
Isi Kandungan
Toggle‘Jodoh selang 35 minit.’ Uniknya pasangan ini berkongsi hari dan tempat lahir yang sama. Siapa sangka selepas 24 tahun berlalu, mereka kini disatukan.
Kalau sudah tak ke mana, begitulah apa yang terjadi buat pasangan merpati dua sejoli ini. Mereka bukan hanya serasi bersama malah pasangan suami isteri, Norasmimi Zainudin dan Muhammat Zaidi Saiful Afwandi juga berkongsi tarikh lahir sama.
Jodoh Selang 35 Minit
Ditakdirkan, pasangan itu dilahirkan di tempat sama iaitu Hospital Bersalin Kuala Lumpur dengan selang masa 35 minit saja.
Tanggal 25 Mei lalu, Norasmimi dan Muhammat Zaidi yang kedua-duanya berusia 24 tahun selamat diijabkabulkan dan memilih tarikh itu sempena ulang tahun kelahiran mereka.
Bercerita lanjut, Norasmimi dari Damansara Damai, di sini tidak menyangka dikurniakan pasangan yang mempunyai tarikh lahir sama dengannya.

Uniknya Pasangan Ini
Mengimbas detik awal perkenalan dengan suaminya, Norasmimi berkata, hubungan mereka pada awalnya sekadar rakan di laman sosial.
“Kami bukan rakan sekolah tetapi berkenalan di Facebook (Fb) dan tak fikir pun dia jodoh saya pada awalnya walaupun berkongsi tarikh lahir yang sama.
“Pada awalnya suami sukakan saya dan saya pula sebaliknya. Ketika di tingkatan tiga, hubungan kami mula serius dan terus berkawan hingga timbul perasaan sayang.
“Disebabkan sudah berkawan lama, kami sepakat menghalalkan hubungan dengan berkahwin dan syukur kerana ia dapat restu daripada keluarga kedua belah pihak,” katanya.
Artikel Berkaitan:
Ustazah Asmak Husin Buat Plan Pikat Suami. ‘Saya Yang Cari Dan Approach, Tak Tunggu Jodoh Datang.’
Berkongsi Hari
Selain berkongsi tarikh lahir yang sama, Norasmimi berkata, dia dan suaminya jadi serasi kerana mempunyai beberapa persamaan yang lain.
“Antara persamaan kami adalah kedua-duanya pemalu, tak makan petai dan kuning telur.
“Bagaimanapun, ada juga perbezaan iaitu saya lembut orangnya dan suami pula tegas namun layanannya yang membuatkan saya terpikat dengannya.
“Memang tak sangka dari kawan kami akan jadi suami isteri namun saya anggap ia sebagai rezeki,” katanya.
Tempat Lahir Yang Sama
Berhubung perkongsian di TikTok, Norasmimi berkata, dia memuat naik video di platform berkenaan mereka sekadar untuk mengabadikan kenangan perkahwinan mereka.
“Saya baru saja muat naik video itu beberapa hari lalu dan tak sangka akan dapat perhatian tetapi sebelum ini pun ada tular ketika kami bertunang.
“Terima kasih kepada yang mendoakan dan harap doa yang baik itu berbalik kepada mereka juga,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Muhammat Zaidi berkata, dia tahu mengenai persamaan tarikh lahir sejak awal perkenalan dengan Norasmimi lagi.
“Cuma, saya baru tahu kami lahir di tempat yang sama ketika bertunang, itu pun selepas ibu saudara minta saya lihat sijil kelahiran isteri.
“Kebetulan dan ditakdirkan kami berjodoh. Saya syukur dikurniakan isteri sepertinya kerana dia sangat menyenangkan.
“Mudah-mudahan hubungan kami berkekalan hingga ke jannah,” katanya.
Kashoorga: Pasti pasangan ini saling memahami kerana berkongsi tarikh lahir yang sama.
Sumber: myMetro
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
“Andai Ini Ramadhan Terakhir”! Jue Aziz Kongsi Kisah Berjaya Khatam Al-Quran Pada Hari Ke-8

Tiada apa lebih membahagiakan jika mampu khatam Al-Quran sepanjang bulan Ramadhan. Bagi yang mengerti akan pengertian Ramadhan itu sendiri iaitu bulan penuh rahmat serta bulan penuh keampunan, kita pasti akan mengejar sesuatu yang lebih baik kerana tidak pasti adakah kita akan mampu mendapat Ramadhan lagi pada tahun hadapan atau kita berjaya menyelesaikan puasa berbaki lebih kurang 15 hari lagi.
Paling utama, kita kena tahu apa yang kita cari di dunia sementara ini agar dapat menjadi bekalan di akhirat nanti. Jangan datang dalam keadaan kosong (bertelanjang ketika dilahirkan dan kemudian pulang dalam keadaan kosong kerana tidak merebut berbuat kebaikan di dunia) sementara masih hidup.
Membuat pilihan baik dalam kehidupannya, pelakon Jue Aziz menzahirkan rasa syukurnya kerana berjaya khatam Al-Quran pada hari ke lapan umat Islam berpuasa. Jue berkata, dia menghabiskan semua juzuk dalam masa singkat sempena ulang tahun kelahiran ibunya yang ke-69 yang jatuh pada 23 April lalu.
Meskipun gembira dapat khatam di hari lahir ibunya, Nor Azmah Mohd Nor, Jue Aziz berkongsi momen yang agak syahdu di instagramnya.
“Kejutan ulang tahun kelahiran ibu. Alhamdulillah akhirnya khatam Al-Quran, syukur! Dari hari pertama Ramadan sampailah Selasa.
“Satu je lagi permintaan mak orang tak dapat tunaikan, jodoh. Tahu mak risau, tapi susah, sakit semua orang seorang pun tak apa asalkan ada mak.
“Kita bercinta berdua jelah mak. Mana tahu esok lusa jodoh orang dijemput Ilahi sempatlah orang bermanja selagi mak ada.
Andai ini Ramadan terakhir,” katanya.
Malah dirinya turut meminta pengikutnya untuk mendoakan kesihatan ibunya dan dikuatkan semangatnya di masa akan datang.
Ternyata, tidak berjaya soal jodoh tetapi Allah memberinya sesuatu yang lebih baik iaitu ibu yang menjadi pendorongnya di saat keseorangan selepas bercerai dengan pemuzik Indonesia, Bayu Daniel. Moga selepas ini ada sinar bahagia buatnya. Aamiin.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Siapa Perlu Jaga Adik Perempuan OKU Selepas Ibu Bapa Tiada, Adik Beradik Lelaki Atau Perempuan?

Isi Kandungan
ToggleSoalan
Saya ada persoalan dan kemusykilan berkenaan tanggungjawab menjaga adik perempuan yang OKU dari sudut hukum. Saya mempunyai adik perempuan OKU (cacat mental sejak lahir) yang dijaga abang kedua sejak kematian ibu.
Abang sulung tinggal jauh namun mengeluarkan belanja setiap bulan untuk abang kedua menampung kehidupan memandangkan dia bekerja secara freelance. Saya satu-satunya kakak yang ada, sudah berkahwin dan tinggal jauh. Saya hanya boleh balik ke kampung ketika cuti sekolah untuk bergilir menjaga adik yang OKU.
Masalah timbul apabila isteri abang kedua persoalkan tanggungjawab itu sepatutnya jatuh kepada saya kerana saya anak perempuan dan adik OKU saya itu juga perempuan. Hal ini menyebabkan rasa tidak puas hati dalam diri isteri abang kedua dan boleh menyebabkan pergaduhan dalam keluarga sekiranya tidak diselesaikan dengan baik.
Persoalan saya, dari sudut hukum siapa sebenarnya perlu memikul tanggungjawab tersebut, Adakah anak perempuan atau lelaki?
Apa nasihat yang terbaik untuk isteri abang sekiranya abang sanggup ambil alih tanggungjawab tersebut? Mohon pencerahan.
Jawapan
Wa’alaikumussalam.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Golongan OKU yang cacat mental sejak lahir dikategorikan sebagai al-mahjur ‘alaih telah ditetapkan syarak bahawa terdapat wali yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan urusan berkaitan diri dan harta mereka.
Tertib susunan golongan wali yang ditetapkan untuk menguruskan harta golongan al-mahjur ‘alaih di dalam wilayahnya menurut mazhab Syafie ialah bapa, kemudian datuk, kemudian sesiapa yang dilantik sebagai pemegang amanah bagi kedua-duanya, kemudian qadi atau sesiapa yang dilantik oleh hakim.
Tertib susunan pengurusan golongan al-mahjur ‘alaih
Manakala, bagi tertib susunan wali bagi pengurusan diri golongan al-mahjur ‘alaih pula ialah bapa, kemudian datuk dan bapa kepada datuk, kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lain mengikut turutan pewarisan.
Wali yang bertanggungjawab wajib untuk menjaga diri atau harta orang yang di dalam wilayahnya sama ada daripada segi pendidikan, kebajikan, nafkah, kesihatan, pengurusan harta dan lain-lain dengan sebaiknya seperti yang telah digariskan syarak, sehinggalah tergugurnya sifat-sifat al-mahjur ‘alaih yang secara tidak langsung menggugurkan hak wilayah wali tersebut.
Berbalik kepada isu persoalan yang telah diajukan, berdasarkan dalil dan perbahasan ulama difahami dengan jelas bahawa tanggungjawab menjaga pengurusan diri adik OKU perempuan itu merupakan tanggungjawab wali iaitu saudara kandung lelaki.
Saudara kandung lelaki perlu menjaga keperluan adik perempuan
Justeru, saudara kandung lelaki perlu memastikan keperluan adik perempuan tersebut terjaga sama ada daripada segi keperluan makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan dan lain-lain yang berkaitan dengan pengurusan dirinya serta menjaga dan mengawasi keselamatan adik perempuan itu agar jauh daripada sebarang keburukan atau kecelakaan.
Namun begitu, suka kami menasihatkan agar ahli keluarga lain juga turut membantu dalam hal ehwal penjagaan adik perempuan tersebut. Ini sepertimana yang dianjurkan dalam Islam iaitu untuk membantu dalam melakukan kebaikan dan membantu menyantuni golongan OKU ini termasuk dalam kebaikan yang digalakkan. Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
[Surah al-Maidah: 2]
Anggap peluang menuai pahala
Tambahan, sebagai seorang Muslim yang beriman kita seharusnya menganggap bahawa menjaga orang yang kurang berkemampuan ini bukanlah merupakan suatu beban, bahkan ia merupakan satu jalan dan peluang yang Allah SWT berikan kepada kita dalam menuai pahala dan dijadikan saham kita di akhirat kelak. Menjaga silaturrahim dan kebajikan ahli keluarga juga telah dijanjikan Allah SWT ganjaran yang baik, antaranya seperti yang telah disabdakan Rasulullah SAW:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.”
[Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)]
Penerangan dan hujah jawapan
Penerangan dan hujah di atas berdasarkan huraian di bawah yang menyimpulkan beberapa perkara, iaitu:
Wilayah dalam Islam
Wilayah daripada segi bahasa bermaksud kasih sayang dan pertolongan. Allah SWT berfirman:
وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ
Maksudnya: Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.
[Surah al-Maidah: 56]
Manakala daripada segi istilah, wilayah bermaksud melaksanakan kekuasaan atas orang lain serta mengawasinya. Sebahagian para ulama juga telah mendefinisikan wilayah kepada pelaksanaan kuasanya atau pengawasan ke atas orang lain sama ada orang itu suka atau tidak. Orang yang diberi hak wilayah oleh syarak ini dinamakan wali.
Hikmah daripada pensyariatan wali ke atas kanak-kanak dan orang yang tidak mampu mengurus diri sendiri adalah untuk menjaga hak mengatur urusan dan menjaga kemaslahatan mereka agar tidak terbiar. [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jld. 4, hlm. 60-61]
Golongan yang Disabitkan ke Atasnya Wilayah (Perwalian)
Disabitkan wilayah -bukan wakalah – menurut syarak ke atas golongan al-mahjur ‘alaih, iaitu:
-Kanak-kanak (al-saghir)
-Orang gila (al-majnun)
-Orang kurang akal (al-ma’tuh)
-Orang yang bodoh (al-safih)
-Orang yang melampau (zu al-ghaflah)
Sabitan wilayah ke atas golongan-golongan ini akan berterusan selagi mana golongan-golongan ini mempunyai sifat-sifat al-mahjur ‘alaih. Namun, sekiranya tiada lagi sifat-sifat yang mensabitkan mereka sebagai al-mahjur ‘alaih, maka pensabitan wilayah akan terputus. [Lihat al-Mausu’ah al- Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 45, hlm. 160]
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya mengenai al-ma’tuh;
“al-Ma’tuh ialah seseorang yang kurang kefahamannya, kurang jelas pertuturannya, dan lemah pentadbirannya disebabkan gangguan akalnya sama ada sejak lahir atau disebabkan penyakit secara tiba-tiba.
Sekiranya kelemahan akalnya itu teruk, dan dia tidak mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti orang gila dan kanak-kanak yang tidak mumayyiz; iaitu setiap tasarruf hartanya dianggap terbatal. Manakala, sekiranya kelemahan akalnya itu ringan, dan dia merupakan seorang yang mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti kanak-kanak mumayyiz; setiap perkara yang memanfaatkan dan memudaratkan tertakluk kepada keizinan walinya”. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 5, hlm. 438]
Golongan yang Mempunyai Hak Kekuasaan Sebagai Wali
Bagi golongan al-mahjur ‘alaih, pengurusan mereka ini diletakkan di bawah wilayah seorang wali. Para ulama mempunyai beberapa pendapat dalam penetapan wali dan tertib susunannya yang mempunyai hak wilayah ke atas golongan-golongan tersebut berdasarkan pembahagian wilayah.
Wilayah terbahagi kepada dua iaitu wilayah ke atas diri dan wilayah ke atas harta.
Wilayah ke atas harta
Wilayah ke atas harta ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan orang yang tidak mempunyai kelayakan mentadbir dalam urusan hartanya seperti menjaga harta, menanam modal, mengadakan kontrak dan mengambil tindakan yang berkaitan dengan harta. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa:
“Siapakah yang akan menjadi wali kepada kanak-kanak dan orang gila? Maka yang menjadi wali ialah ayah, kemudian datuk, kemudian orang yang dilantik menjadi pemegang amanah kedua-duanya (diwasiatkan), kemudian hakim atau sesiapa sahaja yang dilantik oleh hakim.
Ayah mempunyai hak wali ini menurut pendapat ijmak sepertimana yang dinukilkan oleh al-Mutawalli dan lain-lain, manakala datuk dan ke atas terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama; mazhab Syafie mengatakan bahawa datuk mempunyai hak wali berdasarkan dalil bahawa dia sepertimana seorang ayah dalam urusan perkahwinan.” [Lihat Raudhah al-Thalibin, jld. 3, hlm. 421]
Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan mengenai hak wilayah ke atas harta:
“Tiada hak wilayah ke atas seorang ibu menurut pendapat yang asah. Ini adalah seperti tiadanya hak ibu sebagai wali dalam pernikahan. Dan diutamakan datuk sebelum pemegang amanah keduanya (ayah dan datuk) disebabkan datuk ini seperti seorang ayah dari sudut kasih sayangnya terhadap anak tersebut. Begitu juga bahawa tiada hak wilayah yang diberikan kepada abang kandung dan bapa saudara” [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 2, hlm. 174]
Wilayah ke atas diri
Wilayah ke atas diri individu ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan peribadi yang tidak sempurna kelayakannya untuk menjalankan tugas. Contohnya, urusan perkahwinannya, pelajaran, disiplin, perubatan, pekerjaan dan sebagainya. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Para fuqaha telah menetapkan bahawa terdapat tiga perkara yang menyebabkan hak wilayah ke atas diri seseorang iaitu: kanak-kanak, orang gila – terkait juga dengannya orang yang kurang akal – orang perempuan. [Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, jld.45, hlm. 168]
Menurut ulama mazhab Syafie, tertib wali ke atas diri individu bermula dengan ayah, kemudian datuk dan ayah kepada datuk (moyang), kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik daripada sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lainnya menurut turutan perwarisan. [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 4, hlm. 249]
Justeru, sekiranya seorang wanita itu tidak mempunyai ayah atau datuk, hak wali dipegang oleh saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa sama ada abang atau adik.
Menjaga Hubungan Silaturahim Sesama Keluarga
Islam mensyariatkan ke atas umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia, khususnya dengan kaum kerabat. Firman Allah SWT:
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا
Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
[Surah al-Nisa’: 1]
Abu Ayyub al-Ansari r.a telah meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai amalan yang membolehkan seseorang masuk ke syurga, maka Baginda SAW bersabda:
تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ
Maksudnya: Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik kepada-Nya dengan sesuatu pun, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan hubungkanlah silaturahim.
[Sahih al-Bukhari (5983)]
Bahkan terdapat kecaman daripada Allah SWT bagi orang-orang yang memutuskan silaturrahim, sepertimana yang telah disebutkan melalui firmanNya:
فَهَلۡ عَسَيۡتُمۡ إِن تَوَلَّيۡتُمۡ أَن تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَتُقَطِّعُوٓاْ أَرۡحَامَكُمۡ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فَأَصَمَّهُمۡ وَأَعۡمَىٰٓ أَبۡصَٰرَهُمۡ
Maksudnya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa- kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya”
[Surah Muhammad: 22-23]
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahu’aklam.
Sumber: Mufti Penang
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Orang Islam Haram Makan Ulat Sagu, Ini Penjelasan Dr Zulkifli Al-Bakri

Isi Kandungan
ToggleOrang Islam haram makan ulat sagu, ini penjelasan Dr Zulkifli Al-Bakri mengapa umat Islam dilarang memakan ulat sagu atau dikenali juga dengan nama ulat mulong.
Butod merupakan sejenis ulat yang boleh didapati di dalam batang pokok Rumbia yang sedang reput. Ianya juga dikenali sebagai ulat Sagu (Bahasa Melayu) dan ulat Mulung (di Sarawak).
Ulat ini menjadi makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah dan sering dihidangkan semasa hari-hari istimewa seperti Pesta Menuai atau Pesta Makanan. Butod boleh dimakan begitu sahaja atau digoreng terlebih dahulu supaya ranggup dimakan.
Ulat ini dikatakan mempunyai kandungan protein yang tinggi dan baik untuk kesihatan. Bagi yang beragama Islam, ianya haram dimakan kerana Butod merupakan salah satu spesis ulat.
Artikel Berkaitan:
Orang Islam Haram
Soalan:
Apakah hukum makan ulat sagu, yang dikenali juga sebagai ulat mulong?
Jawapan:
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’”
Begitu juga firman Allah SWT:
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ
Maksudnya:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’”
Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya.
Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.
Hukum makan ulat sagu
Ulat sagu tergolong dalam jenis ulat. Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kami datangkan pendapat para ulama berkenaan hukum memakan ulat.
Pada asasnya, dalam mazhab Syafi‘i, hukum memakan ulat adalah diharamkan melainkan ulat yang berada dalam keju, cuka, kacang hijau, buah-buahan dan seumpamanya yang terdiri daripada makanan, yang mana ulat-ulat berkenaan lahir daripada bahan-bahan suci tersebut.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa terdapat tiga pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berkenaan kehalalan ulat ini iaitu pendapat pertama, ia adalah halal untuk dimakan. Pendapat kedua pula, ia adalah haram untuk dimakan.
Manakala pendapat ketiga, ia halal dimakan bersama makanan yang ia lahir daripadanya, bukan secara terasing kerana haram memakannya secara terasing.
Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyebutkan bahawa mengikut pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i, dihalalkan untuk memakan ulat yang dilahirkan daripada makanan seperti cuka, keju dan buah-buahan, hanya jika ia dimakan secara bersama.
Begitu juga hukumnya apabila ia mati — dalam makanan itu — yakni halal untuk dimakan mengikut pendapat yang kuat. Hal ini kerana kesukaran untuk mengasingkannya.
Makan Ulat Sagu
Sebahagian ulama terkemudian menyandarkan hukum daging yang berulat dengan hukum buah-buahan — yang mengandungi ulat. Berdasarkan kepada ‘illah ini, maka jika ia mampu atau mudah untuk diasingkan seperti ulat yang berada dalam epal, maka haram untuk memakannya secara bersama.
Ibn Syahbah berkata bahawa itulah pendapat yang zahir, yakni apabila tidak kesukaran untuk membezakannya.
Di samping itu, terkeluar daripada lafaz “مَعَهُ” (yakni memakan ulat secara bersama dengan makanan itu), bagi kes memakan ulat secara berasingan. Hal ini kerana hukumnya adalah haram disebabkan oleh kenajisan bangkainya dan juga kejijikannya.
Begitulah juga — yakni haram hukumnya — jika ulat itu diangkat ke tempat yang lain sebagaimana disebutkan oleh al-Bulqini, atau ulat itu pergi dengan sendiri ke tempat lain, kemudian ia kembali semula ke sarangnya (dalam buah itu) selepas ia dapat dipelihara daripadanya seperti mana yang dibahaskan oleh sebahagian ulama terkemudian.
Pendapat kedua pula mengatakan halal secara mutlak, kerana ulat itu dianggap sebahagian daripada buah. Manakala pendapat ketiga mengatakan haram secara mutlak kerana ulat itu dikira sebagai bangkai.
Di samping itu, Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) juga ada menyatakan bahawa memakan ulat sagu (mulong) adalah haram dan dilarang dalam Islam kerana ia dianggap jijik.
Dalam mengkategorikan sesuatu itu jijik fuqaha menentukannya berdasarkan uruf masyarakat setempat. Oleh kerana masyarakat Islam Malaysia mengkategorikan bahawa ulat adalah daripada haiwan yang menjijikkan (khabis) dan kotor termasuklah juga Ulat Mulong.
Ini Penjelasan Dr Zulkifli Al-Bakri
Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa ulat sagu (mulong) haram dimakan kerana ia dianggap jijik sebagaimana pendapat ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak, bertarikh: 20 November 2014.
Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya:
“Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
Baca Di Sini:
Boleh Ke Makan Makanan Dimasak Oleh Bukan Islam & Tempat Itu Ada Jual Arak?
Kashoorga: Pegang atau sentuh tak apa, jangan sesekali makan ya!
Sumber: Dr Zulkifli Al-Bakri
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI