
Isi Kandungan
ToggleSikap cepat marah atau baran bukan saja membuatkan kita dijauhi malah boleh memakan diri. Ini kerana sudah banyak kejadian melibatkan kecederaan, kerugian serta kematian disebabkan oleh sikap ini.
Sekiranya kita sendiri tahu dalam diri ada sikap sebegini maka muhasabah diri dan lakukan sunnah yang dianjurkan Nabi Muhamad SAW jika perasaan amarah dan baran menguasai diri.
1. Duduk jika sedang berdiri, baring ketika sedang duduk
Rasulullah SAW bersabda: “Jika salah seorang daripada kalian marah dan ia dalam keadaan berdiri, hendaklah ia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
2. Mengambil wuduk
Ini kerana perasaan amarah itu sebenarnya daripada syaitan, sementelah makhluk tersebut dicipta pula dari api. Maka cara memadamkannya adalah juga dengan air.
‘Atiyyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan dari api neraka, dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah, hendaklah berwuduk.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Jangan buat keputusan ketika diri sedang dalam kemarahan kerana ia akan dipengaruhi oleh emosi yang mungkin bakal memberikan penyesalan pada kemudian hari.
Jangan buat keputusan ketika diri sedang dalam kemarahan kerana ia akan dipengaruhi oleh emosi yang mungkin bakal memberikan penyesalan pada kemudian hari.
3. Usah buat keputusan ketika dikuasai amarah
Ia penting kerana kerasionalan seseorang mungkin terjejas akibat emosi dan amarah yang meluap-luap.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.” (Sahih Muslim)
4. Diam
Apabila seseorang marah, perkataan yang meluncur keluar dari bibirnya boleh merugikan diri. Demikian kalam yang dinukilkan dari kitab al-Adab al-Mufrad karangan Imam al-Bukhari.

5. Banyakkan beristighfar dan berselawat
Dengan cara itu, ia berupaya membantu menenangkan jiwa sedikit demi sedikit.
Sumber: Sinar Harian
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bersahur Pun Boleh Dapat Pahala, Ibadah Mudah Yang Diberikan Ganjaran- Dr. Maza

Perbezaan yang ketara antara puasa umat Islam dengan umat-umat yang terdahulu ialah dapat dilihat pada amalan bersahur.
Daripada Amru bin al-Ash bahawa bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan Ahli Kitab ialah makan sahur. (Riwayat Muslim).
Umat-umat terdahulu berpuasa tanpa bersahur. Sedangkan umat Islam disunatkan bersahur. sebagaimana yang ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. bahawa mereka yang bersahur akan mendapat pahala dan dijanjikan dengan keberkatan.
SOALAN:
Saya tinggal serumah dengan beberapa orang kawan. Ada kalangan kami yang berpuasa tetapi selalu tidak bangun sahur. Katanya ‘dia tahan’ walaupun tak bersahur. Ada yang sahur terlalu awal, seawal jam 2 pagi. Ada yang sahur ‘siap-siap’ sebelum tidur kerana malas hendak bangun. Ada yang jika bangun hampir waktu subuh, dia kata dah tamat waktu sahur, sekalipun belum azan lagi, dia tetap tak mahu sahur. Saya cuba berikan nasihat kepada kawan-kawan sekadar yang saya faham. Bolehkah berikan panduan apa yang terbaik kepada kami?
JAWAPAN:
Selamat menyambut Ramadan semoga kita semua dirahmati Allah. Alhamdulillah, saudara dan sahabat-sahabat saudara berpuasa. Ini menandakan tanggungjawab sebagai Muslim masih lagi kuat dalam jiwa saudara-saudara sekelian. Puasa adalah ibadah yang melambangkan keikhlasan. Jika seseorang itu benar-benar berpuasa, tanda adanya keikhlasan yang besar dalam penghayatan Islamnya. Saudara pula merupakan sahabat yang baik, yang mempunyai kesedaran bagi diri sendiri dan juga rakan-rakan untuk mengamalkan amalan yang menepati sunnah Nabi s.a.w. Semoga Allah membanyakkan pemuda seperti saudara dan diberikan pahala yang besar.
Ada pun persoalan saudara tentang sahur itu, maka saya jawab berdasarkan beberapa perkara berikut;
1. Sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur Muslim dan sahur Yahudi.
Sabda Nabi s.a.w:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ
“Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).
Maka kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.
2. Allah jadikan keberkatan dalam bersahur.
Sabda Nabi s.a.w :
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.
3. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal.
Sabda Nabi s.a.w:
تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجَرْعَةٍ من ماء
“Bersahurlah walaupun seteguk air” (Riwayat Ibn Hibban, hadis hasan)
4. Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar.
Nabi s.a.w bersabda:
نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ
“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).
Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan. Pada tamar ada kelebihan yang memberikan kekuatan untuk seseorang berpuasa.
5. Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam.
Ini seperti firman Allah:
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
(maksudnya) “Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).
Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.
Kata Zaid bin Thabit:
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ»، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ ” قَالَ: «قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً
“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.
6. Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid.
Buktinya, Aisyah r.a menyebut:
أَنَّ بِلاَلًا كَانَ يُؤَذِّنُ بِلَيْلٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ، فَإِنَّهُ لاَ يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الفَجْرُ
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.
7. Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
(Maksudnya): “Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).
Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh.
Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda:
لَا يَغُرَّنَّكُمْ مِنْ سَحُورِكُمْ أَذَانُ بِلَالٍ، وَلَا بَيَاضُ الْأُفُقِ الْمُسْتَطِيلُ هَكَذَا، حَتَّى يَسْتَطِيرَ هَكَذَا
“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih yang memanjang sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.
8. Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.
9. Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar.
Dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda:
ينْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah pada waktu tersebut.
10. Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.
Sumber: Dr.Maza.com
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tiga Doa Yang Tak Akan Dimakbulkan oleh Allah Taala

Isi Kandungan
ToggleTiga doa yang tak akan dimakbulkan oleh Allah Taala…Setiap manusia pastinya ada kehendak, kemahuan dan impian. Sebagai Muslim salah satu cara kita mengusahakannya selain berusaha adalah dengan memohon doa kepada Allah SWT agar memakbulkan kemahuan ini.
Akan tetapi tidak semua doa yang kita panjatkan kepada-NYa akan dimakbulkan. Berdasarkan hadis sahih terdapat beberapa kategori doa yang tidak dimakbulkan. Perkara ini dihuraikan oleh Unit Buhuth , Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Terdapat doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT seperti yang telah dinyatakan dalam hadis.
1. Doa memutuskan silaturrahim dan doa dalam keadaan gopoh
Sabda Nabi SAW dalam hadis Abu Hurairah RA:
لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَم يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيْعَةِ رَحِمٍ، مَا لَمْ يَسْتَعْجِل
Maksudnya: “Sentiasalah diperkenankan doa dari seseorang hamba, selagi dia tidak berdoa melakukan dosa atau memutuskan silaturahim, dan selagi dia tidak gopoh.” (Muslim)
2. Doa dalam keadaan dipengaruhi sesuatu
Demikian juga doa yang dipohon dalam keadaan dipengaruhi sesuatu tidak akan dimustajabkan, Allah SWT berfirman:
وَلَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنَّاسِ الشَّرَّ اسْتِعْجَالَهُمْ بِالْخَيْرِ لَقُضِيَ إِلَيْهِمْ أَجَلُهُمْ فَنَذَرُ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ
Maksudnya: “Dan jika Allah segerakan bagi manusia keburukan yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan kebaikan, sudah pasti binasalah mereka. Maka Kami biarkan mereka yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami bergelumang di dalam kemelampauan mereka.” (Yunus: 11)
Ketika menafsirkan ayat ini, al-Imam Ibn Kathir berkata:
يُخْبِرُ تَعالى عَنْ حِلْمِهِ ولُطْفِهِ بِعِبادِهِ: أنَّهُ لا يَسْتَجِيبُ لَهُمْ إذا دَعَوْا عَلى أنْفُسِهِمْ أوْ أمْوالِهِمْ أوْ أوْلادِهِمْ فِي حالِ ضَجَرِهِمْ وغَضَبِهِمْ، وأنَّهُ يَعْلَمُ مِنهُمْ عَدَمَ القَصْدِ إلى إرادَةِ ذَلِكَ، فَلِهَذا لا يَسْتَجِيبُ لَهُمْ -والحالَةُ هَذِهِ -لُطْفًا ورَحْمَةً، كَما يَسْتَجِيبُ لَهُمْ إذا دَعَوْا لِأنْفُسِهِمْ أوْ لِأمْوالِهِمْ وأوْلادِهِمْ بِالخَيْرِ والبَرَكَةِ والنَّماءِ؛ ولِهَذا قالَ: ﴿ولَوْ يُعَجِّلُ اللَّهُ لِلنّاسِ الشَّرَّ اسْتِعْجالَهُمْ بِالخَيْرِ لَقُضِيَ إلَيْهِمْ أجَلُهُمْ﴾ أيْ: لَوِ اسْتَجابَ لَهُمْ كُلَّ ما دَعَوْهُ بِهِ فِي ذَلِكَ، لَأهْلَكَهُمْ، ولَكِنْ لا يَنْبَغِي الإكْثارُ مِن ذَلِكَ
Maksudnya: “Allah mengkhabarkan berkaitan kesantunan dan kehalusan-Nya terhadap para hamba: bahawa Dia tidak akan memustajabkan untuk mereka apabila mereka berdoa keburukan untuk diri, harta atau anak-anak ketika dalam keadaan tertekan dan marah. Dia Maha Mengetahui, mereka tidak bermaksud mahu diperkenankan apa yang dipinta tersebut. Kerana itu Dia tidak akan memustajabkan untuk mereka dalam keadaan tersebut, kerana sifat kehalusan dan belas-Nya, sepertimana Dia memustajabkan untuk mereka apabila berdoa kebaikan, keberkatan yang melimpah untuk diri, harta dan anak-anak. Kerana itu Allah berfirman: ““Dan jika Allah segerakan bagi manusia keburukan yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan kebaikan, sudah pasti binasalah mereka…” Iaitulah jika Allah memustajabkan untuk mereka setiap yang mereka minta (sekalipun keburuan), sudah tentu perkara itu akan membinasakan mereka. Sekalipun begitu, (kita) tidak sepatutnya banyak membuat permintaan seperti itu…”
3. Meminta keburukan ketika dalam suasana marah
Dalam riwayat Muslim yang lain. ‘Aisyah menceritakan: دَخَل عَلَى رَسولِ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم رَجُلانِ، فكلَّماه بشَيْءٍ لا أَدرِي ما هو، فأَغْضَبَاهُ، فلَعَنَهما وسبَّهما maksudnya: “Ada dua orang lelaki masuk menemui Rasulullah SAW, mereka berdua berbicara dengan baginda berkaitan satu perkara yang daku tidak tahu apa perkara tersebut. Mereka berdua telah menjadikan baginda marah, maka baginda memaki dan mencela dan mencerca mereka berdua.”

Celaan dan cercaan baginda kepada mereka berdua disebabkan keduanya melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah SWT berdasarkan perkataan ‘Aisyah di dalam al-Bukhari dan Muslim: ما انتقم رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم لنَفْسِه في شَيءٍ قطُّ، إلَّا أن تُنتَهَكَ حُرمةُ اللهِ، فيَنتَقِمُ بها للهِ maksudnya: “Tidak pernah baginda marah kerana mempertahankan diri baginda sama sekali, melainkan baginda akan marah jika membabitkan kemuliaan Allah, maka bagida marah kerana Allah.”
Hadis ini menunjukkan sekalipun celaan dan cercaan baginda tersebut tidak dimakbulkan, kerana baginda mengungkapkannya dalam keadaan marah, namun baginda tetap mengharapkan ia ditukar kepada penghapusan dosa, pahala dan rahmat.
Dan seseorang yang berdoa meminta keburukan ketika dalam suasana marah atau dipengaruhi sesuatu yang negatif, termasuk dalam kumpulan doa yang tidak akan dimustajabkan.
Sumber: Mufti Perlis
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Amalan Lembutkan Hati Pasangan Berkonflik Agar Kembali Ke Pangkuan Keluarga

Rumahtangga mana yang tak pernah bergolak, pasti ada masa dilanda badai. Namun terpulang kepada pasangan itu untuk menanganinya dengan cara damai, tolak ansur atau pun sebaliknya.
Tak dinafikan bila berlaku konflik suami isteri berlaku situasi satu pihak bertindak keluar dari rumah dan keras hati untuk berbaik semula walaupun pasangannya sudah beralah atau memujuk.
Bagi pasangan yang dalam konflik ini moga doa dan amalan yang dikongsi oleh Datuk Dr Zulkifli Mohamed Al Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan ini boleh diamalkan
Amalan lembutkan hati pasangan agar kembali ke pangkuan keluarga
Pergaduhan dalam rumahtangga merupakan satu kebiasaan kerana ketika itulah kita lebih mengenali hati budi dan cara kita menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing.
Namun, janganlah pertengkaran ini dibiarkan lama kerana ia akan mengkeruhkan lagi keadaan. Maka, antara amalan untuk melembutkan hati pasangan agar kembali ke pangkuan keluarga adalah:
Firman Allah SWT:
طه (1) مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ (2) إِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ (3) تَنزِيلًا مِّمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى (4) الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ
Maksudnya: TaaHaa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.
Antara cara yang terbaik adalah dengan bermu’asyarah sebaik-baiknya dengan pasangan suami isteri. Hal ini berdasarkan nas Ilahi:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’: 19)
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.
Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Wallahua’lam
Sumber: Datuk Dr Zulkifli Mohamed Al Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI