Setiap kali 17 Ramadan umat Islam di seluruh dunia pasti akan mengenangkan satu peristiwa yang amat penting dalam sirah Islam iaitu bermulanya penurunan al-Quran ke atas Rasulullah melalui perantaraan malaikat Jibril.
Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. Ketika itu Rasulullah berada di Gua Hira’. Sejak daripada peristiwa itu al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah sebelum lengkap sepenuhnya pada 10 Hijrah.
Secara umumnya al-Quran mempunyai 114 surah dan 6,666 ayat. Namun begitu pendapat yang paling masyhur tentang jumlah ayat al-Quran adalah lebih daripada 6,200 ayat cuma bilangannya secara tepat berbeza antara satu ulama dengan ulama yang lain.
Dari segi susunan pula al-Quran dimulai dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas. Surah yang terpanjang pula adalah surah al-Baqarah (287 ayat) dan terpendek surah al-Kauthar (tiga ayat).
PETUNJUK BUAT UMAT MANUSIA
Penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekali gus dan beransur-ansur. Bagaimanapun terdapat perselisihan pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekali gus. Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan fi Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn Abbas, Hakim dan al-Nasaie hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja.
Pertama, al-Quran diturunkan sekali gus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah. Dari Baitul Izzah, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril selama 23 tahun dan kemudian disampaikan kepada semua sahabat dan umat baginda.
Sesungguhnya terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan yang terdapat dalam al-Quran. Kitab suci itu adalah petunjuk bagi semua umat manusia daripada segala kesesatan. Al-Quran juga menjadi penyuluh daripada sebarang kegelapan.
Malah kitab suci itu juga adalah pelengkap kepada kitab-kitab terdahulu yang pernah diturunkan kepada para nabi dan rasul sebelum Rasulullah seperti Zabur, Taurat serta Injil.
Bagaimanapun agak malang apabila keaslian kitab-kitab tersebut seperti Injil dirosakkan serta dicemar oleh pindaan yang dilakukan oleh manusia berkepentingan hingga wujud beberapa versi.
Berbanding al-Quran, kitab suci itu tidak pernah diubah walaupun satu titik huruf kerana Allah telah memberi jaminan untuk memeliharanya. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Al-Hijr: 9)
HEBATNYA AL-QURAN
Keaslian al-Quran tetap terpelihara dan kekal sehingga akhirat meskipun penurunannya telah berlaku sejak lebih 1,400 tahun yang lalu. Inilah hebatnya al-Quran. Al-Quran adalah kalam Allah yang tiada tandingannya.
Dalam membicarakan tentang al-Quran kurang lengkap jika kitab suci itu tidak dikaitkan dengan kedatangan Ramadan. Selain berpuasa, umat Islam juga dituntut untuk memperbanyakkan membaca al-Quran. Bahkan ada di antara kita yang berusaha khatam 30 juz al-Quran dan itulah yang menjadi kebiasaan setiap kali kedatangan Ramadan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan.
Tidak kurang juga masjid atau surau yang melantik imam-imam hafiz jemputan untuk memimpin solat tarawih sepanjang bulan ini. Tujuannya adalah agar mereka mengalunkan bacaan al-Quran lengkap 30 juzuk dalam solat tersebut.
Semuanya ini bertujuan membudayakan al-Quran pada sepanjang bulan Ramadan. Sejajar dengan firman Allah yang bermaksud; “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)
Hakikatnya, inilah suasana yang berlaku sepanjang bulan Ramadan. Bagaimanapun keadaan yang serupa tidak berlaku sebaik sahaja Ramadan pergi meninggalkan kita. Sepatutnya dalam bulan-bulan yang lain juga al-Quran perlu sentiasa dibaca dan tidak boleh ditinggalkan.
Malangnya budaya itu tidak berterusan selepas Ramadan melabuhkan tirainya. Al-Quran hanya dibuka setahun sekali iaitu apabila tibanya Ramadan manakala dalam 11 bulan yang lain, kitab suci itu hanya disimpan rapi dalam almari. Justeru, marilah budaya ini diubah dengan menjadikan al-Quran sebagai teman paling rapat. Perubahan itu boleh dilakukan bermula Ramadan ini.
AL-QURAN AKAN TOLONG KITA
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa al-Quran mampu menolong kita sebaik sahaja meninggalkan alam yang fana ini. Pada masa itu tiada apa yang dapat membantu kita kecuali amal ibadat yang dilakukan sepanjang hidup kita di dunia ini termasuk membaca al-Quran.
Cuba kita lihat corak kehidupan Rasulullah dan para sahabat. Asas kehidupan baginda dan para sahabat adalah al-Quran. Kitab suci itu bukan setakat dibaca malah segala pengajaran dan perintah yang terdapat di dalamnya dilaksanakan dengan penuh taat.
Dalam khutbah terakhir Rasulullah dalam haji wida, baginda ada berpesan:
“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.”
Semoga kita sama-sama dapat menghayati dan mengambil iktibar dari peristiwa Nuzul Quran ini dan memperoleh keberkatan dariNya.
VIDEO KASHOORGA: