Jodoh adalah Ketentuan Allah. “Jika mampu dipilih, tiada isteri mahukan suami berperangai buruk.’ Tentu saja wanita-wanita di luar sana memilih suami yang baik, alim dan sempurna serba serbi.
Jangan dihina wanita yang tersalah pilih suami kerana ketahuilah jika diberi pilihan, mereka juga tak mahu nasib malang menimpa mereka setelah mendirikan rumah tangga.
Ikuti kemusykilan wanita ini dan fahami jawapan yan dikon gsikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Artikel Berkaitan:
Soalan:
Assalamualaikum ustaz, benarkah wanita yang malang adalah wanita yang salah pilih suami? Sedangkan tidak ada orang yang nak suami yang berperangai buruk. Mohon pencerahan.
Jawapan:
Jodoh merupakan sebahagian ketentuan Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya. Pada masa yang sama, kita diajar supaya sentiasa berdoa dan berusaha mencari pasangan yang baik akhlaknya, bertanggungjawab dan mentaati perintah Allah.
Nabi s.a.w memberi garis panduan yang jelas dalam memilih pasangan sama ada di pihak suami mahupun isteri. Isteri yang baik untuk lelaki yang baik, manakala isteri yang tidak baik untuk lelaki yang tidak baik.
Islam melihat sifat malang itu dari sudut kebaikan di sisi Allah SWT. Secara asasnya, Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kuat bahawa segala sial, malang, mudarat dan manfaat adalah milik Allah SWT.
Namun, Islam mendidik umatnya memperbaiki diri, reda dengan ketentuan Allah. Ini kerana pada hakikatnya sama ada kesenangan dan kesusahan yang menimpa hidup kita kesemuanya adalah ujian dari Allah SWT.
Dalam konteks perkahwinan itu sendiri, Islam juga telah menyediakan solusi yang baik jika pasangan tidak mampu meneruskan kehidupan sebagai pasangan suami isteri.
Jodoh merupakan perkara yang terdapat di dalam ilmu Allah SWT, sebuah ketetapan dan ketentuan-Nya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Mas’ud R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ
Maksudnya:
“Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian berubah menjadi seketul darah dalam tempoh yang sama, kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama, kemudian diutuskan kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan ruh dan dia diperintahkan (malaikat tersebut) untuk menetapkan empat perkara.
Menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada kecelakaan atau kebahagiaan..”- Riwayat Muslim (2643)
Syarak memandang bahawa perkahwinan itu merupakan suatu ibadah yang sangat penting. Oleh hal yang demikian, syarak sangat menitikberatkan soal pemilihan pasangan yang tepat.
Meskipun manusia ada kecenderungan pada kecantikan, harta dan keturunan dalam memilih pasangan, namun pemilihan pasangan berpandukan agama dan akhlaknya yang baik lebih menjaminkan kebahagiaan hidup berumahtangga.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda:
تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
Maksudnya: “Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya (status), kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama nescaya beruntunglah kamu.”- Riwayat Al-Bukhari (5090)
Islam mengajar umatnya agar sentiasa berdoa dan berusaha mencari pasangan yang baik akhlaknya dan memiliki agama serta bertanggungjawab.
Antara nasihat Nabi SAW dalam urusan mencari jodoh sebagaimana sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis:
إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ، إِلا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ
Maksudnya :”Jika datang kepada kamu sesiapa yang kamu reda akan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak melakukannya maka ia akan menjadi fitnah di bumi dan juga akan berlaku keburukan.” – Riwayat al-Tabarani (280)
Baca Di Sini:
Ustazah Asmak Husin Buat Plan Pikat Suami. ‘Saya Yang Cari Dan Approach, Tak Tunggu Jodoh Datang.’
Doa Dipertemukan Jodoh Lelaki & Perempuan Yang Baik
Allah SWT juga ada menyatakan bahawa, wanita yang baik akan memiliki suami yang baik, wanita yang tidak baik akhlaknya akan memiliki suami yang tidak baik, namun perkara ini sama sekali tidak menafikan usaha untuk mencari pasangan yang terbaik, bukan hanya menyerah kepada takdir. Firman Allah SWT:
ٱلۡخَبِيثَٰتُ لِلۡخَبِيثِينَ وَٱلۡخَبِيثُونَ لِلۡخَبِيثَٰتِۖ وَٱلطَّيِّبَٰتُ لِلطَّيِّبِينَ وَٱلطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَٰتِۚ أُوْلَٰٓئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَۖ لَهُم مَّغۡفِرَةٞ وَرِزۡقٞ كَرِيمٞ
Maksudnya: “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”- Surah an-Nur (26).
Imam Ibnu ‘Asimin memberi penjelasan di dalam tafsirnya tentang ayat ini bahawa di antara hikmah Allah SWT adalah menjadikan setiap pasangan itu dalam keadaan yang serasi dan sesuai antara satu sama yang lain, bahkan setiap perkara tersebut diserasikan oleh Allah SWT ketika di dunia dan di akhirat.
(Rujuk: Tafsir Ibnu ‘Asimin, hlm 143)
Allah SWT menghimpunkan dalam kalangan mereka bukan hanya di dunia, bahkan juga di akhirat seperti mana firman Allah SWT:
۞ٱحۡشُرُواْ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ وَأَزۡوَٰجَهُمۡ وَمَا كَانُواْ يَعۡبُدُونَ
Maksudnya: (Allah berfirman kepada malaikat):” Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah.’-Surah al-Saffat (22)
Di samping itu, Islam melihat sifat malang itu dari sudut kebaikan di sisi Allah SWT. Secara dasarnya, Islam telah meletakkan sandaran pegangan yang kuat bahawa segala sial, malang, mudarat dan manfaat adalah dari Allah SWT.
وَإِن يَمۡسَسۡكَ ٱللَّهُ بِضُرّٖ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَۖ وَإِن يُرِدۡكَ بِخَيۡرٖ فَلَا رَآدَّ لِفَضۡلِهِۦۚ يُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنۡ عِبَادِهِۦۚ وَهُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Maksudnya: “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya.
Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”- Surah Yunus (107)
Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan ayat di atas bahawa jika seseorang itu ditimpa keadaan yang malang, sial, mudarat dan seumpamanya, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghilangkannya melainkan Allah SWT, dan jika seseorang mendapat kebaikan, manfaat, kesenangan dan seumpamanya , maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaan-Nya itu secara serta merta.
(Rujuk: Tafsir al-Razi, 17/310)
KESIMPULAN:
Islam melihat sifat malang itu dari sudut kebaikan di sisi Allah SWT. Secara asasnya, Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kukuh bahawa segala sial, malang, mudarat dan manfaat adalah dari Allah SWT.
Namun, Islam mendidik umatnya memperbaiki diri, reda dengan ketentuan Allah, sabar menghadapi cabaran kehidupan, berusaha ke arah kebaikan dan meyakini setiap aturan Allah SWT itu mempunyai ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Bahkan, dalam perkahwinan Islam menyediakan solusi yang baik jika pasangan tersebut tidak mampu meneruskan kehidupan mereka. والله أعلم
Kashoorga : Jika anda dan pasangan tidak sehaluan, carilah jalan penyelesaian agar tiada hati yang tersakiti.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.