Segala urusan rezeki, ajal maut dan jodoh itu adalah urusan Allah. Siapalah kita sebagai hamba-Nya untuk menidakkan kekuasaan Allah. Jika itu yang telah tertulis di lukh mahfuz, kita perlu reda dan menerimanya dengan reda.
Seperti juga kita selebriti Ardell Aryana yang sebelum ini dikatakan tidak sihat yang kemudiannya melakukan penghijrahan dalam hidupnya apabila selesa memilih pakaian longgar serta mengenakan hijab labuh dan sesekali berniqab dalam penampilan sehariannya.
Dia yang juga sebelum ini rapat dengan seorang selebriti lelaki, Nadzmi Adhwa Nor Adzmi hingga dianggap sebagai friendzone akhirnya memilih untuk menamatkan zaman bujangnya.
Pasangan ini sudah saling mengenali sejak 8 tahun lalu dan hubungan mereka sebelum ini atas kapasiti kawan baik sahaja.
Walaupun Nadzmi dilihat sering berada di samping Ardell untuk menjaga sahabatnya yang dikatakan tidak sihat, namun pelakon kecil molek ini lebih selesa berkawan saja.
Namun akhirnya kedua akur dengan jodoh yang telah diatur oleh Allah. Pada 1 September lalu menyaksikan keduanya disatukan dalam satu majlis pernikahan cukup ringkas.
Hanya sekali lafaz Ardell atau nama penuhnya Nurul Hidayah Mohd Amin sah menjadi isteri dengan pemberian wang mas kahwin RM300 serta senaskhah al-Quran daripada suami tercinta.
Majlis dilakukan di rumah pengantin perempuan di Seri Kembangan dengan dihadiri sanak saudara serta sahabat terdekat pasangan ini.
Ardell dan Nadzmi yang bersahabat baik ini turut menyifatkan penyatuan mereka adalah atas doa orang ramai.
Mengenai Ardell, Nadzmi memberitahu isterinya itu sebagai insan yang sangat istimewa.
“Pada saya, dia insan terbaik pernah hadir dalam hidup. Dia sangat luar biasa. Saya belajar banyak benda dengannya.
“Daripada dia tak bertudung, hinggalah sekarang kami kongsi banyak benda dan masalah. Kami juga berkongsi minat sama bermain bola sepak dan futsal.
“Cara dia menunaikan tanggungjawab dengan menyara keluarga juga membuatkan saya kagum. Ardell kerja kuat untuk memberi kesenangan kepada keluarga.
“Malah, keserasian kami mencetus idea untuk menjalankan perniagaan tudung Alwadellhijab,” katanya yang pernah muncul dengan single Wanitaku berkisar perhubungan mereka kepada Berita Harian Online.
Walaupun tiada majlis pertunangan, tetapi keluarga Nadzmi ada mengadakan majlis khatam Quran pada Jumaat lepas.
Dalam satu foto dimuat naik juga menyaksikan Ardell begitu manis duduk di pelamin ditemani ibunya yang juga merupakan seorang Cina mualaf memeluk Islam.
Semoga perkahwinan dibina ini berkekalan hingga ke jannah. Akan terasa lebih manisnya pasangan berada di sisi tidak kira dalam situasi apa sekalipun.
Mungkin baik Ardell atau Nadzmi akan lebih bercinta selepas nikah kerana ia lebih indah dan HALAL.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM NADZMI ADHWA, AMIR NAUFAL PHOTOGRAPHY & JAYDEESM