Selawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu tuntutan di dalam agama. Ini kerana, di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW:
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:-
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)].
Dalam pada itu, antara kelebihan orang berselawat ialah nama akan disebut di hadapan Rasulullah SAW. Bukan saja nama kita tapi juga nama mak ayah yang melahirkan, menjaga dan membesarkan kita.
Menurut Ustaz Don Daniyal Don bin Don Biyajid dalam ceramahnya berkongsi kebaikan selawat.
Jelasnya, salah satu cara kita nak berkebajikan dengan mak ayah kita, banyakkan baca selawat sebab Malaikat sebut nama mak bapa kita depan Nabi SAW.
“Ianya hadith sahih. Ini kerana ketika mana kita berselawat akan wujud seorang Malaikat sebelah Nabi SAW. Dia akan bagitahu kepada Nabi SAW “Wahai Rasulullah SAW, ada seorang daripada masjid Seberang Jaya (contoh), nama si fulan bin fulan (contoh) berselawat kepada kamu.
“Kerana kita selawat, nama ayah dan mak kita dimaklumkan di hadapan Baginda Nabi Rasulullah SAW, MasyaAllah,”katanya.
Justeru, marilah kita memperbanyakkan berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran:
إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
al-Ahzab: 56
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Kredit video Tik Tok:-@munirmansor7