Hari ini sama seperti hari sebelumnya. Alarm telefonku berbunyi menandakan sudah jam 6.00 pagi. Tanganku pantas mematikan bunyi alarm tersebut.
Mataku kupaksa untuk buka, namun jasadku belum mampu kupaksa untuk bangun. Aku termenung di dalam kegelapan. Tiada apa yang kufikirkan hanya dipenuhi perasaan malas.
Berat sungguh jasad ini hendak kupaksa bangun. Ku tahu solat itu satu kewajipan. Mendirikan solat di awal waktu itu suatu tuntutan. Namun, aku masih terbaring dengan enaknya. Dalam hati aku berkata,
‘kejap lagi la solat, baru masuk waktu ni’.
Masa terus berjalan tanpa menanyakan kepadaku
‘Berapa banyak masa lagikah yang engkau perlukan?’.
Ia berlalu sedetik demi sedetik hingga membawa aku kesiangan. Aku lihat jam di telefonku. Ianya menunjukkan tepat jam 6.50 pagi.
Tatkala ini aku bingkas bangun menenguk segelas air masak dan terus ke bilik air. Aku persiapkan diriku untuk solat.
Alhamdulillah masih sempat sebelum syuruk. Usai solat, aku mengangkat tangan dan berdoa kepada Illahi.
Aku berdoa supaya aku diberi kesihatan yang kamil, kebijaksanaan, kekayaan dan dipermudahkan segala urusan hidup.
Hari ini aku bercadang untuk ambil cuti. Kebiasaannya aku akan menghabiskan masa duduk berehat di rumah sahaja apabila tidak ke mana-mana.
Inilah masanya untuk aku mengemas rumah, membasuh pakaianku, memasak makanan kegemaranku di rumah.
Bagi aku, setelah penat bekerja, hari cutiadalah masa untuk reward diri sendiri.
Selesai mengemas rumah, aku duduk di sofa sambil menonton televisyen. Ku ambil makanan yang telah dimasak dan langsung makan di hadapan televisyen.
Aku rasa ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang terbiasa dengan amalan makan di hadapan televisyen. Dalam erti kata yang lain, makan sambil menonton rancangan televisyen.
Sedang aku menikmati rezekiku pada tengah hari ini, terdengar seruan azan yang menandakan masuknya waktu solat fardhu Zuhor.
Ads
Dalam hatiku berbisik, ‘tidak apalah, lepas makan aku solat’.
Aku meneruskan untuk menghabiskan makananku. Dalam keasyikan menikmati santapanku pada hari ini, tangan ku dengan pantas mengambil remote control Astro. Button info aku tekan satu persatu sambal meneliti rancangan yang akan disiarkan pada hari ini.
’wah, ada rancangan kegemaranku, mana boleh terlepas ni’.
Bisik aku di dalam hati setelah melihat info rancangan di kaca televisyen. Mataku melihat duration rancangan tersebut. Rancangan itu akan habis jam 3.00 petang. Dalam hatiku berbisik lagi
‘sekarang dah pukul 1.55 petang, kalau solat sekarang nanti terlepas pula rancangan ini. Solat lepas abis rancangan ini lah. Pukul 3.00 pun masih waktu zuhur. Ah, tengok televisyen dulu lah’.
Aku lalu terbuai dek keasyikan dunia. Usai rancangan televisyen itu, aku bangun mendirikan solat. Seperti biasa, aku memanjatkan doaku kepada Illahi.
Seperti aktiviti di hujung minggu, aktivitiku adalah sama di waktu petang. Iaitu tidur di petang hari. Tidur di waktu petang adalah satu kenikmatan bagiku.
Sebelum tidur, alarm telefon telah aku setkan. Aku ingin bangun pada jam 5.30 petang. Bagiku kalau tidur sekejap-sekejap tidak berasa kepuasaannya.
Aku lantas tidur dalam kesejukan penghawa dingin. Tepat jam 5.30 petang aku bangkit mendirikan solat.
Apabila senja mula mencelah, aku seperti dipanggil-panggil oleh televisyen. Seolah-olah ada suara dari televisyen itu menyuruh supaya aku membuka televisyen.
Aku menonton drama televisyen sehingga jam 8.00 malam. Jam 8.00 malam barulah aku tergesa-gesa mendirikan solat Maghrib.
Ads
Aku tidak pernah lupa untuk memanjatkan doa kepada Illahi. Sudah menjadi kemestian pada diri untuk berdoa selepas solat.
Selesai solat Maghrib, aku menyambung aktivitiku untuk menonton televisyen. Selalunya aku pasti tertidur di hadapan televisyen. Kadang-kadang sehingga jam 2.00 pagi. Bagiku, waktu Isyak panjang yang aku boleh dirikan nanti.
Aku terlena di hadapan televisyen. Terjaganya aku, jam dinding menunjukkan jam 10.30 malam. Aku bingkas bangun dan menunaikan solat Isyak.
Setelah selesai, aku periksa keadaan rumah, kupastikan semua pintu dan tingkap telahku kunci, suiz telahku matikan, baru aku masuk ke bilik untuk tidur.
Beginilah kehidupanku berulang siang ke malam dan malam membawa ke siang kembali.
Sehingga suatu hari aku terfikir. Aku yakin dan percaya dengan janji Allah bahawa setiap apa yang kita minta pasti Allah tunaikan cuma waktu yang membezakan.
Ada doa yang Allah maqbulkan cepat, ada yang lambat.
Aku berfikir, mengapa aku berdoa setiap kali selepas solat tanpa pernah tinggal walau sekali pun, tapi doaku masih tidak dimakbulkan. Adakah aku kurang usaha? Aku muhasabah kembali.
Bagi aku, aku cukup berusaha. Aku kerja siang petang. Adakah aku kurang beribadah? Aku tidak pernah tinggal solat walau terkadang aku lambat mendirikannya.
Tiba-tiba aku seolah disapa satu tepukan dari belakang yang aku sendiri tidak tahu daripada siapa. Sapaan itu seolah berbisik padaku,
Ads
‘Inilah jawapannya’.
Baru aku tersedar. Apa yang Allah ingin aku lakukan, aku lewatkan. Adilkah untuk aku mendapatkan apa yang aku hajatkan dengan cepat. Sedang apa yang Tuhanku mahukan aku lenggahkan.
Air mataku tiba-tiba mengalir tanpa aku sedar. Adilkah aku terhadap diri ku sendiri. Adil itu bermaksud, meletakkan sesuatu itu pada haknya.
Solat itu haknya di awal waktu, aku tidak adil akan itu. Adilkah aku apabila apa yang Allah perintah aku lewatkan namun apa yang aku hajatkan aku mahukan segera.
Adilkah aku?
Sekilas aku tersedar, siapa aku di muka bumi ini. Aku hanya seorang hamba. Hamba yang sangat hina martabatnya. Layakkah aku mempertikaikan pemberian Tuhan kepada diriku?
Layakkah aku iri hati dengan pemberian Tuhan pada hamba yang lain? Layakkah aku marah akan apa yang Tuhan beri dan ambil daripadaku, sedang semua milikNya?
Layakkah aku berfikir tentang keadaan diriku yang diuji? Tidak berimanlah aku sekiranya aku tidak beriman walau hanya dengan satu rukun iman. Percaya kepada Qada’ dan qadar.
Ramai yang terlepas pandang akan rukun Iman terakhir iaitu beriman kepada qada’ dan qadar.
Pada kita rukun Iman keenam ini hanya percaya ketentuan Illahi untuk kita tanpa meletakkan sebenar-benar bahawa Allah adalah perancang segala sesuatu yang terjadi pada hari ini.
Setiap hela nafas kita pada saat ini juga merupakan perancangan Allah untuk kita. Itulah qada’ dan qadar. Beriman dengan sebenar-benar Iman.
Alhamdulillah, hari ini aku mula tersedar tentang siapa aku di muka bumi ini.
Adilkah aku sekiranya segala perintah Tuhan aku abaikan. Semoga hari ini merupakan hari yang terbaik bagiku, dan hari esok adalah lebih baik dari ini.
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Alam barzakh adalah tempat sementara bagi ruh yang telah meninggah sebelum memasuki alam akhirat. Setelah memasuki liang lahad, kubur orang yang beriman akan dilapangkan dan mereka juga dapat melihat nikmat yang bakal diperoleh di syurga.
Sebaliknya jika mereka kufur dan ingkar, maka pada ketika itu kubur mereka akan disempitkan. Malah, bahang kepanasan api neraka akan ditayangkan kepada sepanjang mereka di alam itu sehingga kiamat.
Untuk mengetahui persoalan ruh di alam barzakh, kami nukilkan soal jawab yang disiarkan menerusi Islam Online yang di jawab oleh Syaikh Muhammad Soleh Al-Munajid dan Muhammad bin Soleh al-Utsaimin, sarjana Islam kontemporari yang disegani.
Apa itu alam barzakh
Alam barzakh ialah alam selepas kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan pada hari kiamat. Sesiapa yang mati dalam Islam dan ibadah, dia akan diberi nikmat. Sesiapa yang mati dalam kekufuran dan maksiat, dia akan diseksa.
Firman Allah SWT yang maksudnya: “Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan para pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!” (Surah Ghafir: 46)
Seksaan itu ada pelbagai jenis mengikut dosa Pelakunya. Terdapat sebuah hadis dalam Sahih al-Bukhari yang menjelaskan azab Barzakh yang dikenakan ke atas sebahagian pelaku dosa-dosa besar. (Rujuk: Sahih al-Bukhari, no. 6525. Hadis ini telah pun dinyatakan dalam persoalan terdahulu. Fatwa Syeikh Walid al-Firyan).
Cara Mayat Disoal
Adakah soalan kepada penghuni kubur satu kenyataan yang benar-benar akan berlaku di mana ketika itu mereka akan didudukkan dan saling bersoal jawab?
Jawapan: Syeikh Muhammad bin ‘Utsaimin r.h berkata: “Tidak diragukan lagi bahawa soalan di dalam kubur merupakan satu kenyataan (yang pasti akan berlaku). Seseorang akan didudukkan, saling berbalas cakap dan disoal di dalamnya.
Jika ada orang yang bertanya, bagaimana mungkin keadaan kubur yang sempit itu membolehkan seseorang itu duduk, maka jawapannya:
Pertama, orang mukmin wajib menerima dan yakin dengan perkara-perkara ghaib tanpa bertanya bagaimana dan mengapa. Seseorang yang bertanya seperti itu, bererti dia masih ragu-ragu. Orang yang beriman dan menerima segala yang telah diberitakan oleh Allah dan Rasul-Nya pasti akan berserah diri dan mengata kan Allah Maha Mengetahui perkara itu.
Kedua, perhubungan roh dengan jasad sesudah mati tidak sama dengan perhubungannya semasa masih hidup. Roh dengan jasad memiliki rahsia yang amat luar biasa dan tidak seorang pun mengetahuinya. Perhubungan roh dengan jasad selepas kematian tidak mungkin disamakan dengan perhubungannya semasa masih hidup.
Buktinya, seseorang yang tidur dan bermimpi dia pergi, kembali, bermusafir, bercakap dengan orang lain, berjumpa dengan orang yang sudah mati dan orang yang masih hidup, melihat dia memiliki sebuah kebun yang indah atau rumah gelap yang menakutkan, melihat dirinya sedang menaiki kenderaan mewah dan kadangkala sedang menaiki kenderaan yang buruk.
Kesemua ini mungkin sahaja terjadi walaupun dia berada di atas tilamnya tanpa sebarang perubahan. Malah, selimut yang digunakan juga langsung tidak berubah.
Kita yang bermimpi merasa seolah-olah yakin bahawa ia memang benar-benar terjadi. Jadi, perhubungan roh dengan jasad selepas kematian tentu berbeza dengan perhubungannya semasa hidup dan ketika dalam mimpi. Ia memiliki keadaan yang berlainan di luar pengetahuan kita. Boleh jadi seseorang duduk di dalam kubur dan disoal meskipun dalam kubur yang sempit dan terhad.
Demikianlah keterangan yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dalam beberapa hadis sahih. Baginda tela hpun memberitahu kita keadaan ini dan kita wajib percaya dan beriman.
Firman Allah SWT yang maksudnya: “Maka demi TUHANmu (wahai Muhammad), mereka tidak dikatakan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang tim bul di antara mereka. Kemudian mereka pula tidak berasa di hati mereka sesuatu keberatan daripada apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah: al-Nisa: 65. (Majmu’ Fatawa, Syeikh Ibn ‘Utsaimin, jil. 2, ms. 34).
Kehidupan dalam kubur
Adakah kehidupan orang yang berada di dalam kubur sama dengan orang yang masih hidup? Berapakah pancaindera mereka yang kembali seperti sediakala? Berapa lamakah kehidupan di alam barzakh? Seorang doktor ketika ingin memulakan pembedahan, dia terlebih dahulu akan memberhentikan keaktifan pancaindera seseorang menggunakan bius. Adakah keadaan ini sama dengan orang yang sudah mati?
Jawapan: Pertama, wajib ke atas setiap mukmin dan mukminah meyakini apa yang diberitakan oleh Allah di dalam kitab-Nya atau melalui lidah Rasul-Nya dalam setiap perkara yang berkaitan dengan akhirat, hisab, syurga, neraka, kematian, kubur, seksaan, nikmat dan perkara -perkara ghaib yang telah diterangkan oleh al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w.
Oleh itu, kita wajib beriman, pasrah diri dan meyakini semua itu kerana kita tahu bahawa Tuhan kita adalah Maha Benar terhadap apa yang difirmankan dan apa yang telah diberitakan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada ALLAH?” (Surah al-Nisa: 122.)
Kita juga tahu bahawa Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling jujur dan baginda tidak mengeluarkan kata-kata menurut hawa nafsu nya. Ia adalah wahyu yang telah disampaikan kepada nya. Jadi, apa sahaja yang telah tsabit dalam pelbagai hadis sahih, kita wajib meyakininya. Meskipun tidak mengetahui hakikatnya yang sebenar.
Kita juga wajib meyakini perkara-perkara yang berkaitan dengan akhirat, syurga dan neraka, kenikmatan dan seksaan yang dirasakan oleh penghuni syurga dan neraka. Begitu juga meyakini bahawa roh dikembalikan kepada jasad ketika diazab atau diberikan nikmat di dalam kubur.
Semua ini adalah benar seperti yang telah dijelaskan oleh pelbagai nas. Setiap orang mestilah menerima ketetapan ini dan meyakini apa yang telah diberitahu oleh al-Quran, hadis sahih atau ijmak ulama.
Kemudian jika seorang mukmin dan mukminah di anugerah kan Allah untuk mengenali hikmah dan rahsia itu, maka ia merupakan satu kebaikan, cahaya dan ilmu yang luar biasa. Oleh itu, dia hendaklah bersyukur atas ilmu kurniaan Allah itu sehingga pengetahuannya bertambah dan jiwanya semakin tenteram.
Soalan kepada penghuni kubur adalah benar. Ketika itu rohnya dikembalikan semula kepada jasadnya. Hal ini telah diterangkan dalam beberapa hadis Rasulullah s.a.w.
Kehidupan di dalam kubur jelas berbeza dengan kehidupan di dunia ini. Manusia akan menjalani satu kehidupan khusus, iaitu alam barzakh yang amat berbeza dengan kehidupan dunia di mana kita memerlukan makanan, minuman dan sebagainya.
Ia adalah satu kehidupan khusus. Si mati akan memahami soalan dan memberikan jawapan terhadap soalan yang diajukan kepadanya. Dua malaikat akan bertanya kepadanya.
Jadi kita dapat mengetahui bahawa ada kalanya kubur menjadi taman syurga dan ada kalanya menjadi lubuk api neraka. Seksa dan nikmat dirasakan oleh roh dan jasad di dalam kubur. Begitu juga syurga atau neraka.
Berhubung dengan orang yang mati kerana terbakar, lemas atau dibaham binatang buas, rohnya tetap akan merasakan seksa atau nikmat. Ini kerana, roh tetap akan mendatangi jasadnya sama ada di darat, di laut mahupun di dalam perut binatang buas. Tetapi kebanyakan nikmat atau seksa dikenakan ke atas roh. Jadi roh orang beriman akan masuk ke dalam syurga.
Nabi s.a.w bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya roh orang beriman terbang di atas pokok syurga dan memakan buahnya, manakala roh orang kafir masuk ke dalam neraka.”
Dengan itu, wajib ke atas Muslim dan Muslimah mempercayai apa yang telah diberitakan oleh Allah SWT dan rasul-Nys seperti yang di kehendaki oleh Allah. Meskipun ada sebahagian maksudnya tidak difahami oleh seseorang. (Rujuk: Kitab Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi’ah ms. 338).
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Mengharapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Hanya sempat menganyam bunga-bunga cinta sebagai suami isteri selama dua tahun lima bulan, si dia dijemput sang pencipta. Meninggal dunia dalam kes kemalangan langgar lari bertarikh 6 Mac 2019, sesungguhnya pemergian suami tercinta ibarat satu mimpi.
Lebih memilukan apabila perginya seorang suami sehari sebelum sang isteri menyambut hari lahir.
Baca perkongsian Asyrafiah Sabri yang menyentuh jiwa. Kerinduan seorang isteri terhadap arwah suaminya begitu sukar untuk dibendung. Begitu tulus dan suci kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.
PERGINYA SEORANG KEKASIH HATI KE SISI KEKASIH ABADI
Hari ini, genaplah saya berumur 29 tahun. 3 hari lepas, suami saya mintak saya pilih, nak staycation atau barang sebagai hadiah birthday saya.
Tapi minggu lepas, kami berjalan habis-habisan. Berjalan ke KLCC, esoknya tawaf Sunway Pyramid. Dan sempat beliau pilihkan travel perfume dan travel lotion Bath & Body Works yang beliau suka, untuk kami guna sama-sama dalam birthday vacation kami di Bali, 23 Mac 2019. Tapi tak kesampaian kami nak sambut, suami saya dah pergi dulu pulang ke tempat asalnya. Al-Fatihah abang.
Saya memang rapat sangat dengan arwah suami. Rapat gila-gila. Macam kembar. Kitorang mesti kena ada benda yang sama.
Baju sama. Seluar sama. Kasut travel sama. Kasut sukan. Handphone. Apa yang suami makan, dia akan tapau untuk saya. Yang saya beli travel set Bath & Body Works tu pun, suami cakap nak jugak 1 set beli lepas gaji dari company lama dia clear, tapi tak kesampaian juga. Al-Fatihah abang.
Trylah beli satu barang je, mesti sorang lagi merajuk nak benda yang sama. Memang merajuk! Sama ada saya atau pun dia. ?
Saya rasa saya macam baby dengan suami saya. Tengah malam kalau suami tidur arah lain, saya tarik dia mintak dia peluk. Kalau tak, saya merengek macam baby ? Terima kasih abang, sabarnya melayan baby tua sepanjang perkahwinan kita bang.
Sempena hari ulang tahun ke-29 saya ni, saya tak nak mintak banyak dengan Allah, tapi saya mintak Allah terima doa saya yang banyak dosa ni tanpa hijab, masukkan suami saya, Fikri Hamiz bin Hamidun ke dalam syurga-Nya tanpa hisab dan satukanlah kami berdua di syurga-Nya nanti.
Pemergian abang, meninggalkan cinta yang paling dalam.
Terima kasih abang, akulah satu-satunya isterimu hingga akhir nyawamu.
(Nukilan 7 Mac 2019)
Dari awal kahwin, arwah suami ada satu habit iaitu suruh bini potong kuku tangan dan kaki. Minggu lepas kot kalau tak salah, dia mintak saya potongkan kuku tangan dan kaki macam biasa. Saya dapat potong kuku tangan je sebab masa tu penat sangat.
Saya cakap sambung esoklah bang. Penat sangat ni. Dia pun okay je. Sudahnya saya lupa nak sambung potong kuku kaki. Dia pun lupa ingatkan.
Sampailah 6 Mac masa saya tengok mayat suami, saya cek kuku kakinya. Rasa ralat betul. Tapi masa tu kaki dia sejuk sangat. Pegang pun menggeletar.
Ya Allah alhamdulillah. Sepanjang kahwin, dapat saya berbakti potong kuku suami antaranya. Walaupun masa awal-awal dia suruh dulu rasa awkward gila.
Sampai saya pernah cakap dengan suami saya,
“Bang, nape abang malas sangat potong kuku sendiri.” ?
Rupanya, dia nak saya ingat, 2 tahun 5 bulan kahwin, sayalah yang selesaikan urusan jaga dia. 2 tahun 5 bulan je dia nak saya potong kuku dia.
Gambar sekadar hiasan
Saja kemas WhatsApp suami. Keluarkan dia dari kumpulan kerja, kumpulan sekolah. Maaf bukan apa, tak sanggup nak baca.
Tapi mesej ni, ya Allah.
Tarikh birthday saya sebagai password PC kerja beliau.
Padahal bila saya tanya beliau,
“Bang, berapa tarikh beday sayang.”
“Beday sayang? Eh mana abang ingatttt.” ?
Rupanya dia sentiasa ingat. Ni mesej dengan kawan kerjanya, bulan Ogos 2018.
Al-Fatihah abang. Cinta hati selamanya…
Selamat berehat suamiku yang tercinta.
Nanti kita staycation dekat “sana”.
Terima kasih untuk segala jasa baik abang jaga sayang 2 tahun 5 bulan.
Abang bersemadi dengan cinta yang penuh di hati. Disayangi ramai orang.
Berehatlah dengan tenang di taman syurga.
Ikhlas dari isteri yang tak pernah berhenti mencintaimu, Asyrafiah Sabri
Isteri itu amanah Allah kepada seorang suami. Ini menunjukkan bahawa suami wajib menjaga amanah yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Si suami juga hendaklah memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya mengikut kemampuannya.
Namun apabila seorang suami culas menjalankan tanggungjawabnya kepada isterinya maka akan goyahlah sesebuah rumah tangga.
SOALAN:
Seorang wanita berkahwin dengan seorang lelaki. Kemudian rumahtangga menjadi kacau bilau sehingga si isteri yang terpaksa menjaga suami tersebut dengan menanggung nafkah keluarga. Tidak berapa lama kemudian, suami tersebut mula menjalankan perniagaan. Akhirnya dia berjaya dalam perniagaan tersebut dan menjadi kaya. Namun isteri masih tetap menanggung nafkah keluarga tanpa suami berusaha mengubah sistem tersebut.
JAWAPAN:
Jawapan
Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf. Surah al-Nisa’ (19)
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.
Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)
NAFKAH BAPA KEPADA KELUARGA
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/170-179) menyebut: Bapa dan datuk ke atas, wajib memberi nafkah anaknya, cucu dan ke bawah. Oleh itu, bapa bertanggungjawab memberi semua jenis nafkah kepada anak-anaknya sama ada lelaki atau perempuan. Jika mereka tidak mempunyai bapa, maka datuk wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut dan begitulah seterusnya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Maksudnya: …jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; Surah al-Talaq (6)
Ayat ini menjelaskan bahawa perempuan yang menyusukan anak orang lain wajib diberi upah oleh bapa kepada anak tersebut. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa.
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” Surah al-Baqarah (233)
Dalam ayat ini, menisbahkan anak kepada bapanya yang menggunakan huruf lam ikhtisas membawa makna bapa dikhususkan bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anaknya. Oleh itu, kewajipan bapa memberi nafkah kepada ibu yang menyusukan anaknya menunjukkan bahawa kewajipannya memberi nafkah kepada anak-anak adalah lebih utama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/170-179)
Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat di atas bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/479)
Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada di bawah tanggungannya itu ialah seperti:
Makanan Barang-barang dapur Pakaian Tempat tinggal Alat-alat untuk membersihkan diri Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaan isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
Imam al-Syaukani menyebut: Rasulullah SAW memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada ahli keluarganya mengikut kemampuan Baginda SAW. Rasulullah SAW menyediakan untuk isteri-isteri Baginda SAW tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan dengan mencukupi dengan tidak berlebihan. Ini bersesuaian dengan kehidupan Rasulullah SAW yang memilih zuhud dan tidak bermewah-mewah. Dalam pemberian nafkah, Rasulullah SAW memberikan 20 wasaq gandum dan 80 wasaq kurma kepada isteri-isterinya pada setiap tahun. (Lihat Nail al-Autar, 5/221)
UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
Undang-undang keluarga adalah termaktub di bawah undang-undang negeri. Jika di Wilayah Persekutuan, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada Seksyen 72 memperuntukkan:
“…adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”[1]
Begitu juga pada Seksyen 73 antara lain menyebut:
Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya—
(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;[2]
KESIMPULAN:
Sebagai kesimpulan, kami nyatakan seperti berikut:
*Menurut kitab-kitab fiqh, semua tanggungan nafkah adalah di bawah tanggungjawab suami. Walaupun berlaku keredhaan dari pihak isteri, tetapi untuk menenangkan hati, berilah ganjaran yang setimpal kepada isteri yang telah memulakan rumahtangga dengan berjaya.
*Alangkah baik sekiranya suami tersebut memberikan kredit dan penghargaan di atas pengorbanan isteri yang besar selama ini. Sifat isteri yang sentiasa membantu suami adalah sangat terpuji. Berilah hadiah kepada isteri tersebut.
*Suami janganlah mengambil kesempatan sehingga tugas hakiki beralih kepada si isteri sedangkan ia pada hakikatnya adalah berada pada tangan suami.
*Tanggungjawab yang sebenarnya tidak berpindah kepada isteri. Isteri hanya bersifat menolong dan membantu. Jika isteri tidak mahu membantu pun tidak mengapa.
*Suami wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada isteri dan inilah yang sebenarnya.
Semoga rumahtangga kita menjadi seperti apa yang disebut Baiti Jannati dan marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar kehidupan kita diberkati dan dikurniakan kebahagiaan.
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” Surah al-Furqan (74)
Benarkah wanita haram memakai seluar jeans?Jika dilihat hari ini rata-rata wanita mengenakan seluar jenis ini atas faktor keselesaan, praktikaliti dan gaya.Namun timbul persoalan, adakah...