tersebut.
Dalil sunat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut ialah hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ الرَّسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengambil berat tentang puasa pada hari Isnin dan Khamis.” Riwayat al-Tirmizi (745)
Hadith seterusnya, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Semua amalan dipersembahkan pada hari Isnin dan Khamis. Justeru, aku ingin amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa.” Riwayat al-Tirmizi (747)
Hari yang afdhal untuk melakukan puasa tersebut ialah pada malam bulan mengambang, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 setiap bulan Islam yang dikenali juga sebagai hari-hari putih (الأيام البيض). Ini kerana malam hari tersebut terang benderang kerana cahaya bulan. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, katanya:
صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.”
Riwayat al-Bukhari (1124) dan Muslim (721)
Hadith seterusnya, daripada Abu Qatadah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:
صَوْمُ ثَلاَثَةٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَمَضَانَ إِلَى رَمَضَانَ صَوْمُ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Kelebihan puasa pada tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun.” Riwayat Muslim (1162)
Walau bagaimanapun, puasa pada 13 Zulhijjah dikecualikan kerana haram berpuasa pada hari tersebut.
Cara yang afdhal adalah puasa berturut-turut sebaik sahaja selepas Hari Raya Aidilfitri. Namun, cara demikian tidaklah menjadi syarat. Malah, sunatnya tetap didapati, sekalipun dilakukan secara berselang-selang hari. Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” Riwayat Muslim (1164)
Sumber: Maktabah Al Bakri