Ramai yang berkata bahawa jodoh itu mesti dicari. Usah berdiam diri tanpa usaha, jika tidak, bagaimana jodoh datang mendekati. Sebenarnya jodoh itu bukan dicari sebaliknya dicipta. Mengapa demikian? Alasannya kerana ramai orang sering membuat kesalahan ketika mencari jodoh sehingga tidak bertemu dengan orang yang menjadi impiannya.
Rumah tangga yang bahagia hingga suami isteri meninggal dunia, barulah dinamakan jodoh. Sebuah rumah tangga yang harmoni diketuai oleh suami yang memainkan peranan sebagai ketua rumah tangga, isteri sebagai pembantu dan pengelola rumah tangga, dan anak sebagai anggota keluarga. Maka barulah lengkap perjalanan sebuah rumah tangga.
TIADA MANUSIA YANG SEMPURNA
Kita tidak akan pernah menemukan jodoh dengan 1001 syarat dan kriteria. Tidak akan pernah ada orang yang memenuhi kriteria jodoh ideal, kerana tidak ada manusia yang sempurna. Maka sebab itulah jodoh perlu ‘dicipta.’ Jika kita meletakkan 10 kriteria yang ada dalam diri seseorang, kita harus menerima kenyataan bahawa tidak semua kriteria tersebut ada pada jodoh yang kita pilih. Oleh itu kita harus bersama-sama mencipta kesempurnaan itu bersama insan yang menjadi pilihan.
Mungkin kita hanya menemukan dua kriteria yang ada dalam diri pasangan. Namun oleh kerana merasakan dialah jodoh maka kita menerimanya sebagai pasangan hidup. Semestinya kita memerlukan proses yang panjang untuk mendapatkan keluarga yang ideal dan harmoni. Suami isteri saling melengkapi kekurangan pasangannya dan tidak mencela kekurangan pasangan. Terus belajar bersama pasangan agar jodoh tidak berakhir dengan cara yang menyakitkan.
Buatlah kriteria calon pasangan yang realistik bukan kriteria yang tidak mampu dicapai dek akal. Bila bertemu dengan seseorang yang hanya memenuhi sedikit kriteria yang kita mahukan, jangan ke tepikan si dia. Jadikanlah dia pasanganmu, dan berusahalah bersama menuju keluarga harmoni kerana jodoh itu ‘dicipta’ bukan dicari.