Kanak-Kanak Wajib Bayar Zakat Simpanan, Ibu Bapa Tanggung Dosa Jika Sengaja Tak Bayar

Share

Masa kini, kesedaran ibu ayah tentang membuka tabung simpanan atas nama anak-anak dilihat sudah semakin meluas di mana sejak kecil, anak-anak sudah memiliki simpanan sendiri biarpun wang itu ibu yang beri atau simpankan setiap bulan.

Di sebalik simpanan yang adakalanya sudah mencecah belasan atau puluh ribu itu, namun tahukah ibu ayah bahawa wang simpanan kanak-kanak itu sebenarnya wajib dibayar zakat simpanan sebanyak 2.5 peratus dari jumlah simpanan.

Terpakai syarat sama seperti orang dewasa, wang simpanan ini wajib dibayar zakat dan ia perlu diuruskan oleh ibu bapa kerana anak-anak masih kecil.

Berikut adalah perkongsian dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkaitan zakat simpanan untuk kanak-kanak dan orang tua dalam siri Al Khafi #1564.

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ada satu persoalan, jika sekiranya orang gila atau kanak-kanak mempunyai harta, adakah wajib untuk dikeluarkan zakat daripada harta mereka tersebut?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan umat Islam mengeluarkan zakat berdasarkan firman-Nya, ayat 103, surah al-Taubah:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk). (Surah al-Taubah: 103)

Para fuqaha’ telah menyenaraikan syarat-syarat yang mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat daripada hartanya. Antaranya yang disebut Imam Khatib al-Syarbini menyebutkan di dalam kitab al-Iqna’ Fi Halli alfaz Abi Syuja’ bahawa terdapat lima syarat, iaitu:

  • Beragama Islam, tidak wajib ke atas orang kafir
  • Merdeka, iaitu bukan hamba.
  • Pemilikan yang penuh. Tidak wajib ke atas hamba al-mukatab kerana mempunyai pemilikan yang lemah terhadap hartanya.
  • Cukup nisab, iaitu kadar tertentu bagi harta tertentu yang diwajibkan zakat sekiranya mencukupinya.
  • Sempurna haul, iaitu cukup tempoh yang menjadikan harta yang disimpan wajib untuk dikeluarkan zakat.
  • Digembalakan, iaitu syarat tambahan bagi zakat haiwan ternakan yang wajib dikeluarkan zakat hendaklah digembalakan di padang-padang ragut yang harus. (Rujuk al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’
    , 1:212-213)

Jika dilihat pada syarat wajib zakat di atas, tiada syarat baligh dan berakal seperti kebiasaannya yang ada pada ibadat-ibadat wajib yang lain seperti solat dan puasa.
Walaubagaimanapun, para fuqaha’ tidak meletakkan syarat baligh dan berakal sebagai syarat wajib zakat, menunjukkan bahawa kanak-kanak dan orang gila wajib untuk menunaikan zakat jika sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan di atas. Hal ini disebut secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, antaranya:
Imam al-Mawardi menyebut dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir dengan menukilkan pandangan Imam al-Syafie:

وَتَجِبُ الصَّدَقَةُ عَلَى كُلِّ مَالِكٍ تَامِّ الْمِلْكِ مِنَ الْأَحْرَارِ ، وَإِنْ كَانَ صَغِيرًا أَوْ مَعْتُوهًا أَوِ امْرَأَةً لَا فَرْقَ بَيْنَهُمْ فِي ذَلِكَ

Maksudnya: Zakat hukumnya wajib bagi setiap orang yang memiliki harta dengan pemilikan sempurna (tam al-milk), dari pemilik orang merdeka (bukan hamba), meskipun anak kecil atau orang gila atau wanita. Tidak ada perbezaan antara mereka dalam kewajiban berzakat. (Rujuk al-Hawi al-Kabir, 3:329)

Di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah pula, Syeikh Hasan al-Kaff menyebutkan bahawa:

فَلَيْسَ مِنْ شُرُوط وُجُوبِ الزَّكاة: البُلُوغ و العَقْل قَتَجِبُ فِي مَال الصَبِيّ وَ المَجْنُون والمخَاطَبُ بِذَلِكَ وَلِيُّهُمَا

Maksudnya: Justeru, tidak termasuk dalam syarat-syarat wajib zakat, syarat baligh dan berakal. Oleh itu, wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kanak-kanak dan orang gila. Dan yang diperintahkan untuk melaksanakan demikian bagi pihak mereka ialah wali mereka.

(Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 397)

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, kami menyatakan bahawa wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kanak-kanak dan orang gila jika sekiranya mencukupi syarat-syarat wajib zakat yang telah disebutkan. Syarat-syarat tersebut tidak termasuk syarat baligh dan berakal, oleh sebab itu maka wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kedua-duanya.
Oleh itu, para wali yang menjaga mereka seperti ibu bapa dan penjaga bertanggungjawab untuk menunaikan zakat bagi pihak kanak-kanak dan orang gila tersebut kerana mereka tidak mampu untuk memahami dan menguruskannya sendiri. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.
WaAllahu a’lam.

Published by
almaswa Haji Che Ros