Ustazah Noraslina menjelaskan secara terperinci perkara yang perlu dilakukan pasangan sebelum mereka memutuskan untuk bercerai, kata beliau perkahwinan bukanlah untuk nantinya berpisah sebaliknya dibina untuk kekal harmoni bernaungkan sakinah, mawaddah wa rahmah. Justeru itu, talak menjadi pilihan terakhir setelah langkah membaik pulih perhubungan yang terbina atas nama ALLAH SWT diikhtiarkan.
“Antara usaha yang boleh dilaksanakan ialah muhasabah bersama suasana rumah tangga kerana ikatan yang bermula dengan baik dan menepati syariat sekalipun (tidak couple dan jauh daripada pergaulan tanpa batas antara kedua-duanya sebelum akad) tetap akan berhadapan cabaran dan dugaan. Ini kerana dalam memahami erti takwa yang menjadi tunjang kepada kebahagiaan orang beriman, ada dua peraturan ALLAH di muka bumi ini yang mesti dipatuhi sebaiknya, iaitu syariatullah dan sunnatullah.
“Apabila syariatullah telah lunas, sunnatullah pula jangan dipinggirkan iaitu berkait komunikasi, memahami perbezaan lelaki dan perempuan, menyedari asal usul keluarga yang membesarkan pasangan dan lain-lain agar ikatan yang telah bermula dengan kemuliaan itu terus menyuburkan cinta yang menambah kukuh binaannya,” terangnya.
Menurutnya cinta tanpa pernikahan adalah sesat, tetapi pernikahan tanpa cinta adalah mudarat. Akhirnya, jika bertahan hanya kerana tanggungjawab, ia tidak akan mampu membawa bahagia. Rumah tangga akan kosong daripada kemesraan dan belaian. Ini kerana dosa takkan pernah mampu menghadirkan bahagia.
Kemudi dengan ilmu
Beliau berpandangan bagi isteri yang nusyuz, Islam menunjukkan cara terbaik menangani situasi ini. Pihak suami hendaklah memberi nasihat kepada isteri terlebih dahulu. Jika keburukannya masih berlaku, suami boleh meninggalkan tempat tidur. Andai masih juga tidak berubah, suami boleh memukul untuk tujuan mendidik yang tidak memudaratkan tubuh si isteri. Kemudian, jika tetap juga isteri berdegil, hakim boleh menjalankan proses sulh.
“Langkah-langkah ini perlu diikhtiarkan sebaiknya sebelum pilihan cerai itu diambil. Ini kerana, perceraian walau mungkin ada kebaikan padanya, namun ia tetap memberi kesan negatif kepada pihak lain yang terlibat seperti anak-anak dan keluarga kedua-dua pihak jika tiada tindakan susulan dibuat untuk memastikan ukhuwah yang terjalin sebelum ini tetap baik dan tiada unsur kezaliman.
“Hidup ini sejajar dengan masalah, justeru sesiapa yang tidak menginginkan masalah bererti tidak mahu hidup dan Dia hadirkan masalah dalam rumah tangga bukan untuk menjadikan rumah tangga itu berpecah belah, sebaliknya masalah terjadi untuk membangun kualiti yang baik antara suami dan isteri.
“Lantaran itu, tadabburlah Surah As-Syams ayat 7 hingga 10. Ada rumus atau kaedah yang boleh diguna pakai demi keharmonian rumah tangga; Iaitu dengan memahami dalam jiwa setiap manusia ada potensi baik (takwa) dan ada juga potensi buruk (fujur). Setiap sifat dan sikap yang positif akan ada lawannya yang negatif,” jelasnya lagi.
Menurutnya, suami atau isteri yang memahami ini, akan mengambil sikap yang berlawanan dengan sikap pasangannya. Andai pasangan marah, dia akan sabar dan tidak mencelah. Andai pasangannya bermasam muka, dia akan berusaha menghadirkan jenaka dan gelak tawa.
Cerai dalam Islam
Islam menyarankan perceraian sebagai jalan keluar daripada kemelut perkahwinan yang tiada kesudahan. Ia halal tetapi bukan digalakkan tanpa ada penelitian yang sebaiknya sebelum pilihan itu diambil. Kerana pernikahan adalah antara ikatan yang disebut dalam al-Quran sebagai ‘mithaqan ghaliza’ (ikatan yang teguh). Justeru itu, dari sekian banyak pilihan dan ikhtiar, cerai adalah senarai terakhir, bukan paling awal.
Ahli keluarga sebagai insan terdekat perlu bertindak sebagai perawat, bukan penyebab terjadinya perpisahan. Jika tidak mampu memberikan nasihat yang baik, maka cukup dengan berdiam diri, tanpa mengeluarkan pendapat yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Kisah teladan
Beliau berkata, sakinah antara suami isteri itu terpamer daripada rasa tenteram bukan sekadar ketika bersama, tetapi juga kala berjauhan demi menjalankan amanah dan tanggungjawab. Kerana itu, cinta yang tidak sihat adalah cinta yang membelenggu hati pemiliknya hingga berasa terlalu berat untuk berpisah lalu berlaku kecuaian dan kelalaian dalam penunaian hak yang wajib dilaksanakan.
“Andai cinta telah mulai berubah daripada fitrah kepada fitnah dan terlihat angkuh sehingga memaksa untuk hanya dirinya yang diperhatikan dan dipedulikan, juga memaksa pasangan melupakan pelbagai kewajipan hidup yang lain, maka saat itu, ia harus ditegur, mesti diperbetul.
“Saya bawakan kisah percintaan Abdullah bin Abu Bakar dan Atikah binti Zaid, semoga dapat memberi iktibar berterusan buat yang benar-benar ingin memaknakan: “Aku mencintaimu kerana ALLAH” agar hati sentiasa berbenah, diri sering bermuhasabah bahawa ALLAH hendaklah dimahkotakan paling teratas sebelum menjayakan cinta sesama manusia,” kongsinya.
Sambung beliau lagi, Abdullah, adalah lelaki pertama menikahi Atikah. Seperti ayahnya, Abdullah termasuk orang yang membela Rasulullah SAW dan taat beribadah. Abdullah menghormati dan memuliakan Atikah, namun beliau terlena dengan kecantikan Atikah hingga sering kali melewatkan solat berjemaah di masjid dan bahkan tidak ikut serta dalam beberapa perang.
“Hinggalah pada suatu hari, Abu Bakar mengunjungi rumahnya untuk mengajak Abdullah berjamaah di masjid. Namun, Abu Bakar mendapati anaknya sedang bermesra dengan Atikah, dengan kesal beliau pun membatalkan niatnya untuk mengajak Abdullah solat berjemaah di masjid.
“Usai solat, Abu Bakar pun kembali ke rumah Abdullah dan mengungkapkan kekesalannya pada Abdullah yang masih bermesraan dengan isterinya ketika seharusnya sudah bersiap untuk berangkat ke masjid. Abu Bakar meminta Abdullah menceraikan Atikah kerana Abdullah lalai daripada tanggung jawabnya,” katanya.
Menurutnya lagi, Abdullah mengikuti perintah ayahnya dan menceraikan Atikah yang sangat dicintainya. Perceraian tersebut mengakibatkan Abdullah jatuh sakit, sehingga kemudian Abu Bakar mengizinkannya untuk kembali rujuk dengan Atikah, namun dengan syarat pernikahan tersebut tidak membuat Abdullah lalai, yang ditepati oleh Abdullah dan pada akhir hidupnya, Abdullah mati syahid ketika gugur di Perang Thaif.
Info
CERAI dalam bahasa Arab disebut sebagai talak, daripada sudut bahasa bermaksud meleraikan atau melepaskan ikatan.
Istilah syarak pula bermaksud meleraikan ikatan perkahwinan atau memutuskan akad perkahwinan dengan lafaz talak iaitu menggunakan perkataan yang khusus iaitu lafaz yang terang dan jelas membawa maksud talak ataupun menggunakan lafaz kinayah iaitu lafaz sindiran atau kiasan.
VIDEO KASHOORGA: