Kerohanian

Jumpa Bomoh Untuk Mudah Dapat Jodoh, Usaha Tapi Tak Ikut Syariat

Share

Jumpa bomoh untuk mudahkan dapat jodoh, memanglah satu usaha namun ia bukanlah usaha yang mengikut syariat.

Bagaimanapun ada anak yang terpaksa melakukannya kerana menurut permintaan orang tua.

Dilema inilah yang dihadap oleh seorang wanita berusia 40-an yang belum bertemu jodoh bila dia meminta oleh ibunya agar berjumpa bomoh untuk membuang sial yang dikaitkan dengan masalah jodohnya. Justeru dia meminta pandangan tentang tindakan ini.

Pejabat Mufti Wilayah membuat penjelasan tentang tindakan ibunya dalam Irsyad Hukum Siri Ke-269: Hukum Andartu Jumpa Bomoh Untuk Mudahkan Jodoh

Perbuatan jumpa bomoh salah sama sekali

Terangnya perbuatan pergi menemui bomoh semata-mata untuk membuang sial bagi memudahkan mendapat jodoh adalah salah sama sekali. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi saw yang diriwayatkan oleh Safiah daripada beberapa isteri Nabi saw. Sabda Baginda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya :” Sesiapa yang pergi berjumpa tukang tilik lalu dia meminta kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam.” Riwayat Muslim (5957)

Menerusi hadis-hadis ini, dinasihatkan agar jangan pergi berjumpa dengan dukun atau bomoh atau apa sahaja yang semisal dengannya untuk tujuan apapun. Golongan ini kebiasaanya tidak terlepas dari menggunakan sihir.

Ketahuilah bahawa dosanya sungguh besar. Ini telah dinyatakan oleh Nabi saw dalam satu riwayat sabda Nabi saw :

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya :”Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.” Riwayat al-Bukhari (2766)

Tiada konsep sial dalam Islam

Selain daripada itu, tiada konsep sial di dalam Islam. Sabda Nabi SAW :

لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ

Maksudnya :” Tidak ada penyakit yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”

Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.

Bergantunglah hanya kepada Allah SWT. Sentiasalah berdoa, mengharap, memohon dan bermunajat hanya kepada Allah SWT. Mintalah hanya kepada Allah. Jangan pergi kepada selain Allah SWT apatahlagi jika yang ditemui adalah tukang tilik,dukun, bomoh atau apa sahaja namanya.

Berdoalah

Sebagai seorang mukmin, kita digalakkan untuk berdoa kepada Allah. Jangan pernah meremehkan kuasa doa. Lihat sahaja doa Nabi Musa ketika Baginda berdoa yang mana ianya dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran :

فَقَالَ رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Maksudnya :” ..lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”. (Surah al-Qasas : 24)

Bukan sahaja diberi ganjaran atas pertolongan yang dihulurkannya bahkan ditawarkan oleh seorang lelaki untuk berkahwin dengan salah satu anak gadisnya. Teruskan berdoa dan bermunajat. Di samping berusaha mencari.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Baca: 6 Doa Dipermudahkan Jodoh, Dipertemukan Pasangan Yang Baik. Yang Bujang Amalkan!

Baca lagi: “Allah Beri Jodoh Yang Kita Perlu Bukan Yang Kita Mahu. DIA Lebih Mengetahui Pilihan Terbaik Buat Hamba-Nya

 

Published by
Team Kashoorga