Kerohanian

Kawan Lelaki & Perempuan Bercuti Sekali. Haram Duduk Satu Rumah Walau Tidur Bilik Asing

Share

Menjadi kebiasaan anak-anak muda ketika ini pergi bercuti bersama rakan-rakan termasuklah dengan rakan yang berlainan jantina.

Ada juga yang tidak kisah menyewa satu rumah kerana menyatakan mereka akan tidur dalam bilik berasingan antara rakan wanita dan juga lelaki.

Dalam hal ini menurut bekas menteri agama Islam  Datuk Dr.  Zulkifli Mohamad Al Bakri meski tidur berasingan tapi hukum perkongsian rumah antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram.

Hal ini kerana ia boleh membawa kepada fitnah dan mendorong kepada perkara yang tidak sepatutnya.

Firman Allah SWT

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ‎

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;

Begitu juga, sabda Nabi SAW:

أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رجلٌ بامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثاَلثهُمَا الشَيْطَان

Maksudnya: Ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi-sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan. Riwayat al-Tirmizi (2165)

Berbalik kepada soalan di atas, hukum perkongsian rumah antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah haram. Hal ini kerana ia boleh membawa kepada fitnah dan mendorong kepada perkara yang tidak sepatutnya sepertimana hadith di atas. Oleh itu, kami berpandangan sebaiknya, menetap di hotel yang berasingan bilik, jauh lebih baik dari satu rumah.

Isu seperti ini juga perlu diberi kecaknaan dan perhatian yang sewajarnya oleh para ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka terutamanya melangkah alam dewasa. Semoga sebarang tindakan mereka selaras dengan kehendak Allah SWT dan rasul-Nya serta mengikut neraca syariah.

Sumber: Maktabah Albakri

Published by
Team Kashoorga