Memang ada ibu bapa yang tidak bersetuju dengan pilihan hati anak. Mereka kurang berkenan dengan calon menantu yang dipilih oleh anaknya. Sebagai anak, lebih baik berbincang dari hati ke hati dengan ibu bapa. Usahlah menjadikan hal ini sebagai punca terputusnya silaturahim antara anda dengan orang tua.

Kebahagiaan seorang anak terletak pada reda ibu bapanya. Anak yang membahagiakan ibu bapanya, nescaya hidupnya lebih diberkati ALLAH SWT. Justeru, tergamakkah seorang anak meletakkan ibu bapanya di belakang selepas bertemu kekasih hati?

Berikut perkongsian Fahmi Ramli

Kalau Bapa Tak Setuju, Jangan Kahwin

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

Biasa dengarkan pantun lama ni. Sebenarnya banyak dah yang jadi macam ni. Ibu dan bapa tak restu nak kahwin, tapi, tak nak dengar. Sanggup korbankan keluarga demi kekasih hati.

Di dalam Islam, antara Rukun atau perkara wajib yang perlu ada dalam sesuatu pernikahan adalah Wali. Tapi, tahukah kita, siapa wali kita?

Apa itu Wali dalam Pernikahan?

Wali ialah pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Ia adalah satu perkara yang wajib untuk mengesahkan pernikahan seseorang perempuan.

Apa syarat untuk jadi wali?

1. Islam
2. Baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun).
3. Berakal – Orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali.
4. Lelaki – Orang perempuan tidak sah menjadi wali.
5. Adil
6. Merdeka

Ada ranking ke tahap Wali?

Ada. Ini susunannya.
1. Bapa kandung
2. Datuk sebelah bapa ke atas
3. Saudara lelaki seibu-sebapa
4. Saudara lelaki sebapa
5. Anak saudara lelaki seibu-sebapa
6. Anak saudara lelaki sebapa
7. Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa
8. Bapa saudara sebelah bapa sebapa
9. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah
10. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
11. Bapa saudara seibu-sebapa
12. Bapa saudara bapa sebapa
13. Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
14. Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
15. Bapa saudara datuk seibu-sebapa
16. Bapa saudara datuk sebapa
17. Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah
18. Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
19. Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan).
20. Sekalian asabah kepada seorang muktiq
21. Raja/Sultan.

 

Ada dua orang wali yang dia berhak untuk nikahkan seseorang perempuan tanpa perlu mendapat persetujuannya (wali mujbir) iaitu :

1. Bapa
2. Datuk (Bapa kepada bapa)

Kalau bapa/datuk enggan menjadi wali untuk berkahwin, bagaimana?

Di dalam undang-undang setiap negeri, bagi seseorang perempuan yang mahu berkahwin dengan seseorang lelaki pilihannya, tetapi, wali mujbir enggan, tak boleh mintak abang atau mana-mana orang yang lain untuk jadi wali.

Sebaliknya, perempuan tersebut mesti membuat Permohonan Wali Enggan di Mahkamah Rendah Syariah. Perkara ini perlu untuk dibicarakan dihadapan hakim. Boleh jadi, bapa atau datuk mempunyai alasan tersendiri.

Pada kebiasaannya, Mahkamah akan benarkan pernikahan tersebut dijalankan dengan wali hakim. Cuma pernikahan itu jarang mendapat restu kedua orang tua. Wallahualam.

Utamakanlah perbincangan. Kalau heret ayah masuk dalam mahkamah hanya untuk pernikahan, percayalah, ia akan lebih teruk di masa hadapan. Bukan saya yang cakap, tapi pengalaman di Mahkamah yang bercerita.

Sumber kredit: Fahmi Ramli

VIDEO KASHOORGA: