Keajaiban Allah. Mangsa Belasahan Suami Kini Tunggu Hari Lahirkan Bayi, Pembedahan Penuh Risiko Termasuk Kematian

Share

Ramai yang masih tidak dapat melupakan tragedi menimpa seorang kakitangan kerajaan, Jahidah Nordin, 43 yang menjadi mangsa dibelasah suami sendiri hingga koma pada April lalu.

Kecederaan parah dialaminya terutama di bahagian kepala, tengkorak selain rahang, tulang belakang serta rusuk yang retak kekal koma dari hari dirinya dianiayai suami sendiri.

Lebih menyayat hati, mangsa ketika itu sedang mengandungkan anak sulung mereka yang baru berusia 15 minggu dan dijangka melahirkan sekitar Disember ini.

Keajaiban Allah, dalam bertarung nyawa dalam keadaan koma, kandungannya kekal membesar walau ibunya tidak pernah sekali pun membuka mata. Hanya susu menjadi minuman untuk ibu dan anak ini sama-sama berjuang untuk melihat dunia. Bahkan ia diberi melalui tiub.

Dalam masa berlalu tanpa sedar, kini usia kandungan Jahidah sudah memasuki usia 36 minggu iaitu fasa terakhir kehamilan. Bahkan pertemuan dengan pakar O&G di Hospital Tuanku Jaafar pada 22 hb lalu, kakaknya itu sudah dimasukkan ke hospital atas nasihat doktor agar pemantauan dapat dilakukan dengan lebih teliti memandangkan keadaan kakaknya yang masih koma.

Hal ini dikongsikan oleh adiknya, Fauziah Nordin yang mengambil alih menjaga kakak sulungnya itu ketika tragedi ini menimpa.

Dan di saat ramai menanti penuh debar nasib ibu dan anak ini, Fauziah memaklumkan, doktor pakar yang merawat kakaknya sudah memaklumkan beberapa risiko mungkin terjadi  seperti pendarahan, gangguan pernafasan, jangkitan kuman, serangan jantung dan tidak mustahil berlaku kematian memandangkan keadaan kakaknya itu yang masih tidak sedarkan diri sehingga ke hari ini.

Bahkan doktor pakar turut memaklumkan belum pernah berhadapan kes sebegini. Tak pernah terjadi di negara kita dan ia sesuatu yang merisaukan hati kami sekeluarga untuk menerima berita sebegini,” kongsinya.

“Terdiam dengar apa dikongsikan oleh doktor. Berat nak tandatangan borang kebenaran tapi terpaksa. Kalau ini jalan terbaik dan mungkin yang terakhir,” katanya dalam keadaan sedih di akaun Tik Toknya, @ziahzara15.

Dalam pada itu, dirinya turut memaklumkan kakaknya itu masih mampu bertahan (membawa anak dalam kandungan) sekali pun dalam keadaan bed ridden, kecederaan otak yang teruk, patah tulang belakang, rusuk, muka, rahang, tak boleh bercakap, tak boleh respon walau pun mengangguk, separuh sedar hanya mata terbuka tapi besar kemungkinan kakak tak dapat melihat.

Hanya air matanya saja yang mengalir memberikan isyarat dirinya alami penderitaan ini,” katanya yang memaklumkan semuanya terjadi atas izin Allah taala.

Masa yang sama, Fauziah turut memaklumkan kali ini hatinya cukup berat untuk melepaskan kakaknya itu di wad memandangkan kakaknya adalah pesakit berisiko tinggi.Malah pembedahan akan dilakukan dengan bius sepenuhnya.

Kongsinya, “Ya Allah, kenapa berat hati nak lepaskan kakak kali ini. Rasa macam kali terakhir bersama kakak,” katanya yang membuat emoji menangis.

Bersamalah kita mendoakan agar pembedahan yang bakal berlaku ini dalam masa terdekat berjalan lancar dan semoga ia berakhir dengan berita gembira.

Published by
almaswa Haji Che Ros