Rasulullah SAW bersabda:-
مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) danal-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).
Satu perkongsian menarik dari Ustaz Pahrol Mohamad Juoi di fbnya mengenai sikap tawaduk usahawan hartanah bertaraf jutawan, Muhammad Azlan Al-Amin sudah cukup membuat kita sedar bahawa tidak miskin seseorang jika suka bersedekah. Bahkan sikap merendah diri ditunjukkan oleh hartawan ini amat terpuji.
Apabila saya musafir ke Kelantan baru-baru ini, saya berkesempatan melihat realiti kehidupan Muhammad Azlan Al-Amin dari dekat. Saya sudah menjangka akan kesederhanaan cara hidupnya. Namun saya terkejut, apa yang saya lihat sangat di luar jangkaan sama sekali.
Bayangkan, seorang yang sudah memiliki asset ratusan juta, tinggal di rumah yang ‘sangat-sangat’ sederhana. Saya berpeluang melihat sendiri ruang tamu, bilik tidur, dapur tempat beliau, isteri dan lima orang anak-anaknya berteduh.
Saya tertanya-tanya dalam hati, mengapa cara hidup itu yang dipilihnya? Saya mengenali beberapa orang berharta, yang punya villa agam, pusat penempatan eksklusif dengan beberapa buah banglo untuk keluarga masing-masing. Ya, semua itu boleh saja. Halal. Bukan haram.
Tetapi Azlan Al Amin sebaliknya. Ketika saya bertanya untuk mendapat jawapannya, adiknya Mustakim, berkata, “puas kami pujuk dia untuk duduk di rumah yang lebih baik, tetapi abang enggan. Dia bina surau untuk orang kampung. Dan kemudian bina surau untuk ahli keluarga besarnya…”
Saya renung, rumah bercat hijau memanjang di tengah sawah, kenapa reka bentuknya begitu polos dan begitu ringkas sekali. Selayaknya sebuah asrama pelajar sahaja. Begitu rendah sekalikah citarasa jutawan muda ini?
Ini mengingatkan kepada cita-cita yang dinyatakan kepada saya satu ketika dulu. Dia impikan untuk membina sebuah pusat tahfiz yang dibiayai sepenuh olehnya. Itulah cita-citanya yang mendorong membina bangunan bercat hijau di tengah kehijauan sawah itu.
Namun, dalam perbincangan kami, dia akhirnya akur dengan pandangan kedua yakni, tidak perlu membina pusat tahfiz baru sebaliknya, bantu dan biayai sahaja pusat tahfiz dan pelajar-pelajar yang sudah dikenal pasti.
Seingat saya, sejak itu dia mula menambah bilangan pelajar tahfiz yang dibiayainya di dalam dan di luar negara. Alhamdulillah saya bersyukur, dia akhirnya akur untuk menyerahkan urusan kepada ahlinya dan dia sendiri boleh terus fokus kepada perniagaannya.
Dia begitu lasak. Tangkas, dan adakalanya terlalu keras buat dirinya. Lalu hati saya tertanya-tanya, bagaimana isteri dan anak-anaknya? Mampukah mereka juga mengikut jalan hidup yang dipilihnya?
Lalu saya dapat melihat sendiri sebuah rumah kecil di tepi reban ayam dan kandang lembu yang dihuni oleh Azlan dan isterinya bertahun-tahun sebelum itu. Sangat daif.
Ketika saya bertanya, mengapa rumah sekecil itu dihuninya walaupun pada ketika itu dia telah menjadi jutawan?
Beliau berkata perlahan, “saya hendak melatih dan mendidik isteri serta anak-anak agar terbiasa susah dan tidak terikat dengan kesenangan. Supaya saya boleh terus mencapai cita-cita…”
Apa cita-citanya?
Pada malam itu, di tepi sawah, dalam simbahan cahaya bulan, diiringi tiupan angin malam…beliau bersuara perlahan membisikkan cita-citanya:
“Azlan ingin menbina seratus buah surau dengan kelengkapan yang sempurna untuk kegunaan masyarakat Islam…”
Saya terdiam. Teringat sebuah tulisan lama:-
“Mengapa ada orang mati kelaparan? Kerana ramai orang yang mati kekenyangan. Jika sikaya itu sudi mengurangkan sedikit sahaja daripada kemewahannya nescaya ramai orang miskin terlepas daripada kesusahannya. Yang lebih pada sikaya akan memudaratkan kerana itu hakikatnya hak simiskin yang perlu diinfaqkan.”
Saya yang menulis, apakah beliau yang akan merealisaikannya? Insya-Allah saya berdoa untuknya dan untuk sesiapa sahaja yang mempunyai impian yang sama. Insya-Allah. Amin.