Kita perlu menitikberatkan beberapa kriteria apabila memilih jodoh. Antara ciri paling utama ialah tahap agama dan tanggungjawabnya. Ini kerana dengan adanya iman di dada dan tanggungjawab yang bagus, maka dia akan jadi pasangan terbaik buat anda.
Dalam memilih jodoh, ada kala kita disulitkan apabila mempunyai lebih daripada satu pilihan. Justeru bagaimanakah cara untuk kita memilih calon jodoh yang sesuai dengan diri kita?
TELITI KEBAIKAN IKUT KRITERIA YANG ANDA MAHU
Buka hati anda untuk melihat kebaikan antara calon. Lain orang pasti lain sikap dan perangainya. Pasti ada kebaikan antara mereka yang mencuri hati anda. Namun hati-hati. Jangan tertipu dengan kebaikan yang palsu. Selidiki tahap agamanya, solatnya, puasanya dan amal jariahnya. Bukanlah bermaksud perlu mencari ustaz atau ustazah. Namun carilah pasangan yang ada pegangan agama yang kukuh demi masa depan yang lebih baik.
Dapatkan nasihat daripada individu lebih berpengalaman. Paling dekat ialah daripada ibu bapa. Tiada salahnya jika anda mahu mendapatkan pandangan daripada sahabat baik. Rangkumkan semua pendapat dan buatlah pilihan yang dekat dengan hati anda. Hal ini supaya anda lebih jelas dan boleh membuat pilihan yang lebih tepat.
SOLAT HAJAT DAN ISTIKHARAH
Jangan lupa dirikan solat istikharah supaya ALLAH membantu anda dalam proses membuat pilihan. Petunjuk daripada-Nya pasti membantu anda membuat pilihan yang betul. Petunjuk selalunya diberikan melalui mimpi dan gerak hati. Mudah-mudahan anda dapat petunjuk yang mudah dikenal pasti.
Dalam soal memilih jodoh, usah terburu-buru. Jangan terdesak untuk berkahwin semata-mata bila melihat rakan-rakan lain berumah tangga. Berdoalah kepada Allah moga-moga diberikan jodoh yang baik.