“Kalau mati mengejut, tak sempat solat macam mana.’ Jangan suka tangguh solat sampai ke penghujung waktu bimbang jika sesuatu tidak diingini berlaku.
Manusia hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan. Kadang-kadang kita merancang untuk solat sekian-sekian waktu, namun ada aral yang menghalang hingga membuatkan kita meninggalkan solat.
Oleh sebab itu, kita digalakkan untuk solat di awal waktu. Ikuti perkongsian Dr Syed Syahridzan Ben–Aqil dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan:
Soalan:Assalamu’alaikum doktor. Izinkan saya bertanyakan soalan. Apa hukum orang yang suka tangguh-tangguh solat? Contoh seseorang tak solat awal waktu sampai delay solat sampai penghujung waktu.
Macam mana pula kalau tangguh solat kemudian dia meninggal dunia dan tak sempat mendirikan solat adakah dia dikira mati dalam keadaan berdosa?
Tak Sempat Solat Macam Mana
Jawapan:
1) Allah SWT telah mewajibkan setiap hamba-Nya yang mukalaf untuk mendirikan solat 5 waktu. Solat-solat fardu lima waktu telah ditetapkan waktu-waktunya. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Nisa’, ayat 103:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”
2) Waktu-waktu solat secara terperinci telah ditetapkan oleh Rasulullah ﷺ dalam beberapa hadis yang sahih. Antara tujuan ketetapan waktu-waktu tersebut untuk memberi pilihan yang fleksibel kepada para mukalaf untuk mendirikan solat antara mula masuk waktu solat sehingga sebelum keluar waktu. Selain itu memberi kemudahan keluasan waktu untuk umat mendirikan solat berdasarkan keperluan masing-masing.
Jangan Suka Tangguh Solat
3) Berbalik kepada soalan, hukum menangguh-nangguh atau melambat-lambatkan solat pada asasnya diharuskan oleh para ulama. Hukum harus ini berdasarkan sepotong hadis:
Maksudnya: Abu Musa al-Asy’ari R.A meriwayatkan daripada Rasulullah ﷺ bahawa seorang lelaki datang menemui Baginda dan bertanya tentang waktu-waktu solat, namun Baginda tidak menjawab sama sekali. Abu Musa berkata:
“Kemudian Baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Subuh ketika mula terbit fajar dalam keadaan para Sahabat hampir tidak mengenali antara satu sama lain (masih gelap). Kemudian Baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Zohor semasa matahari tergelincir, ketika ada yang berkata:
‘Bukankah sekarang masih lagi tengahari (belum Zohor)?’ Sedangkan Baginda lebih tahu daripada mereka. Kemudian Baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Asar ketika matahari masih lagi tinggi. Kemudian Baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Maghrib ketika matahari terbenam. Tidak lama setelah itu Baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Isya ketika ufuk merah telah hilang.
Keesokan harinya, Baginda melewatkan solat Subuh, sehinggakan sesudah Baginda selesai solat, ada yang berkata: ‘Matahari telah terbit atau hampir terbit.’
Setelah itu Baginda melewatkan solat Zohor hingga hampir masuk waktu Asar seperti waktu Asar semalam. Kemudian Baginda melewatkan solat Asar, sehinggakan sesudah Baginda selesai solat, ada yang berkata:
‘Matahari telah kemerahan.’ Kemudian Baginda melewatkan solat Maghrib sehingga ufuk merah hampir menghilang. Setelah itu Baginda melewatkan solat Isyak sehingga sepertiga pertama malam berlalu. Pada keesokkan hari, Baginda memanggil lelaki yang bertanya itu dan bersabda: ‘Waktu-waktu solat adalah di antara dua waktu ini’.” (Riwayat Muslim)
4) Berdasarkan hadis di atas para fuqaha meletakkan hukum harus menangguhkan solat selagimana waktu itu masih ada. Ini berdasarkan amalan Nabi ﷺ menangguhkan solat sehingga pada penghujung waktu solat atas tujuan pendidikan.
Tangguh Solat Yang DiHaruskan
5) Walaubagaimana pun ulama mazhab Syafi’i memperincikan tahap penangguhan solat yang diharuskan. Ada juga kategori penangguhan yang membawa kepada hukum:
i. makruh (kecuali zohor), iaitu jika seseorang menangguhkan tanpa uzur syarie sehingga tempoh waktu solat yang berbaki cukup-cukup untuk solat didirikan dalam waktunya. (أن يبقى من الوقت قدر ما يسع الصلاة)
ii. haram, iaitu menangguhkan solat tanpa uzur syarie sehingga tempoh waktu solat yang berbaki tidak mencukupi untuk solat didirikan sehingga sebahagian rakaat didirikan luar dari waktu solat. (وقوع جزء منها خارج الصلاة)
Ads
6) Jika penangguhan selain dari kedua-dua keadaan di atas, maka hukum menangguhkan solat hukumnya harus, bahkan tidak makruh dan tidak haram. Perkara ini dijelaskan secara terperinci oleh Imam al-Baijuri al-Syafi’i di dalam karangannya “Ḥāsyiat al-Baijūriy ʿAla Ibn Qāsim”, kata beliau:
لا يجب الصلاة بأول الوقت على الفور بل يجوز تأخيرها إلى أن يبقى من الوقت ما يسعها لكن إن لم يفعلها في أول وقتها عليه العزم على فعلها قبل خروج الوقت فيجب عليه بدخول الوقت أحد أمرين: أما الفعل أو العزم عليه في الوقت، لم يفعل ولم يعزم أثم فإذا عزم على الفعل فيه ولم يفعل ومات مع اتساع الوقت لا يموت عاصياً لأن لها وقتاً محدوداً.
Maksudnya: “Tidak wajib mendirikan solat pada awal waktu serta merta, bahkan harus melewatkannya kepada tempoh waktu yang mencukupi untuk sesuatu solat didirikan. Akan tetapi jika seseorang tidak mendirikannya pada awal waktunya hendaklah dia berazam untuk melakukannya sebelum keluar waktunya.
Oleh yang demikian, dengan masuknya waktu dia wajib melaksanakan salah satu dari dua perkara: sama ada melaksanakan solat itu, atau keazaman untuk melaksanakan dalam waktunya. Jika dia tidak melaksanakannya dan tidak berazam maka dia berdosa. Jika dia berazam untuk melaksanakan (solat itu), tetapi dia belum melaksanakannya, kemudian dia mati sedangkan masih ada ruang waktu yang masih luas (untuk solat), maka dia tidak dikira mati dalam keadaan maksiat kerana baginya waktu (solat) yang telah dihadkan.”
Lewat Solat Bergantung Pada Niat
7) Berdasarkan kenyataan ulama mazhab Syafi’i di atas, keharuskan melewatkan solat bergantung kepada niat seseorang seperti berikut:
i. Jika seseorang ingin melewatkan solat dia perlu berazam untuk mendirikan solat di dalam waktu. Jika penangguhan ini beserta dengan keazaman mendirikan dalam waktunya dan ditakdirkan dia meninggal dunia sebelum sempat solat dirikan, maka dia tidak dikira meninggal dalam keadaan berdosa.
ii. Jika seseorang melewatkan solat, namun dia tiada keazaman untuk mendirikan solat di dalam waktu, mungkin kerana kebiasaanya dia jenis individu yang sering meninggalkan. Jika penangguhan ini tidak disertakan dengan keazaman tersebut dan ditakdirkan dia meninggal dunia maka dia dikira meninggal dalam keadaan berdosa.
8)) Walaubagaimana pun, umat Islam amat digalakkan agar mendirikan solat pada awal waktu kerana amalan ini menjanjikan ganjaran pahala yang tinggi dan antara amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT. Perkara ini disabdakan oleh Baginda Rasulullah ﷺ dalam sepotong hadis:
عن أم فروة رضي الله قالت: (سئل النبي صلى الله عليه وسلم: أي الأعمال أفضل؟ قال: الصلاة لأول وقتها). رواه أبو داود
Maksudnya: Ummu Farwah R.A berkata bahawa Nabi ﷺ ditanya apakah amalan² yang paling afdal? Baginda ﷺ bersabda: “Solat pada awal waktunya.” (Riwayat Abu Daud)
Wallahu A’lam
Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil
Kashoorga : Solatlah di awal waktu, insyallah kita lebih tenang dan segala urusan akan lebih teratur pabila kita mengutamakan solat.
Hari ini membeli dan jual kucing terutama baka kucing yang cantik seakan menjadi perkara biasa. Meskipun harganya mahal namun ramai yang sanggup membelinya.
Tapi apa hukumnya dalam Islam, adakah ia dibolehkan kerana ada pandangan yang mengatakan jual beli kucing ini adalah dilarang.
Menurut beliau ulama fekah berkhilaf pendapat tentang hal ini. Terdapat sejumlah ulama yang melarangnya, sementara majoriti ulama membenarkan menjual atau membeli kucing.
Ini seperti kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarah hadis larangan menjual kucing:
وَأَمَّا النَّهْيُ عَنْ ثَمَنِ السِّنَّوْرِ فَهُوَ محمول على أنه لا ينفع أو عَلَى أَنَّهُ نَهْيُ تَنْزِيهٍ حَتَّى يَعْتَادَ النَّاسُ هِبَتَهُ وَإِعَارَتَهُ وَالسَّمَاحَةَ بِهِ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَإِنْ كَانَ مِمَّا يَنْفَعُ وَبَاعَهُ صَحَّ الْبَيْعُ وَكَانَ ثَمَنُهُ حَلَالًا هَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ العلماء كافة الا ما حكى بن الْمُنْذِرِ وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَطَاوُسٍ وَمُجَاهِدٍ وَجَابِرِ بْنِ زَيْدٍ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ بَيْعُهُ وَاحْتَجُّوا بِالْحَدِيثِ وَأَجَابَ الْجُمْهُورُ عَنْهُ بِأَنَّهُ مَحْمُولٌ عَلَى مَا ذَكَرْنَاهُ فَهَذَا هُوَ الْجَوَابُ الْمُعْتَمَدُ
“Adapun larangan (memakan) harga (jualan) kucing, maka itu atas andaian ia tidak bermanfaat, atau larangan tanzih (makruh tidak haram) agar orang ramai terbiasa dengan memberi dan meminjamkan kucing serta bertolak ansur dengan hal itu seperti yang menjadi kebiasaan.
Sekiranya ia termasuk dalam yang memberikan manfaat lalu menjualnya, maka sah jual beli dan harganya halal. Inilah mazhab kita dan mazhab ulama keseluruhannya, kecuali apa yang Ibn Munzir nyatakan, dan daripada Abu Hurairah, Tawus, Mujahid, Jabir bin Zaid iaitu tidak harus jual belinya (kucing). Mereka berhujah dengan hadis ini. Jumhur menjawab bahawa larangan itu atas andaian yang kami sebutkan tadi. Inilah jawapan yang dipegang”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 10/233. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).
Perbincangan dua pandangan
Pertama: Pendapat yang mengharamkan jual beli kucing.
Ini adalah pendapat tokoh-tokoh seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi tadi. Turut menyokong pendapat ini al-Imam Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dengan menyatakan:
وَهُوَ الصَّوَابُ لِصِحَّةِ الْحَدِيثِ بِذَلِكَ، وَعَدَمِ مَا يُعَارِضُهُ، فَوَجَبَ الْقَوْلُ بِهِ
“Inilah pendapat yang benar disebabkan sahnya hadis berkaitan hal ini dan tiada dalil lain yang menyanggahinya. Maka, wajib berpegang dengan pendapat ini”. (5/685. Beirut: Maktabah al-Manar al-Islamiyyah).
Alasan utama mereka ialah hadis berkaitan larangan tersebut di mana Jabir bin Abdillah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w melarang hal itu:
Daripada Abu Zubair, dia berkata: Aku bertanya Jabir mengenai harga anjing dan kucing liar”. Kata Jabir: “Nabi s.a.w melarang perkara itu”. (Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibn Majah dll).
Kedua: pendapat yang membolehkan menjual beli kucing.
Ini pendapat jumhur (majoriti) ulama seperti yang disebutkan tadi. Dalam berpegang dengan pendapat ini, mereka (jumhur) berkhilaf pula dalam mengulas hadis larangan tersebut.
Ada yang berpendapat hadis itu daif. Ini apa yang disebut oleh al-Khattabi dan Ibn ‘Abd al-Barr. Namun, pendapat ini ditolak al-Imam al-Nawawi sendiri, dengan katanya:
وَأَمَّا ما ذكره الخطابى وأبو عمرو بْنُ عَبْدِ الْبَرِّ مِنْ أَنَّ الْحَدِيثَ فِي النَّهْيِ عَنْهُ ضَعِيفٌ فَلَيْسَ كَمَا قَالَا بَلِ الحديث صحيح رواه مسلم وغيره
“Adapun apa yang al-Khattabi dan Abu ‘Amr bin ‘Abd al-Barr menyebutnya bahawa hadis larangan tersebut daif, (maka jawapannya) hadis itu bukan seperti yang mereka kata. Bahkan hadis itu sahih, riwayat Muslim dan selainnya”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 10/234. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).
Ada yang berpendapat larangan itu jika kucing itu liar dan tidak dapat diserahkan semasa pembelian. Ada pula yang berpendapat hadis ini di awal Islam, kemudian dimansukhkan. Ada juga yang berpendapat ia sekadar larangan makruh bukan haram.
Ada pula yang berpendapat larangan itu jika kucing itu bukan milik yang menjual. Ada yang berpendapat sebagai galakan untuk manusia bertolak ansur dalam pemberian kucing seperti yang menjadi adat kebiasaan. Ada yang menyatakan -seperti yang al-Nawawi sebut tadi- jika ada manfaat, maka boleh dijual beli. Kucing yang ada manfaat seperti menghalau tikus, maka boleh dijual beli. Larangan hanya jika tiada manfaat.
Sesiapa yang berpegang kepada pendapat jumhur ulama, maka dibolehkan menjual dan membeli kucing selagi ada nilai manfaat. Jika sudah tiada nilai, maka haram. Pendapat yang mengharamkan secara mutlak pula berhujah dengan hadis yang jelas larangan tersebut. Cumanya, jumhur ulama berbeza dalam mentakwilkan sebab larangan.
Justeru, jika seseorang mengelakkan diri dari terlibat dengan jual beli kucing maka itu lebih baik kerana selamat dari daerah pertikaian hukum tersebut. Apatah lagi jika harganya begitu mahal, maka ia mendekati unsur pembaziran. Kita tahu agama kita melarang pembaziran.
Setiap rezeki itu sudah ditentukan oleh Allah buat hamba-hambaNya. Sama ada cepat atau lambat, rezeki akan datang dengan pelbagai cara. Andai sudah tertulis rezeki kita, ia akan datang dalam pelbagai cara.
Ternyata selepas mengucap dua kalimah syahadah, Allah melorongkan rezeki buat mualaf asnaf, Muhammad Redha bin Abdullah atau nama asalnya ialah Ragu A/L Sitre. Ini kerana kunjungan pihak pengurusan Lembaga Zakat Negeri Kedah yang mengetahui kesusahan hidupnya menganugerahkan rezeki buatnya iaitu menerima sebuah motosikal, bakal dibinakan rumah, anak-anaknya menerima basikal untuk ke sekolah dan lain lagi bagi membolehkan dirinya dan anak-anak memulakan kehidupan baru di Bukit Apeng, Serdang, Bandar Baharu, Kedah.
Dalam satu perkongsian kisah dari Lembaga Zakat Negeri Kedah, mereka berkongsi kisah ini.
“Tak pernah seumur hidup saya dapat bantuan macam ni. Terima kasih ustaz.” Sambil menangis teresak-esak, Abg Redha ucap terima kasih.
“Jangan terima kasih kat kami, terima kasih kat Allah. Dia yang hantaq bantuan ni kat Abg Redha.” Jawab kami sebak.
Kelmarin kami ziarah seorang asnaf Muallaf yang diberi nama Muhammad Redha bin Abdullah di Bukit Apeng, Serdang, Bandar Baharu. Nama asal Abg Redha ialah Ragu A/L Sitre. Ada 4 orang anak comel-comel semuanya. Nama Rahim, Adam, Yusuf dan Rohani. Yang abang dua orang tu cakap cina boleh, cakap india boleh, cakap melayu pun boleh. Hebat anak-anak ini.
Abg Redha baru saja masuk Islam bulan November yang lalu. Bukan dia sorang, dia juga Islamkan kesemua anak-anaknya. Satu keluarga. Teruja kami dengar cerita Abg Redha kelmarin. Cuma sayangnya isteri beliau tak sempat sebab dah berpisah sebelum beliau masuk Islam lagi. Abg Redha sorang jer jaga anak-anak.
Abg Redha kerja kampung. Ambil upah ladang kelapa sawit, potong rumput dll. Beliau dgn anak-anak duduk di rumah yang disewa Ketua Kampung. Kata Abg Redha, orang kampung kat sini banyak sangat bantu dia lepas dia masuk Islam. Bagi TV, bagi rumah untuk duduk, mai hantaq makanan, bagi kerja dll.
Cuma motosikal Abg Redha rosak. Tak dapat nak baiki. Masa pendaftaran hari pertama sekolah anak pun, Abg Redha kena pinjam motor jiran untuk hantar anak-anak ke sekolah. Kami terus bawa Abg Redha ke kedai motor di Serdang, Kedah. Terkejut Abg Redha. Kami beli satu motor baru untuk Abg Redha bawa pi kerja hari-hari.
Lepas tu kami singgah Selama, Kedah cari kedai basikal pula. Sekurang-kurangnya anak-anak comel ni boleh guna untuk ke sekolah. Semua dapat seorang satu basikal. Tak habis-habis senyum dan ucap terima kasih. Seronok depa.
“Ustaz, saya tak minta semua ni. Banyak ni. Saya tak pernah sangka masuk Islam dapat macam ni.” Kata Abg Redha sambil lap air mata.”
“Abg Redha. Inilah keindahan Islam. Semua ni Allah dah takdirkan dan susun untuk Abg Redha. Yang kami nak cuma satu, Abg Redha jangan sesekali lupa Allah.”
“Macam ni, memandangkan Abg Redha masuk Islam sekeluarga, pihak Zakat Kedah akan uruskan untuk lantik seorang ustaz untuk mai mengajaq sekurang-kurangnya 2-3 kali seminggu. Bayaran ustaz tu Zakat Kedah akan tanggung. Abg Redha cuma kumpul anak-anak duk mengaji saja. Bagi faham cara solat dll.” Abg Redha angguk-angguk faham sambil tersenyum. Seronok dia.
Syukur alhamdulillah kebetulan di belakang rumah Abg Redha ada satu tapak tanah kosong. Milik Baitulmal Kedah. Zakat Kedah akan proses segera dengan pihak Baitulmal dan sekiranya dipersetujui, kami akan terus buat sebuah rumah 3 bilik yang selesa untuk Abg Redha dan anak-anak. Harga RM45,000.
Syukur juga penerimaan orang-orang kampung sangat baik kepada keluarga ini. Tiada yang lain kami harapkan, cuma nak Abg Redha dan anak-anak selesa dengan Islam jer. Gembira dalam Islam.
Tuan-Puan tolong doakan keluarga ini dan semua Muallaf di seluruh negeri Kedah. Dalam zakat kami bukan jaga orang miskin saja. Ada 8 golongan semuanya yang ada hak dalam zakat. Salah satunya Asnaf Muallaf.
Sebelum pulang, kami berikan Bantuan Awal Memeluk Islam sebanyak RM1000 seorang. 5 orang dapat RM5000 untuk mula hidup baru. Kemudian kami serah juga beg sekolah kat anak-anak. Tak henti-henti Abg Redha ucap syukur.
Inilah keindahan Islam. Ini semua guna duit zakat yang dibayar kepada institusi ini. Institusi ini milik kita semua. Harapan kami supaya semua umat Islam saling menyokong dan berbangga dengan institusi Islam ini.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan keberkahan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini.” (HR At-Thabrani).
Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Wahai segenap manusia, telah datang kepada kalian bulan yang agung penuh berkah bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasa di siang harinya sebagai kewajiban, dan qiyam di malam harinya sebagai sunnah.
Barang siapa menunaikan ibadah yang difardhukan, maka pekerjaan itu setara dengan orang mengerjakan 70 kewajiban. Ramadan merupakan bulan kesabaran dan balasan kesabaran adalah syurga. Ramadan merupakan bulan santunan, bulan yang di mana Allah melapangkan rezeki setiap hamba-Nya. Barang siapa yang memberikan hidangan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, maka akan diampuni dosanya dan dibebaskan dari belenggu neraka, serta mendapatkan pahala setimpal dengan orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa tersebut.” (HR Khuzaimah).
Di bulan penuh kerahmatan ini, kita sememangnya dituntut memperbanyakkan ibadah kerana semua pahalanya digandakan. Kita digalakkan membaca al-Quran, bangun solat tahajud, lakukan solat sunat serta lain lagi bagi mengisi masa lapang serta tidak mempersia-siakan sisa masa yang ada dengan hanya menatap telefon bimbit atau melakukan perkara sia-sia. Ini kerana Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga dan kerugian jika itu yang kita fikirkan kerana Ramadan adalah bulan pengampunan dan penuh rahmat.
Dalam pada itu, dari satu perkongsian fb Ismail Sabran Ancok, dirinya berkongsi pemandu e-hailing food panda yang duduk membaca al-Quran sementara menanti order masuk.
Tulisnya, lalu tadi di highway. Ingat tadi dia tengah main game. Rupanya runner ni tengah duduk membaca Al-Quran. Mungkin tengah duduk sambil tunggu order, saudara ni mengisi masanya untuk menambah pahala di bulan Ramadan. Syabas anak muda, tulisnya.
Dalam pada itu, dirinya turut memaklumkan kepada mereka yang mengenali runner ini agar memberitahu kepadanya untuk dia belanja makan sebulan.
Siapa yang kenal brother ni, bagitahu dia, saya belanja berbuka puasa percuma di gerai abg Ancok selama bulan puasa. Kalau dia ada masa kelapangannya berbuka di gerai.
Dan selepas gambarnya membaca Al-Quran tular (selepas dimaklumkan kawan-kawan yang tag kepadanya), runner ini atau nama sebenarnya Mohd Rahmat Mohd Amin dilihat amat merendah diri.
Dirinya siap membalas komen di fb Abang Ancok tersebut.
Tulisnya, terima kasih niat baik Abang Anchok Jazakamullah kheir bang.
“Sebenarnya bnyak juga yang bgini tapi tak tertangkap kamera apa-apa pun. Saya tidak la sebaik yang disangka tapi Insya-Allah kita semua sentiasa berusaha untuk jadi baik lagi-lagi di bulan yang barokah ini. Allahumma Aamiin.
Tambahnya lagi, semoga kita semua senantiasa berusaha untuk terus istiqomah dalam kebaikan Allahumma Aamiin.
Masa yang sama begitu ramai yang menzahirkan rasa kagum mereka kerana usaha dirinya menghabiskan masa membaca Al-Quran.
Ya, semoga Ramadan kita dicatat semua amal kebaikan dan tidak sia-siakan waktu yang ada.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Anak yang selalu beri duit dimanja dan disayangi, tapi anak yang jarang hulur duit kerana hidup susah dilayan kasar dan dimarah-marah. Bukan hanya dalam...