Kata Doktor, “Mak Awak Cuma Ada Tiga Hari Saja Lagi, Saya Nak Awak Dan Adik Beradik Ready.”

Share

Tidak dapat digambarkan bagaimanakah perasaannya apabila terpaksa ‘melepaskan pergi’ ibu yang amat disayangi. Bayangkan  jika kita ada hanya tiga hari untuk bersama ibu lalu terpaksa menerima hakikat bahawa wajah itu akan ‘pergi’ buat selama-lamanya.

Ikuti luahan seperti yang tertulis di laman muka buku Suhaili Baharudin.


Beberapa tahun lepas sejak arwah mak sakit beria bila payudara yang dah dibuang sebelah akibat kanser melarat pula ke sebelah lagi, kami 3 beradik mula berkampung di hospital putrajaya.

Bergilir-gilir lah kami waktu itu mengikut shift masing-masing. Kebiasaannya Kak Eli kena shift malam sebab masa itu Malaeka masih belum sekolah jadi esoknya tak perlu kalut macam adik beradik yang lain.

Bila weekend dapatlah Kak Eli shift pagi, rotate semula jadual dengan kakak dan abang. Yang penting arwah mak tak pernah ditinggalkan seorang diri dalam wad walaupun dalam 1 wad tu ada 3 pesakit lain.

ADA TIGA HARI SAJA LAGI

Ada satu pagi tu, Kak Eli tiba di wad dan kebetulan ada doktor perempuan yang baru keluar dari bilik mak. Dia tarik tangan Kak Eli dan bawa ke sudut dinding.

‘Saya nak beritahu ni, mak awak cuma ada 3 hari saja lagi. Beri dia makan apa dia nak makan, bagitahu saudara mara dan kawan-kawan dia, saya nak awak dan adik beradik awak ready.’

Awak, awak dan awak,
Andai ditoreh pipi Kak Eli waktu tu memang rasanya takkan keluar darah. Lembik dan longgar terus lutut dan rasanya kalau tak kawal mungkin Kak Eli dah rebah kelantai.

Ingin sekali Kak Eli tampar muka doktor waktu itu. How dare you, how could you say that to my mother?

Tapi Kak Eli berterima kasih pada doktor tu sebab sebenarnya dia sudah memberi hint pada kami adik beradik yang kami hanya ada 3 hari saja lagi untuk berbakti untuk mak.

Hanya ada 3 hari untuk mengisytiharkan dan mempersembahkan cinta yang paling tulus kepada mak.

Kak Eli masuk bilik wad mak dan mak tersenyum ceria seperti biasa. Kak Eli tenung dia, this is the moment when a word doesn’t come to me.

Kelu.

Mak masih ceria, tanya mana Malaeka?
Tanya itu ini dan tiada langsung pernah mengeluh dan menyatakan sakit.

Kak Eli bagitahu ada barang tertinggal dalam kereta dan nak ambil sekejap. Sampai saja di parking kereta terus Kak Eli meraung bagai nak gila disitu.

Telefon adik beradik dan kami pakat menangis bersama-sama dan semua nekad takkan ada shift dah selepas ini. Semua adik beradik mesti ada disisi mak pada waktu genting begini.

Naik semula atas, makcik di sebelah katil mak dah beberapa hari tak sedar, bergantung pada oksigen sepenuhnya. Anak perempuan beliau setiap hari tanpa gagal menemani mak dia tu.

Tapi waktu tu, dia sibuk baca suratkhabar di sebelah mak dia. Mak Kak Eli toleh pada katil sebelah dan tegur perempuan tersebut.

‘Adik cuba tengok mak tu, makcik rasa mak tu dah tak ada.’

Ringkas saja ayat mak, dan perempuan tu bingkas panggil mak dia.

‘Mak, mak, makkkkkkkk!!!’

Dia jerit pada nurse dan bila mereka datang doktor sahkan mak dia baru saja meninggal, waktu dia sedang leka membaca suratkhabar.

Betullah ajal itu tidak kita sangka dan kalau bukan rezeki kita dapat mengadap saat-saat terakhir kematian ibu bapa kita, memang takkan dapat walaupun kita hanya di sebelah.

MASIH SEMPAT BERSEDEKAH

Berpuluh tahun mak bekerja di hospital, sedikit sebanyak pengalaman mematangkan dia. Mak minta Kak Eli ambil handbag dia dan keluarkan duit untuk sedekah pada perempuan tu.

Mak, mak tau tak doktor cakap mak ada 3 hari lagi dan mak masih tak lupa nak bersedekah jariah waktu ini?

Tak, Kak Eli dan adik beradik sikitpun tak berbunyi pasal ni. Kami buat macam biasa saja.

Malam tu mak kata dia sakit belakang, dia suruh panggilkan doktor dan doktor ambik darah dia dari belakang bahu.

Doktor tu termenung lama kemudian dia cakap ‘saya minta maaf ya opah, saya tak dapat nak bantu opah. Tak mampu nak legakan opah’

Kak Eli masih ingat nama dia. Doktor Lisa.

Semua doktor yang merawat mak bahasakan diri dia sebagai opah sebab mak is over peramah. Dan para doktor memang selalu bagi special treatment pada emak walaupun sibuk.

Mak kata ‘eh tak apa doktor. Ini pun opah dah lega sangat. Terima kasih ya.’

Kak Eli dan adik beradik meraung lagi di belakang dia.

Hari kedua dan ketiga, mak dah kerap penat. Saudara mara dan kawan-kawan mak penuh setiap masa datang melawat sampai mak tak boleh nak tidur. Dia masih gagah melayan bersembang dan tersenyum.

Malam terakhir dia mintak morfin dose tinggi sebab nak berehat. Tapi waktu itu malaikat maut mungkin sudah menyapa, menunggu masa untuk mencabut nyawa. Mak tak boleh nak lelap.

“ANAK-ANAK MAK TAK ADA DOSA DENGAN MAK”

Esoknya pukul 11.32 malam mak pergi selamanya sambil menyebut Allah Allah Allah tanpa henti. Setelah kami teresak-esak meminta ampun bergilir-gilir setiap seorang dan mak jawab,

‘anak-anak mak tak ada dosa dengan mak. Kenapa menangis, janganlah menangis’

Betul kata doktor,
Mak cuma ada 3 hari saja didunia yang fana ini. Meninggalkan kami terpinga-pinga tetapi sudah bersedia.

Kak Eli ingat lagi selepas itu kami berpeluk 3 beradik dan menangis teresak-esak sehingga makcik yang kanser leher didepan katil mak menenangkan kami.

Makcik tu tak boleh bercakap dah, tapi dia guna isyarat tangan.

Sungguh, kematian itu satu perkara yang hebat dan besar. Ia mengubah kehidupan kita yang masih didunia ini dengan sakit merindu.

Kak Eli memilih untuk berhenti kerja, tinggalkan rumah sendiri di kota damansara begitu saja dan balik ke jerantut supaya dekat dengan kubur mak.

Dengan harapan bila duduk dirumah dia ni dapatlah melepaskan rindu bila tengok tombol pintu bilik dia, tengok pokok orked dia. Apa sajalah yang dia tinggalkan.

HADIRNYA AMANDA SAFIYA SEPERTI JELMAAN ARWAH MAK

Sakit merindu yang takkan surut sambil merenung dosa yang segunung banyaknya pada mak, dengan air mata yang tak pernah kering tiap kali terkenangkan dia, Allah hadirkan Amanda Safiya.

Dia lahir genap setahun selepas mak pergi, di tarikh yang sama mak pergi, di jam yang hampir sama mak pergi, dan mewarisi rupa paras mak serta kelakuan.

Keduanya sangat membahagiakan.

Amanda lahir selepas genap setahun arwah mak pergi. Dan dia mewarisi banyak persamaan dengan mak.

Sama rupa paras dan warna kulit, sama peramah, sama terlebih mengambil berat pada orang lain, sama berhati tisu, sama bila part membebel sampai sakit rasa telinga ya ampun.

Ya Amanda adalah seperti jelmaan arwah mak.

Tuhan ambil satu dan kemudian dia gantikan dengan yang hampir sama dalam versi berbeza. Bagai disusun cantik semua percaturan tuhan untuk Kak Eli. Sesungguhnya Dia maha baik.

Dan kami abadikan nama dia seakan nama arwah mak.

Bila jiran-jiran tengok Amanda mereka akan kata eh sama rupa arwah kak Piah. Maka semua pakat panggil Amanda kak Piah dan makcik Piah.

Ajaibnya si Amanda ni menyahut la pulak.

Lahirnya dia adalah kesyukuran dan dalam masa yang sama akan sentiasa ingatkan Kak Eli dan adik beradik bahawa tarikh inilah arwah mak pergi meninggalkan kami jauh ke negeri kekal abadi.

Semalam Amanda ingatkan Kak Eli yang dia nak kek untuk dibawa ke sekolah dan party dirumah lengkap pinata tema pj masks.

Kamu fikir mak ada masa untuk sakit kepala?

Tapi suami kata layan kan sajalah sebab bila dia dah tahun 1 nanti mesti dia jadi macam Malaeka, malu nak buat party bagai. Dah besar kan?

Untuk anak kedua mommy Amanda Safiya yang cantik rupawan lagi bijaksana,

Selamat hari lahir yang ke 6. Semoga akan datang kamu istikhomah dan yakin dalam segala hal untuk menyonsong hari depan.
Kamu mempesona dan sering membuatkan kami tenteram hati.

Semoga kamu sentiasa mengucap syukur saat melihat langit. Dan tuhan memang selalu menyusun jalan yang terbaik untuk kita tanpa kita sedar.

Ya Allah, berilah aku dari sisi Mu anak-anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar Doa.

Kepada yang masih ada emak, berbaktilah sehabis daya seolah esok hari terakhir kita bersama dia.

Sumber kredit: Suhaili Baharudin

Published by
wan erni