Hubungan

‘Jodoh Selang 35 Minit.’ Uniknya Pasangan Ini Berkongsi Hari & Tempat Lahir Yang Sama

Share

‘Jodoh selang 35 minit.’ Uniknya pasangan ini berkongsi hari dan tempat lahir yang sama. Siapa sangka selepas 24 tahun berlalu, mereka kini disatukan.

Kalau sudah tak ke mana, begitulah apa yang terjadi buat pasangan merpati dua sejoli ini. Mereka bukan hanya serasi bersama malah pasangan suami isteri, Norasmimi Zainudin dan Muhammat Zaidi Saiful Afwandi juga berkongsi tarikh lahir sama.

Jodoh Selang 35 Minit

Ditakdirkan, pasangan itu dilahirkan di tempat sama iaitu Hospital Bersalin Kuala Lumpur dengan selang masa 35 minit saja.

Tanggal 25 Mei lalu, Norasmimi dan Muhammat Zaidi yang kedua-duanya berusia 24 tahun selamat diijabkabulkan dan memilih tarikh itu sempena ulang tahun kelahiran mereka.

Bercerita lanjut, Norasmimi dari Damansara Damai, di sini tidak menyangka dikurniakan pasangan yang mempunyai tarikh lahir sama dengannya.


Uniknya Pasangan Ini

Mengimbas detik awal perkenalan dengan suaminya, Norasmimi berkata, hubungan mereka pada awalnya sekadar rakan di laman sosial.

“Kami bukan rakan sekolah tetapi berkenalan di Facebook (Fb) dan tak fikir pun dia jodoh saya pada awalnya walaupun berkongsi tarikh lahir yang sama.

“Pada awalnya suami sukakan saya dan saya pula sebaliknya. Ketika di tingkatan tiga, hubungan kami mula serius dan terus berkawan hingga timbul perasaan sayang.

“Disebabkan sudah berkawan lama, kami sepakat menghalalkan hubungan dengan berkahwin dan syukur kerana ia dapat restu daripada keluarga kedua belah pihak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ustazah Asmak Husin Buat Plan Pikat Suami. ‘Saya Yang Cari Dan Approach, Tak Tunggu Jodoh Datang.’

Berkongsi Hari

Selain berkongsi tarikh lahir yang sama, Norasmimi berkata, dia dan suaminya jadi serasi kerana mempunyai beberapa persamaan yang lain.

“Antara persamaan kami adalah kedua-duanya pemalu, tak makan petai dan kuning telur.

“Bagaimanapun, ada juga perbezaan iaitu saya lembut orangnya dan suami pula tegas namun layanannya yang membuatkan saya terpikat dengannya.

“Memang tak sangka dari kawan kami akan jadi suami isteri namun saya anggap ia sebagai rezeki,” katanya.

Tempat Lahir Yang Sama

Berhubung perkongsian di TikTok, Norasmimi berkata, dia memuat naik video di platform berkenaan mereka sekadar untuk mengabadikan kenangan perkahwinan mereka.

“Saya baru saja muat naik video itu beberapa hari lalu dan tak sangka akan dapat perhatian tetapi sebelum ini pun ada tular ketika kami bertunang.

“Terima kasih kepada yang mendoakan dan harap doa yang baik itu berbalik kepada mereka juga,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Muhammat Zaidi berkata, dia tahu mengenai persamaan tarikh lahir sejak awal perkenalan dengan Norasmimi lagi.

“Cuma, saya baru tahu kami lahir di tempat yang sama ketika bertunang, itu pun selepas ibu saudara minta saya lihat sijil kelahiran isteri.

“Kebetulan dan ditakdirkan kami berjodoh. Saya syukur dikurniakan isteri sepertinya kerana dia sangat menyenangkan.

“Mudah-mudahan hubungan kami berkekalan hingga ke jannah,” katanya.

Kashoorga: Pasti pasangan ini saling memahami kerana berkongsi tarikh lahir yang sama.

Sumber: myMetro

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat